Anak tidur sekejap-kejap buatkan ibu bapa jadi stres. Alasannya takut anak merengek dan lesu. Situasi ini yang paling membuatkan ibu bapa jadi risau bila dibandingkan dengan bayi lain yang boleh tidur berjam-jam lamanya. Ibu bapa perlu tahu setiap bayi berbeza dan kita tak boleh nak samakan tabiat anak masing-masing.
Untuk ibu bapa lebih memahami tabiat anak yang jenis tidur sekejap-kejap atau dalam istilahnya tidur kucing, Konsultan Baby Language, Puan Uswatun Hasanah merungkaikan kekeliruan ini.
Bila saya sebut ‘cat sleeper’, ramai ibu bapa tak faham. Bila saya sebut ‘tidur ayam’ baru masing-masing ber ‘Oooo’. Lain sikit terma Melayu dan English rupanya. Orang yang jenis tidur sekejap-sekejap kita panggil cat sleeper ye tuan-puan. Nak tau kenapa? Ha, tengok fakta.
Kucing boleh tidur 16-20 jam sehari!. Mesti ramai tak percaya kan? Sebabnya payah benar kita nak tengok kucing tidur tergolek tak ingat apa macam kita, betul tak?
Tentulah kerana tidur kucing tak sama macam tidur manusia. Namun hakikatnya, inilah sebabnya kita menggelar orang yang tidur sekejap-sekejap atau sekejap-sekejap tapi kerap sebagai ‘cat sleeper’ atau tidur kucing.
Bayi pun ada yang cat sleeper ye. Maksudnya, bayi-bayi yang memang jenis tak tidur sekaligus 2 hingga 3 jam macam rakan-rakan lain. Mereka tidur maksimum 45 hingga 90 minit setiap sesi tapi lebih kerap. Memang mereka semula jadi begitu!
Sebab itu saya SELALU sebut pada ibu bapa, berapa jam atau berapa lama anak tidur itu soal kedua, kerana setiap individu berbeza. Petanda UTAMA yang ibu bapa boleh guna untuk ukur sama ada anak anda cukup tidur (well rested) ialah: adakah anak kelihatan segar, gembira dan puas setiap kali selepas tidur?
Jika Ya, maka anak anda memang telah dapat cukup rehat yang dia perlukan walau ia cuma 50 hingga 60 minit. Jika anak anda telah tidur hampir 2 jam sekalipun tetapi bangun masih merengek, nampak lesu dan cerewet, maksudnya jumlah itu masih tak mencukupi untuk dia.
Jadi, tak perlu susah hati sangat jika anak anda tak tidur berjam-jam macam anak orang lain. Ingat, berapa puas anak anda kelihatan selepas bangun tidur itu kayu ukur nombor satu. Jumlah jam keseluruhan anak tidur jatuh nombor dua.