Walaupun anak kecil belum berkata-kata, itu tidak bermakna dia tidak berbicara. Pada 18 bulan yang pertama hidup seorang anak, dia sentiasa ragu-ragu dan tertanya-tanya tentang dunia dan segala isinya yang dapat dilihat, disentuh, dihidu dan dirasa oleh pancaindera.
Ibu bapa orang kepercayaan anak
Si anak yang belum berdaya dan berupaya bergantung sepenuhnya kepada ayah, kepada ibu dan kepada sesiapa sahaja yang mengasuhnya untuk merasai kehangatan belaian, kelembutan, kasih sayang, kestabilan dan ketenangan yang amat diperlukan dalam kehidupan yang baru dilaluinya.
Seandainya kita hadir di kala diperlukan, anak akan merasa selamat, yakin dan percaya akan dunia sekelilingnya.
Seandainya perhatian kita terhadapnya tidak menentu, maka kepercayaan anak terhadap dunia di sekelilingnya dipenuhi keraguan dan kebimbangan.
Seandainya anak sering dipinggirkan, tidak dipedulikan, tidak dipandang, tidak dibelai, tidak dipeluk, tidak dicium, sehingga terpisah emosi dari orang dewasa yang diharapkannya, maka anak membuat andaian dan kesimpulan yang dia keseorangan tanpa dahan untuk berpaut.
Anak kecil membina harapan dari perhatian yang diberikan kepadanya. Dengan harapan itu anak yakin walau apa sahaja rintangan dan dugaan yang dihadapinya, insan yang dipercayainya akan menyokong dan mendorong.
Anak kecil sukar berpisah dan melepas pergi insan yang sentiasa peduli dan peka akan keperluannya.
Dia ragu-ragu dan bimbang akan mereka yang tidak biasa dikenalinya. Itu lumrah. Jangan disangka anak kecil tidak tahu apa-apa hanya kerana dia tidak boleh berkata-kata.
Setiap anak dilahirkan bijak dengan caranya yang tersendiri. Dia sentiasa bersedia untuk dibimbing dan dibentuk, tanpa tentangan, tanpa prejudis.
Anak memerhati apa layanan ibu bapa
Anak kecil sentiasa memerhati untuk meneka makna yang tersirat di sebalik riak wajah dan tona suara insan yang disayangi.
Dia juga mengharapkan agar insan itu tidak memaksa tetapi belajar untuk memahami.
Dengan memerhati bagaimana ayah dan ibu meluahkan emosi, anak mempelajari erti gembira, sedih, marah, teruja, takut dan resah.
Anak memerhati bagaimana ayah dan ibu melayan dan membalas luahan emosinya. Adakah ayah dan ibu peduli akan kesedihan dan keresahan yang dirasainya?
Atau adakah ayah dan ibu hanya mengharapkan kegembiraan dan keterujaan darinya? Ayah dan ibu adalah sumber utama untuk anak kecil mempelajari tingkah laku untuk ditiru.
Bermainlah dengan anak kecil. Luangkanlah masa bersamanya. Jadilah peneman jasmani, rohani dan emosi yang terbaik buat anak.
Ibu bapa guru pertama anak
Peranan kita sebagai insan yang berada di sekeliling anak kecil adalah untuk memberi keyakinan kepadanya bahawa dunia ini adalah tempat yang selamat untuk diteroka.
Berilah kepastian bahawa kita adalah insan yang boleh mereka percaya untuk melindungi mereka dari sebarang mara bahaya.
Tidak kira walau bagaimanapun situasi keluarga dan gaya hidup kita, sebagai ibu bapa kita adalah GURU PERTAMA. Apa yang anak pelajari melalui perhubungannya dengan kita tidak dapat dihitung nilainya.
Tidak ada usaha yang kita lakukan bersama-sama anak pada 18 bulan pertama, adalah sia-sia dan membuang masa.
Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Setiap Ibu Ada Limitasi, Termarah Tu Biasa. Cuma Jangan Biar Anak Sedih Tanpa Dipujuk!
Stres seorang isteri bergelar ibu bukan boleh dibuat main-main. Bila dah sampai tahap burnout ia bukan sekadar stres biasa. Namun menurut pakar psikologi, keadaan ini perlu diberi perhatian yang wajar kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Menerusi perkongsian Puan Nad Masrom, keadaan burn out seseorang ibu harus ditangani lebih awal agar emosi ibu lebih tenang dan anak-anak pun sentiasa dalam mood gembira. Ini juga bagus untuk perkembangan anak.
PUASA PELUANG UNTUK KITA JADI IBU LEBIH BAIK?
Semalam saya dan kawan berbual tentang burn out. Satu keadaan yang ramai ibu tak sedar, mereka sedang melaluinya. Antara tanda seorang ibu itu burn out:
1. Cepat letih
2. Selalu rasa kurang yakin sebagai seorang ibu
3. Cepat nak marah
4. Kemurungan
5. Menjadi kurang sabar bila anak-anak menangis dan bergaduh
6. Rasa apa yang dilakukan sebagai ibu seperti sia-sia
7. Rasa dah mengabaikan anak sendiri
Ada ibu yang tak sedar sedang mengalaminya kerana mereka cepat-cepat switch emosi itu agar kekal berfungsi sebagai ibu yang normal.
Bila kita dah laluinya dan sedar yang hakikatnya kita sudah burn out, bukanlah bermakna kita ibu yang tidak baik.
Hakikatnya setiap ibu itu ada limitasi dalam setiap kemampuannya. Macam saya, sejenis yang suka tengok rumah kemas, bersapu bermop, semua tersusun macam letak gam orang kata, bilik air berkilat setiap hari.
Tapi ada hari, saya tahu dan sedar saya tak mampu lakukannya. Dan pada ‘hari-hari itu’ kalau orang datang rumah, memang macam tongkang pecahlah gamaknya.
Namun, dari satu sudut yang positif, anak-anak saya sedang gembira, berimaginasi sambil bermain (sepahkan rumah di mata kita) dan menerokai fasa perkembangan mental tanpa had.
Itulah yang memujuk hati saya bila lihat rumah dah tak serupa rumah saat itu. Asalkan anak-anak saya gembira, itu juga satu kredit untuk saya kerana memahami apa yang mereka rasa dalam fasa bermain.
Saya akui, adakalanya saya rasa menyesal bila termarah anak-anak. Selalunya sayalah yang akan meminta maaf berkali-kali sambil memeluk anak-anak saya.
Tidak kiralah sikit atau ramai jumlah anak yang kita ada, kita berhak akui apa yang kita rasa. Usah bandingkan diri kita yang masih baru sebagai ibu dengan ibu-ibu lain yang lebih berpengalaman. Setiap ibu ada jalan ceritanya yang tersendiri.
Paling penting adalah kita tidak biarkan diri dalam tekanan yang berpanjangan sehingga menyebabkan masalah lain seperti depresi pula.
Bulan puasa ini mungkin peluang untuk kita perbaiki diri. Selain berusaha menyempurnakan penyusuan susu ibu dalam keadaan berpuasa, inilah peluang untuk kita tingkatkan amalan dengan pelbagai zikir dan bacaan al-Quran.
Mudah-mudahan, kita mendapat kerehatan dan terus berusaha untuk menjadi ibu yang baik buat anak-anak.
Bagaimana dengan puasa ibu-ibu menyusu semua? Masih bertahan lagi dari lapar dahaga dan rasa letih?
Kredit: Nad Masrom
Kaunselor Laktasi
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mama Papa Kena Peka Dengan Tanda-Tanda Ini. Ini Bermakna Anda Perlu Tukar Pengasuh
Dengan pelbagai berita kematian kanak-kanak ketika dihantar kepada pengasuh yang dilaporkan media, pastinya timbul kebimbangan di hati ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak untuk rumah jagaan ketika mereka perlu bekerja. Antara persoalan yang sering timbul adalah, manakah pilihan yang terbaik, sama ada menghantar anak ke taska atau ke rumah pengasuh? Ikuti artikel ini untuk lebih membantu anda membuat pilihan dan keputusan.
Tip memilih pengasuh
Jika ingin menggunakan khidmat pengasuh, pastikan anda menjalankan semua prosedur penyelidikan dan keselamatan sebelum meninggalkan bayi anda bersamanya. Langkah pertama adalah membiarkan bayi baru lahir dengan pengasuh dalam tempoh tertentu di hadapan anda. Walaupun pengasuh itu mahir dalam penjagaan bayi, sekiranya bayi anda tidak ingin berada di sekelilingnya, jangan sesekali memaksa si manja. Anda perlu memastikan persekitaran kekal tenang dan mesra antara pengasuh dan anak kecil anda.
Ahli keluarga atau saudara-mara
Sekiranya anda bernasib baik dan tinggal berdekatan dengan saudara-mara, ini boleh menjadi pilihan yang terbaik. Walau bagaimanapun, hanya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anda, tidak semestinya mereka akan menjaga anak anda seperti yang anda mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya anda berasa percaya dan yakin kerana mengenali individu yang menjaga anak anda.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk anda menyenaraikan keperluan harian anak anda seperti kuantiti pemberian susu sebagai panduan yang boleh membantu mereka. Malah, senarai ini berguna untuk semua pengasuh bukan hanya untuk saudara-mara sahaja.
Cara kehidupan
Untuk ibu bapa yang beragama Islam, sudah tentu anda mahukan pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya.
Memilih pengasuh
Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak
Ilmu Pendidikan Awal Kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia perlu tahu tentang cara untuk menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh, mengendalikan anak yang menggigit atau menenangkan anak yang sedang menangis.
Lakukan penyelidikan
Tanya ibu bapa, jiran dan rakan sekerja untuk cadangan pengasuh bayi. Ini mungkin cara terbaik jika anda tidak mempunyai saudara yang tinggal berdekatan anda. Kebiasaannya rujukan daripada kenalan atau orang yang berpengalaman untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuh daripada individu yang sama boleh membantu anda.
Anak anda selesa
Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Sebagai seorang ibu, anda perlu sentiasa ingat bahawa walaupun anda mungkin mendapat pengasuh yang terbaik, ia bagaimana sekalipun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh ataupun tidak. Jika anak masih tidak mahu dengan pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak sesuai dengan si manja.
Rasa gembira
Sebagai ibu bapa, pasti anda akan dapat melihat sekiranya pengasuh anak anda benar-benar gembira menjaga dan mengasuh si kecil anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
Lakukan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan
Sebaik sahaja mendapati seorang pengasuh yang anda fikir mungkin baik untuk penjagaan bayi anda yang baru lahir, lakukan juga pemeriksaan latar belakang terhadapnya. Anda boleh melakukan temuduga melalui telefon atau tinjauan ke rumah pengasuh berkenaan. Simpan salinan pengenalan diri pengasuh sebagai keperluan rujukan semasa dan akan datang.
Komunikasi
Anda sudah pasti mahu pengasuh menjaga bayi anda sama seperti yang anda lakukan, iaitu dengan cara yang terbaik. Pastikan anda menjaga hubungan anda dengan pengasuh dan ambil masa untuk berbual dengan mereka mengenai anak anda supaya wujud keselesaan antara anda dengan pengasuh. Apabila wujud hubungan komunikasi dua hala yang baik, pengasuh tidak teragak-agak untuk memaklumkan keadaan semasa anak asuhannya kepada ibu bapa.
Menghormati
Seorang pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda jika terdapat sebarang kemungkinan seperti jika dia perlu bercuti seawal yang mungkin.
Bersih dan selamat
Kebersihan merupakan satu petanda yang baik kepada pengasuh. Sebagaimana anda menghantar anak dalam keadaan yang bersih, seharusnya anda akan mengambil anak anda dalam keadaan yang bersih juga. Dalam soal keselamatan, kemalangan kecil seperti terjatuh atau pergaduhan kecil dengan anak jagaan yang lain pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Tetapi seorang pengasuh yang baik akan sentiasa memastikan keselamatan anak anda menjadi keutamaannya.
Tanda perlu menukar pengasuh
Menyerahkan anak kepada jagaan orang yang baru anda kenali bukanlah suatu yang menggembirakan. Apatah lagi, saban hari media memaparkan lambakan berita tentang kekejaman pengasuh yang mendera bayi dan kanak-kanak. Sudah tentu setiap ibu bapa akan berasa risau akan keselamatan anak mereka.
Bagi memastikan anak anda berada di bawah jagaan pengasuh yang betul, anda mungkin perlu melakukan ‘pengintipan’. Anak anda mungkin berada pada pengasuh yang salah jika:
Dia takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.
Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.
Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.
Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.
Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.
Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.
Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.
Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.
Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi.
Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga.
Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.
Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerap Kata ‘Jangan’ Ketika Melarang Anak Boleh Buat Si Kecil Dah Tak Kisah Dan Takut
Kanak-kanak sangat mudah mengikut atau meniru kelakuan ibu bapa mereka baik dari segi kelakuan mahupun percakapan. Mereka masih kecil untuk menentukan sama ada kelakuan atau percakapan itu adalah betul atau salah. Menjadi tugas ibu bapa untuk mendidik anak mereka bagi memastikan mereka membesar dengan sebaiknya.
Dalam percakapan misalnya, kanak-kanak kecil sangat mudah terpengaruh dengan ibu bapa atau orang di sekeliling mereka. Sebagai contoh, mereka suka mengajuk perkataan yang disebut kepada mereka. Ini kerana mereka masih dalam tempoh belajar untuk bertutur dan meniru merupakan praktis yang terbaik untuk mereka. Proses ini penting bagi melahirkan minat seseorang kanak-kanak itu terhadap bahasa yang membolehkan mereka untuk membaca dan menulis kelak.
Adakah penggunaan kata ‘jangan’ memberi kesan kepada anak?
Perkataan yang disebut oleh ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak dari segi mental. Ibu bapa seharusnya menggunakan perkataan yang tepat ketika mendidik anak-anak. Ketika sedang marah, kawal perasaan anda dan cuba gunakan perkataan yang paling tepat agar tidak menyinggung sekaligus merencatkan perkembangan mental anak anda.
Adakah perkataan ‘jangan’ merupakan perkataan yang tepat untuk melarang anak anda melakukan sesuatu? Kajian mengatakan bahawa penggunaan kata ‘jangan’ dengan kerap akan menyebabkan anak anda tidak mudah terpengaruh atau terbiasa yang akan menyebabkan anak anda tidak lagi percaya mahupun menurut larangan anda.
Sebaiknya, perkataan ‘jangan’ ini seharusnya digunakan ketika waktu kecemasan sahaja. Contohnya ketika anak anda bermain dengan peralatan bahaya seperti pisau atau gunting, maka penggunaan kata ‘jangan’ ini diharuskan.
Perkataan alternatif yang boleh digunakan untuk menggantikan kata ‘jangan’
Selain perkataan ‘jangan’, terdapat beberapa perkataan ataupun cara untuk melarang, mencegah atau menghindar anak anda daripada melakukan sesuatu yang tidak diingini. Ibu bapa boleh cuba menggunakan cara berikut dalam situasi yang tepat.
Jika anda ingin melarang anak anda daripada makan sesuatu yang tidak sihat seperti coklat atau aiskrim, anda boleh menggunakan cara ini:
- ‘Ibu tahu kamu suka coklat, tetapi makan dalam kuantiti yang banyak tidak bagus untuk kesihatan’
- ‘Ibu akan belikan aiskrim kegemaran kamu pada esok hari’
Jika anda ingin melarang anak anda daripada bermain dengan makanan mereka, anda boleh menggunakan cara ini:
- ‘Makanan itu untuk makan, bukan untuk main’
Jika anda ingin melarang anak anda yang salah cara bermain permainannya, anda boleh menggunakan cara ini:
- ‘Permainan itu bukan untuk digigit, biar ibu tunjukkan cara untuk main’
Jika anda ingin melarang anak anda daripada memukul orang lain atau menjerit ketika sedang marah, anda boleh menggunakan cara ini:
- ‘Gunakan mulut, bukan tangan kamu’
- ‘Ibu tidak faham apa kamu cakap jika kamu menjerit, guna nada yang sesuai’
Jika anda ingin melarang anak anda daripada bermain sesuatu yang anda tidak gemar, anda boleh menggunakan cara ini:
- ‘Berikan ibu telefon itu, ibu ganti dengan lego’
- ‘Anak patung yang cantik ini akan jadi milik kamu jika kamu berikan ibu krayon itu’
Terdapat juga beberapa perkataan yang pendek namun memberikan maksud yang sama seperti jangan namun lebih berkesan, contohnya perkataan ‘tidak’, ‘sudah’ atau berhenti’. Kita juga boleh menggunakan kata yang memberi maksud fizikal sesuatu barangan yang hendak didekati oleh anak-anak seperti ‘panas’ untuk seterika serta ‘bahaya’ untuk dapur gas.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI