Tanggal 2 Mei lalu menjadi detik terindah dalam hidup Mohd Saiful Azmi Shamsudin Khan apabila menerima cahaya mata pertama di usia 43 tahun selepas menanti selama 15 tahun.
Kehadiran Putri Edreehana Masyael yang kini berusia dua bulan disifatkan hadiah teristimewa dalam hidup pemandu lori itu hasil perkahwinan keduanya selama tiga tahun bersama isteri, Mastura Pin, 46.
Video Mohd Saiful Azmi yang sebak saat pertama kali melihat dan mendukung anak sulungnya itu meraih perhatian serta meruntun hati netizen selepas dikongsi Mastura di TikToknya, kelmarin.
Berkongsi kisah itu, Mohd Saiful Azmi berkata, dia tidak menyangka diberikan rezeki terindah itu ketika usianya mencapai 43 tahun, sementara isteri berusia 46 tahun.
Menurutnya, seperti lelaki lain dia juga mengimpikan zuriat daripada keturunannya, namun reda apabila rezeki itu tidak diberikan sebelum ini.
“Perkahwinan pertama selama 12 tahun berakhir kerana sudah tiada jodoh dan takdir menentukan saya tiada zuriat daripada ikatan itu sebelum bertemu jodoh dengan Mastura, ibu tunggal lima anak tiga tahun lalu.
“Ketika itu saya tidak fikirkan sangat soal anak kerana usia kami tidak muda lagi, malah sangat bersyukur dapat menumpang kasih anak tiri yang dianggap seperti anak sendiri,” .
“Ini perkara teristimewa dalam hidup saya dan saat pertama kali melihat dan mendukung anak perasaan itu bercampur baur ada sebak, sedih, terharu dan gembira.
“Tak sangka selepas melalui pelbagai dugaan hidup Allah SWT hadirkan ‘puteri’ untuk saya. Apa yang Allah berikan ini mengingatkan saya kesabaran itu berakhir dengan sesuatu yang manis dan setiap perancangan ada hikmah-Nya,”
Menurut Mohd Saiful Azmi, kehadiran Putri Edreehana Masyael memberinya semangat untuk terus kuat mencari rezeki buat keluarga mereka, malah mengakui ‘sindrom’ bapa yang baru menimang cahaya mata juga sedang dilaluinya.
“Saya rindu bau ‘baby’, setiap hari perlu buat panggilan video dan saya akan cuba balik rumah juga untuk melihat anak kerana sebagai pemandu lori kontena dari Ipoh ke Klang saya selalu menghabiskan masa di jalan,” katanya.
“Lucu juga apabila di usia begini ada anak kecil, malah ketika keluar ada yang tanya ‘baby’ anak atau cucu kerana janggut saya sudah beruban tetapi saya dengan senang hati beritahu itu anak.”
Kredit: Hmetro
Wow! Bestnya mommies dapat me-time dengan bff di Muzium Negara. Ada sharing dari pakar, games menarik dan hadiah lumayan untuk dimenangi. Jom, daftar sekarang di SINI
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!