
Dalam mendidik anak-anak, adakalanya kita perlu memarahi mereka. Kemungkinan kerana mereka perlukan sedikit sentakan agar mereka boleh memahami kepentingan atau bahaya sesuatu perbuatan itu.
Contohnya, menyeberang jalan tanpa melihat kanan dan kiri dan menonong sahaja membahayakan diri. Sudah diingatkan lebih 3 kali, maka, perlu dimarahi dan dihukum dengan hukuman dan marah yang berpatutan.
Ramai risau untuk memarahi anak kerana merasakan bahawa nanti anak akan tidak menyayangi mereka atau anak jadi melawan.
Ini beberapa mutiara ilmu yang boleh membantu bagaimana untuk memarahi anak dan anak menjadi semakin hormat dan kasih akan kita.
1- Marahlah perbuatan yang salah itu bukan diri anak itu. Jangan kata perkataan macam ni ‘ Kamu ni memang jahat!’ kerana ini menuduh dan mengidentitikan diri anak itu. Katalah perkataan seperti ini,’ Janganlah berperangai tidak baik macam tu…sayang anak yang baik’.
2- Guna senjata marah ini pada tempat-tempat yang tertentu saja. Jangan asyik marah. Senjata tu dah jadi tidak kuat kesannya.
3- Sebelum marah akan sesuatu perbuatan, pastikan anak sudah jelas bahawa perbuatan itu salah. Sudah diterangkan berkali-kali. Anak-anak dibawah 4 tahun akan mengambil masa yang lebih lama untuk faham, sebab perkembangan otak belum maksimum.
4-Bila marah gunalah “sandwich” method. Iaitu, mulai dengan menghargai sesuatu yang baik yang telah dilakukan. Kemudian baru bawa ke tengah perkara yang hendak ditegur. Akhirkan dengan kata-kata harapan dan positif.
Contoh:
“Mama happy sangat tengok Abang dan semakin rajin solat. Bagus tu. Mama tengok Abang susah sikit bangun subuh. Ini kurang bagus. Rugi kalau kita miss mana-mana waktu solat. Apakata Abang tidur awal supaya tak ngantuk bagun solat subuh. Mama yakin Abang boleh disiplinkan diri, kerana hari tu bila Abang set nak disiplin basuh pinggan lepas makan, Abang dah tak miss dah. Anak Mama ni memang kuat semangat.”
5- Beri ruang untuk anak memproses apa yang ditegur itu. Setelah anak agar tenang, nyatakanlah kasih anda kepadanya dan keyakinan anda bahawa dia boleh membetulkan kesilapannya. Serta nyatakankasih anda.
6- Elaklah mengatakan kata-kata begini..”mak marah ni sebab mak sayang..’ semasa tengah memarahi anak. Ini langsung tidak berkesan untuk anak-anak zaman sekarang.
Harap ini membantu bagi yang minda dan hati yang senantiasa terbuka untuk kebaikan.
Sumber: Ibu Rose
Pakar Kekeluargaan Dan Keibubapaan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Masih Sempat Lagi Latih Anak Yang Sukar Membaca Walaupun Sudah Berusia Enam Tahun. Cuba Tip Ini

Jangan risau, masih sempat lagi latih anak yang sukar membaca walaupun sudah berusia enam tahun. Hakikatnya kanak-kanak perlu belajar memahami sebanyak mungkin perbendaharaan kata dan struktur ayat sesuatu bahasa yang ditulis dalam bahasa Melayu mahu pun bahasa lain.
Mereka juga perlu berlatih dengan pelbagai teks untuk meningkatkan kefasihan berbahasa supaya mengenali perkataan dan kefahaman membaca menjadi lebih cepat, tepat dan koordinasi yang baik. Kanak-kanak akan merasa tertekan apabila membaca sesuatu bahasa yang mereka sendiri tidak memahami. Membaca secara hafalan dari segi jangka panjang tidak mendatangkan keseronokan kepada kanak-kanak untuk meneruskan minat membaca.
Tiga faktor utama untuk mengkategori pembaca yang baik iaitu pertama, mereka memahami sistem huruf bahasa yang dipelajari untuk mengenalpasti cetakan perkataan Kedua, mereka dapat dan menggunakan latar belakang pengetahuan dan strategi untuk mendapatkan atau memahami makna daripada cetakan. Ketiga, mereka membaca dengan lancar. Ketiga-tiga elemen ini hendaklah digabungkan semasa mengajar membaca kepada kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak tidak menguasai bahasa yang dipelajari secara tidak langsung mereka tidak memahami makna perkataan dan tidak dapat membaca pada huruf cetakan di dalam buku. Keadaan ini mengganggu kelancaran untuk membaca. Memahami makna perkataan dapat membantu sebutan yang betul dan kelancaran membaca.
Tanpa disedari bahawa kanak-kanak mula membina kemahiran berbahasa sejak bayi lagi. Walau pun agahan daripada keluarga semasa bayi adalah membantu untuk memahami dan menjadi penutur bahasa ibundanya. Apabila bayi berminat dengan gambar pada buku, apabila kanak-anak dua tahun melakar dengan krayon, apabila kanak-anak empat tahun menunjukkan huruf di papan tanda jalanraya – kesemua ini adalah isyarat perkembangan literasi kanak-kanak. Membaca perlu dipupuk dari awal bayi dilahirkan dan prosesnya berterusan dengan memperkayakan persekitaran literasi.
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang menghadapi masalah membaca di sekolah rendah adalah terdiri daripada mereka yang kurang kemahiran bertutur, kurang kepekaan terhadap sistem bunyi bahasa, kurang pengetahuan terhadap huruf, kurang kefahaman dengan tujuan asas dan mekanisma membaca. Oleh itu persediaan awal sangat perlu seperti mendedahkan dengan persekitaran berbahasa dan literasi yang berkualiti di rumah, taman asuhan (taska) dan tadika.
Persekitaran literasi di rumah
Ia sangat penting untuk menggalakkan kanak-kanak membaca. Pelbagai jenis mainan dan buku di rumah belum tentu menjamin minat kanak-kanak membaca. Perkara paling penting perhatian ibu bapa dan keluarga untuk bersama membaca. Ibu bapa perlu memberi ruang masa untuk bersama anak-anak membaca sambil berbincang. Sekiranya anak masih kecil memadai bersama membuka lembaran buku sambil berbincang tentang gambar dan ilustrasi yang terdapat dalam buku.
Perbualan
Aktiviti membaca bukan sahaja membaca buku. Perbualan boleh dilakukan menerusi minum air jus. Bincang tentang perkataan yang tertulis pada kotak jus. Contohnya ‘Oren’. Beri penekanan huruf ‘O’ semasa menyebut ‘oren’ sambil menunjukkan huruf ‘O’. Secara tidak langsung kanak-kanak mengenali sebutan perkataan dan ikuti huruf ‘O’. Kanak-kanak dapat mengaitkan huruf ‘O’ dengan perkataan dan sebutan perkataan. Begitu juga dengan perkataan-perkataan lain untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sebutan, perkataan, huruf dan makna yang dibaca menerusi objek yang dilihat.
Tenaga pengajar di Tadika
Semasa kanak-kanak di tadika, kebanyakan kanak-kanak sensitif kepada bunyi, makna perkataan, pertuturan perkataan. Perkenalkan kepekaan sistem bunyi bahasa menerusi berbagai cara, contohnya bahasa berirama, puisi dan lagu berirama; mebina perkataan yang melucukan pada sesuatu benda dengan menggantikan satu bunyi kepada bunyi yang lain (contohnya, kerang, kerung, kereng, kerong); memendekkan perkataan panjang menjadi satu patah sebutan atau bertepuk pada setiap patah perkataan dalam ayat; kanak-kanak menyedari beberapa perkataan yang sama bunyi (contoh, tupai, topi; padi, peti).
Walaupun kanak-kanak tadika jarang memberi perhatian kepada makna segment dalam sebutan perkataan, dengan mengambil faedah daripada kepekaan terhadap sistem bunyi adalah lebih berkemajuan. Kelebihan kepekaan sistem bunyi dapat membantu kanak-kanak memahami prinsip huruf dan sistem bunyi sesuatu perkataan. Aktiviti yang dapat memupuk kepekaan sistem bunyi di tadika adalah menyanyi, permainan bahasa, permainan rentak bahasa, dan puisi berirama. Aktiviti membaca perlu dipelbagaikan kerana tumpuan untuk kanak-kanak kepada sesuatu perkara tidak lama. Kanak-kanak tadika dan taska boleh bertahan lebih kurang 5 hingga 8 minit. Malah jika aktiviti itu membosankannya lebih singkat masa yang diambil untuk memberi tumpuan.
Kesimpulannya
Membaca adalah proses yang komplek dan saling berkaitan dengan makna, perbendaharaan kata, sebutan dan mengenali huruf yang tercetak. Membaca perlu bermula dengan persekitaran literasi dari rumah ke institusi taska dan tadika seterusnya sekolah. Huruf ‘A’ tidak memberi makna kerana huruf itu adalah simbol sahaja. Sukar bagi kanak-kanak menyebut dan mengingat huruf ‘A’ yang tidak memberi makna kepadanya. Seandainya orang dewasa menyebut ‘Ayah’ atau ‘Abah’ kanak-kanak kecil akan cuba memahami bunyi ‘A’ dan memberi makna kepadanya dengan merujuk ‘Ayah’. Setiap kanak-kanak keupayaan dan kebolehan membaca adalah berbeza diantara satu sama lain. Dinasihatkan orang dewasa perlu bersabar sewaktu mengajar kanak-kanak membaca.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Didik Anak Suka Buku, Biar Je Anak Koyak Atau Sepahkan Buku. Itu Caranya Dia Belajar

Anak suka koyak buku, tapi nak didik anak suka buku. Apa cara yang sepatutnya ibu bapa buat. Sama ada nak biarkan anak dengan tindakan tu atau halang anak dari berbuat demikian.
Bila difikirkan lumrah anak kecil suka buat perkara yang cukup mencabar kesabaran ibu bapa kan?. Lagi-lagi bila diberikan buku anak koyak dan menyepahkan. Itu belum lagi bab menconteng sana sini.
Disebabkan tak mahu anak bertindak macam tu sebab kita rasa membazir, sampai satu tahap ibu bapa marah dan simpan buku tersebut di rak. Bila anak nak baru diberikan. Tujuannya tak mahu rumah nampak bersepah.
Namun cara kita buat pada anak-anak salah ya. Melalui perkongsian dari Al Irfan Jani nak anak sukakan buku ibu bapa kena beri kebebasan pada anak tu nak buat apa pun, bukannya dimarah dan menyimpannya di tempat yang tinggi.
Ada dua kategori yang dibincangkan sama ada Sayang Buku atau Sayang Ilmu.
Ada sekali tu, bersama saya dan Prof J, ada seorang anak seusia 5 tahun, di ruang tamu, sedang mengoyak buku. Tak pasti cucu, atau anaknya.
Saya tanya, “Prof, itu buku siapa yang dia koyakkan tu?”
– “Oh, itu memang buku dia. Buku mewarna. Ah, tak apa, abaikan.”
Jadi kami pun mesralah bersembang pasal manuskrip, sampailah ke topik buku dan anak.
“Prof, anak-anak ni asyik koyak buku, bila dia nak ada rasa cinta buku?” (Yalah, masa tu saya bujang lagi).
– “Ala Fan, buku itu memang dicipta untuk dikoyakkan budak.”
Selamba Prof jawab macam tu.
Terkejut juga saya.
“Wah rugilah, asyik nak beli baru aje. Bila pulak nak ajar dia baca.”

Begini perkongsian Prof J,
Biasanya, kita fikir, kalau nak bagi anak sukakan buku, maka kita hadiahkan dia sebuah, kan?
Maka lepas tu terjadilah kes-kes macam ni:
KES 1
Dia dah belek-belek, dia ronyokkan. Lepas tu dia koyak.
Kemudian, kita marah dia, yalah duit kita dah bazir kan. Kita pesan dia jaga baik-baik buku tu, kita ajar dia, supaya ada rasa sayang pada buku.
KES 2
Kadang, anak tu lepas baca, letak sepah-sepah. Ada kes sampai dia melangkah dan pijak-pijak buku tu pun ada.
Kemudian, kita larang dia melangkah buku. Kita ajar dia pickup buku, dan susun di almari.
Sudahnya, setiap kali dia nak ambil buku, dia kena guna buku tu hati-hati. Letak balik di rak hati-hati.

KES 3
Anak suka conteng buku tu. Padahal buku tu untuk dibaca. Bukan untuk diconteng.
Maka, kita pun belikanlah dia buku yang lain, khusus untuk diconteng.
Kita ajar dia jenis-jenis buku, tujuannya, dan cara guna buku-buku itu.
Ada untuk dilukis/diconteng, ada untuk dibaca, ada untuk dipeluk, dan lain-lain.
Hakikatnya, ANAK KITA AKAN KELIRU!
Yalah, kita nak ajar semua benda ni, SERENTAK:
1) Nak ajar anak membaca.
2) Nak ajar anak beradab dengan buku (ilmu)
3) Nak anak belajar sukakan buku.
4) Nak jaga poket (keadaan buku).
5) Nak ajar anak kenal dengan jenis dan kategori buku.
6) Nak jaga anak jangan itu dan ini..”
Banyak tu, kan?
Sudahnya, anak tu tak belajar apa pun.
Kenapa gagal? Puncanya, ANAK ANGGAP ITU BUKAN BUKU DIA. Semudah itu saja.
Logik anak ni simple. Kalau dah jadi milik sendiri, kenapa ada pantang-larang? Ada undang-undang?
Benda ni fitrahnya tak berlaku pada mak ayah yang memang suka buku.
Mak ayah yang BETUL-BETUL suka buku, mereka TAKKAN SAYANG PADA BUKU. Tapi, mereka SAYANG PADA ISINYA.
Sayang Buku (SB) VS Sayang Ilmu (SI)
SB
Orang yang SAYANGKAN BUKU, mereka akan sanggup beli buku banyak-banyak, sebab…
-TAKUT BUKU TU NAIK HARGA
-TAKUT BUKU TU HABIS
-TAKUT BUKU TU TAK DIJUMPAI LAGI
Akhirnya, buku-buku yang dibeli bertahun pun masih tak dibuka. Berdebu.
Ibu bapa yang SAYANG BUKU, dia ajar anaknya menjaga FIZIKAL BUKU. Itu saja.
SI
Mereka yang SAYANG ILMU, dia tahu kesempatan MEMBACA lebih sedikit daripada peluang MEMILIKI.
Jadi dia tidak fikir bagaimana ingin penuhkan rak bukunya. Tapi dia lebih fokus untuk habiskan bacaannya. Beli 1 habiskan 1. Beli 3 habiskan 3. Beli 10 habiskan 10.
Ibu bapa yang SAYANG ILMU, dia tahu anaknya memang tak akan faham ilmu. Jadi hadiahkan saja buku sebagai OBJEK.

Biarlah anak nak buat apa pun dengan buku itu. Sebab itu dah jadi buku dia. Asalkan bukan BUKU ORANG LAIN.
NOTA SAYA: Dua-dua ini kita kena raikan.
Tak ada golongan SB, golongan SI pun tak boleh beli buku dengan murah. Tak ada golongan SI, golongan SB tak dapat miliki buku bagus yang banyak.
Kita yang dewasa ni,
kena sayang dua-dua. Sayang OBJEK dan Sayang ILMU.
Kerana,
OBJEK dibeli dengan DUIT.
Dan DUIT diperoleh dari ILMU.
NAMUN, INI TIDAK BERLAKU PADA ANAK
Anak ni dia tak tahu cara nak sayang ILMU. Membaca pun belum, apatah lagi nak faham perkataan?
Jadi, anak tu koyak, warna, pijak, baling, apa saja yang dia buat pada buku itu, itulah caranya dia belajar. ITU ILMU BAGI DIA.
Cuma kena ingat,
PASTIKAN BUKU ITU KEMBALI KE TANGANNYA SEMULA.
- A) Koyak? Kita tampal semula, dan tunjukkan pada dia.
B ) Conteng? Kita padam/tulis semula, lalu pulangkan padanya.
- C) Pijak? Renyuk? Rosak? Baiki semula, dan bagi dia tengok hasil selepas itu.
Sebab, dari situ anak belajar bagaimana mak ayahnya melayani sebuah buku.
Dan itulah yang akan ditiru.”
Demikian diskusi petang kami yang berat
Saya kagum dengan pemikiran begini. Saya juga kagum dengan hidup anak-anak Prof J bersama Quran dan buku-buku.
Terima kasih, Prof.
Saya pegang kata-kata ini,
“Jangan sayang buku, kerana, buku hanyalah objek. Sayang dulu pada manusianya. Dan manusia itu yang akan sayang pada objek.”
Sumber: Al Irfan Jani
Kredit Gambar: Kedaiberjaya.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenapa Ibu Bapa Patut Hantar Anak-Anak ke Tadika Lebih Awal

Kenapa ibu bapa patut hantar anak-Anak ke tadika lebih awal. Pendidikan awal kanak-kanak adalah asas penting untuk membentuk keperibadian, kemahiran sosial, dan kognitif anak-anak.
Kenapa Ibu Bapa Patut Hantar Anak-Anak ke Tadika Lebih Awal
Oleh itu, menghantar anak-anak ke tadika pada usia yang lebih awal adalah satu langkah bijak yang boleh memberi manfaat besar dalam pembangunan mereka.
Berikut adalah beberapa sebab utama kenapa ibu bapa patut mempertimbangkan keputusan ini:
1. Membangunkan Kemahiran Sosial
Pada usia muda, kanak-kanak sedang dalam proses memahami dunia di sekeliling mereka. Dengan menghantar anak-anak ke tadika, mereka akan berpeluang berinteraksi dengan rakan sebaya. Interaksi ini membantu mereka membina kemahiran sosial seperti berkongsi, menunggu giliran, dan bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan. Kemahiran ini sangat penting dalam kehidupan mereka apabila dewasa kelak.
2. Meningkatkan Kemahiran Komunikasi
Tadika menyediakan persekitaran yang memupuk pertuturan dan bahasa. Guru-guru di tadika memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak cara bertutur dengan betul, menggunakan bahasa sopan, dan memahami arahan. Pengalaman ini boleh mempercepatkan perkembangan komunikasi mereka, terutama bagi anak-anak yang mungkin lebih lambat bercakap di rumah.
3. Merangsang Perkembangan Kognitif
Pada usia awal, otak kanak-kanak berkembang dengan sangat pantas. Tadika yang berkualiti menawarkan pelbagai aktiviti seperti permainan pendidikan, seni dan kraf, serta eksperimen mudah yang dapat merangsang pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membantu anak-anak memahami konsep asas seperti warna, bentuk, nombor, dan huruf.
4. Menyediakan Asas Pendidikan Formal
Tadika adalah peringkat awal pendidikan formal. Dengan menghantar anak ke tadika lebih awal, mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di sekolah rendah nanti. Mereka sudah terbiasa dengan rutin sekolah seperti mendengar arahan guru, mengikuti jadual, dan menyelesaikan tugasan kecil. Ini akan mengurangkan kejutan budaya apabila mereka memasuki darjah satu.
5. Meningkatkan Keyakinan Diri
Apabila kanak-kanak berjaya menyelesaikan aktiviti di tadika, mereka akan berasa lebih yakin dengan diri sendiri. Sama ada membaca buku, melukis gambar, atau menyelesaikan teka-teki, setiap kejayaan kecil akan memberikan rasa pencapaian kepada mereka. Keyakinan ini penting untuk membentuk perwatakan positif dalam kehidupan seharian.
6. Membantu Ibu Bapa Mengimbangi Kehidupan
Bagi ibu bapa yang bekerja, menghantar anak-anak ke tadika lebih awal boleh memberikan peluang untuk mengimbangi kehidupan kerja dan tanggungjawab keluarga. Di tadika, anak-anak berada di bawah pengawasan guru terlatih, yang memastikan mereka terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat dan selamat sepanjang hari.
7. Mengenal Pasti Bakat dan Potensi Awal
Tadika adalah tempat yang baik untuk mengenal pasti minat dan potensi anak-anak. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, ibu bapa dan guru boleh melihat apa yang anak-anak gemari atau mahir. Contohnya, anak mungkin menunjukkan minat dalam muzik, seni, atau sukan, yang boleh dikembangkan lebih lanjut di kemudian hari.
Kesimpulannya, menghantar anak-anak ke tadika lebih awal bukan sahaja memberi mereka peluang untuk belajar dan berkembang, tetapi juga membantu ibu bapa memastikan anak-anak mereka mendapat permulaan yang kukuh dalam kehidupan.
Pendidikan awal adalah pelaburan jangka panjang yang dapat membawa manfaat besar dalam aspek sosial, emosi, dan akademik anak-anak. Sebagai ibu bapa, memberikan asas pendidikan yang baik adalah hadiah terbaik yang boleh anda berikan kepada anak-anak anda.
Justeru, pertimbangkan untuk memilih tadika yang sesuai dengan keperluan anak anda dan mulakan langkah awal dalam membina masa depan mereka yang cemerlang.
Baca artikel lain juga: Anak Sering Tak Sihat Bila Mula Masuk Tadika, Taska, Begini Cara Atasi
Yuran Tadika, Taska Naik Hingga 25 Peratus Tahun Depan, Sudah Bersediakah Ibu Bapa
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI