Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat secara mengejut mengunjungi restoran makanan segera KFC Petronas yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan dibuat di laman Facebook Istana Negara, baginda berangkat bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menikmati santapan tengahari di restoran berkenaan.
Turut berangkat bersama, paduka-paduka anakanda dan cucunda Seri Paduka Baginda berdua.
“Di restoran tersebut, Seri Paduka Baginda berdua dan paduka-paduka anakanda serta cucunda berkenan beratur di kaunter bersama pengunjung restoran yang lain untuk memesan santapan tengah hari.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan di restoran tersebut bersama pengunjung yang lain,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra dengan beberapa pengunjung restoran selain tidak ketinggalan mengambil gambar bersama mereka.
Rata-rata warganet meluahkan keterujaan melihat sikap bersahaja Seri Paduka Baginda berdua bersantapan tengahari di restoran makanan segera pilihan ramai.
Sumber: Facebook Istana Negara
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)