“Kalau menangis ayah tinggal kamu di sini!!” Dalam amalan dan perbualan seharian kita dengan anak -anak terdapat dua jenis janji yang sering kita buat dengan anak-anak. Antaranya:
1) Janji hendak memberi ganjaran kepada anak apabila dia melakukan sesuatu yang baik.
2) Janji hendak menghukum anak apabila anak melakukan kesalahan.
Janji yang tidak ditepati oleh ibubapa bukan sahaja boleh mengelirukan anak-anak malah akan juga membentuk karakter anak itu sendiri.
JANJI GANJARAN
Apabila berjanji hendak memberikan ganjaran kepada anak, pastikan ganjaran yang dijanjikan itu diberikan dan bukan hanya janji kosong. Sebelum memberi ganjaran pastikan ganjaran itu dalam kemampuan kita. Jangan hanya berjanji tetapi kita sendiri tidak mampu dari segi material, tenaga dan masa untuk tunaikan.
Jika kita hendak menjanjikan ganjaran yang mahal, fikirkan dulu adakah kita mampu? Jangan berjanji sesuatu di luar kemampuan kita ataupun terlampau mahal sehingga terpaksa korbankan benda lain yang lebih penting.
Jika kita menjanjikan masa untuk diluangkan dengan anak, fikir dahulu adakah kita mampu peruntukkan masa dan korbankan masa kerja dan rehat kita? Jika kita sibuk sepanjang masa, ‘meeting’ tidak putus, ‘outstation’ ke sana ke mari, jangan berjanji dengan anak.
Jika kita berjanji hendak menolong anak dengan sesuatu tugasan, fikirkan dahulu adakah tenaga yang kita ada mampu untuk mengerjakannya?
Janji yang tidak dikotakan akan mempengaruhi karakter dan personaliti anak juga. Bukankah kita ‘role model’ terbaik anak? Jika kita tidak kotakan janji, berkemungkinan besar anak akan meniru kita. Jangan mengeluh bila tiba hari tua kita nanti anak tidak mengotakan janji-janjinya kepada kita.
JANJI HUKUMAN
Selalu sangat saya mendengar gertak si ayah atau ibu yang hendak merotan anak.
Contohnya:
“Kalau bising lagi ayah rotan”,
“Kalau sebut perkataan macam itu lagi mama cili mulut”.
“Kalau mengamuk mama balik dan tinggal kamu di sini.”
Gertak yang sebegini juga termasuk dalam kategori ‘janji’.
Jika tidak tergamak, jangan janji hukuman yang sedemikian kepada anak kerana lama-kelamaan anak tidak makan saman.
Anak tahu “Eleh! Selalu cakap nak rotan tapi tak rotan pun. Ayah tak marah pun. Jom buat lagi.”
“Tak cili mulut pun, tak ada hal.”
Itulah sebenarnya mesej yang secara kita tidak sedar sampai kepada anak.
Walaupun mungkin hukuman itu adalah sesuatu yang rasional, jangan berjanji jika kita tidak akan tunaikan. Fikirkan dahulu.
Kedua-dua jenis janji ini jika tidak ditepati akan juga menghilangkan hormat anak kepada ibubapa. Mereka tidak akan peduli dengan kata-kata kita lagi.
Dan yang paling penting, dalam mendidik anak dan mendisiplinkan anak, gunalah kaedah yang menanam nilai yang baik dalam diri anak. Menepati janji adalah satu nilai yang perlu diamalkan dan juga digalakkan dalam agama.
Salah satu ciri seorang Mukmin adalah mereka yang berpegang kepada janji.
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;”
(Al-Mu’minun 23:8)
Berhati-hatilah dalam berjanji.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy