Kehadiran cahaya mata comel yang diberi nama Puteri Maryam menjadi pelengkap dalam kehidupan pasangan suami isteri, Mohd Amirul Baharudin, 30, dan Nur Hasikin Ahmad, 28.
Bagaimanapun, takdir Allah lebih dari segalanya apabila anak yang dilahirkan pada 8 Julai 2021 ini meninggal dunia secara tiba-tiba, Jumaat lalu.
Menerusi perkongsian di Mstar, ibu Puteri Maryam menyatakan pemergian anak syurganya ini langsung tak disangka sama sekali.
“Kami hantar ke rumah pengasuh seperti biasa pada hari bekerja. Ketika dalam perjalanan pulang, saya terima panggilan daripada pengasuh meminta saya cepat kerana anak tak sedarkan diri.
“Dalam panggilan, saya dengar pengasuh sedang menangis. Pada masa sama, suami pengasuh sedang beri bantuan pernafasan (CPR) kepada bayi. Mereka pun dah hubungi ambulans. Saya minta mereka teruskan buat CPR sementara saya sampai dan saya terus hubungi suami untuk maklumkan hal ini.
“Ketika sampai, saya suruh pengasuh pegang bayi dan saya nak bawa kereta ke hospital. Tapi pihak ambulans minta kami tunggu, kami masa tu dah keluar dari perumahan dan berhenti di tepi jalan. Ketika itu, anak saya memang tak sedarkan diri tapi CPR tetap diteruskan,” kongsinya.
Muntah dan tak sedar diri
Tambah Hasikin, dalam keadaan cemas itu beberapa individu turut berhenti di tepi jalan apabila melihat kejadian itu untuk membantu sebelum dia dan bayinya dibawa menaiki ambulans untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Jelasnya lagi, pengasuh memaklumkan bayi berusia enam bulan itu kelihatan tidak selesa dan seolah-olah mahu sendawa sebelum memuntahkan semua susu dan makanan dalam kejadian berkenaan.
“Selepas dibawa dengan ambulans, anak saya dimasukkan ke jabatan kecemasan. Dalam 15 ke 20 minit mereka cuba selamatkan, kemudian doktor keluar maklumkan anak saya tidak dapat diselamatkan dan pihak hospital beritahu punca sebenar tak dapat disahkan lagi.
Kata pengasuh, dia nampak anak saya dalam keadaan tak selesa dan nak batuk. Jadi dia tepuk belakang untuk bagi sendawa. Kemudian anak saya batuk dan muntah sebelum tak sedarkan diri. Lepas dah bedah siasat pada pagi Sabtu, doktor kata tak dapat tengok keputusan dengan mata kasar. Jadi result sekarang adalah pending laboratory investigation.
“Tapi sampel darah dan tisu paru-paru sudah dihantar ke makmal untuk mendapatkan punca sebenar. Keputusan akan diketahui dalam masa dua hingga tiga bulan. Kalau ikut cerita pengasuh, memang tersedak. Tapi doktor tak boleh sahkan selagi tiada bukti. Tersedak ni hanya anggapan kami. Tapi untuk jawapan sahih, kami masih tunggu ujian makmal,” ujar Hasikin.
Reda pemergian Maryam
Menurut Hasikin lagi, walaupun masih bersedih dengan pemergian Maryam, namun dia reda dengan takdir ilahi.
Malah dia tidak menuding jari terhadap pengasuhnya tetapi berterima kasih atas jasa baik yang banyak memudahkan urusan dia sekeluarga selama ini.
“Pengasuh saya memang cuba sama-sama untuk selamatkan arwah, dah hubungi ambulans dan buat CPR. Pengasuh ada dengan saya dan suami dari awal sampai akhir. Dia tak mengelak, semua bagi kerjasama. Saya dengan pengasuh ok, saya tak salahkan dia sebab perkara ini boleh jadi kat mana-mana.
“Walaupun bayi dalam jagaan mak ayah pun boleh berlaku kejadian sebegini. Saya terima ketentuan, bila jadi benda macam ni, ia bagi pengajaran untuk saya dalami pelbagai ilmu berkaitan bayi.
“Saya percaya, saya dan suami pun dah buat yang terbaik, sebab itu kami reda dengan kejadian ini. Rindu tetap ada, tapi kami terima apa yang berlaku. Bayi kami pun sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Gelang Patah,” ujarnya.
Mengimbas kembali hari-hari terakhir bersama Puteri Maryam, Hasikin bersyukur diberi peluang memandikan bayinya pada pagi kejadian yang mana tugas tersebut biasanya sering dilakukan oleh suami.
“Pada pagi hari kejadian, saya mandikan arwah sebelum dihantar ke rumah pengasuh. Selalunya suami yang mandikan tapi hari tu saya offer nak mandikannya.
“Saya dukung dia, mandi shower sama-sama, dia baik sangat. Lepas mandi, saya bagi suami untuk pakaikan bajunya. Suami pun ada tegur yang dia ‘sangat baik,’ tak macam hari-hari sebelum tu. Sepanjang mengandung pun, memang tiada masalah. Semua urusan saya dipermudahkan,” katanya.
Tambah Hasikin, dia sekadar berkongsi cerita pemergian mengejut anaknya untuk membuka mata masyarakat di luar sana mengenai kejadia-kejadian sebegini.
Jelasnya, penting untuk ibu bapa mahupun sesiapa sahaja melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan agar kita sentiasa bersedia dengan kemungkinan buruk yang boleh berlaku.
Kredit: Mstar
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)