Anda mungkin menghadapi masalah bayi suka menyusu sebelah payudara. Nasihat pakar laktasi ini berguna untuk atasinya. Maklumlah, pening juga bila bayi menyusu sebelah sahaja payudara.
Ibu tentu rasa tak selesa, lenguh bila posisi penyusuan tidak boleh ditukar kepada satu lagi payudara. Bila diberi yang sebelah sana, bayi menyusu tidak lama dan sekiranya dipaksa juga akan menangis tanda protes!
Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, setiap cabaran itu pasti ada penyelesaiannya. Perlu diingat bahawa bayi perlu dipujuk dan bukan dipaksa! Oleh itu, teknik memujuk amat penting dalam usaha mengembalikan minatnya untuk menyusu di sebelah payudara yang tidak digemari. Keadaan ini boleh diatasi dengan lima cara berikut;
1.Cuba susukan bayi ketika dia baru bangun tidur dan belum benar-benar sedar atau ketika dia sedang mengantuk. Bayi akan lebih mudah bekerjasama dan bertindak secara spontan.?
2.Mulakan penyusuan pada payu dara yang kurang digemarinya terlebih dahulu. Apabila pancutan refleks berlaku, alih ke payu dara sebelah lagi tanpa mengubah posisi kepalanya. Sebagai contoh, mulakan dengan posisi Cradle Hold kemudian alihkannya kepada posisi Football Hold. Anda juga boleh praktik posisi penyusuan yang lain.?
3.Menyusu dalam suasana yang selesa (lampu malap atau berkeadaan sunyi dan sepi).
4.Cuba menyusu sambil berjalan, menggendong atau ayunkannya perlahan-lahan sehingga bayi menerima payu dara yang kurang digemari.?
5.Jika bayi lebih gemar payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih laju, lakukan urutan (breast compression) untuk mempercepatkan aliran susu di payudara yang perlahan aliran susunya. Jika sebaliknya, kepit (Scissor Hold) di bahagian areola untuk memperlahankan aliran susu. Untuk merangsang penghasilan susu dengan lebih banyak di payu dara yang perlahan alirannya, anda boleh memerah dengan tangan atau mengepam payu dara tersebut untuk memastikan bekalan susu yang berkekalan.
Kesabaran dan kegigihan adalah kunci kejayaan. Teruskan usaha! Bayi mungkin akan menerima kembali payu dara sebelah kiri sedikit masa lagi. Jika dia masih meragam atau enggan, anda harus teruskan rangsangan di payu dara kiri dengan memerah sekerap mungkin. Ini penting untuk memastikan bekalan susu berkekalan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kerap Terjaga Waktu Tidur Malam Boleh Jejaskan Perkembangan Minda & Fizikal Si Manja!
Kalau anak anda kerap terjaga waktu tidur malam jangan main-main kerana ia boleh jejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja. Mesti ramai ibu bapa yang melalui pengalaman si kecil suka menangis tengah malam dan susah untuk tidur semula.
“Sejak masuk umur setahun, Amna susah nak tidur malam. Lepas tu asyik terjaga ajak main. Risau mama tau!”
Mungkin ada anak kecil yang dulu jenis tidur sepanjang malam dan hanya bangun untuk menyusu sahaja tetapi bila masuk usia setahun mula berubah pola tidurnya. Tambah memeningkan kepala papa mama, bila dia bangun tengah malam dan ajak bermain untuk tempoh paling lama tiga jam.
Waktu siang pula dia hanya tidur sekali dan sekejap. Mulalah papa dan mama risau fikirkan hal ini. Adakah ini boleh memudaratkan kesihatan si kecil?
Tidur yang cukup dan berkualiti memang penting untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar. Kalau tak cukup tidur, ia boleh menjejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja.
Pernahkah anda terfikir berapa lama sebenarnya si kecil perlu tidur dalam sehari? Dari lahir sampai dewasa, jumlah jam tidur yang diperlukan berbeza ikut peringkat perkembangan dan ini termasuk tidur petang atau ‘nap time’. Tidur penting untuk anak membesar sihat dan cergas.
Jom rujuk jadual tidur anak mengikut usia mereka.
• Lahir-3 bulan: tidur selama 18 jam sehari – lapan atau 10 jam pada waktu malam dan lapan jam waktu siang.
• 4-6 bulan: tidur selama 16 jam sehari – 12 jam tidur pada waktu malam dan empat jam pada waktu siang.
• 6-8 bulan: tidur selama 14 jam – 11 jam pada waktu malam sementara tiga hingga empat jam pada waktu siang.
• 8-12bulan: tidur selama 13 jam – 11jam hingga 12 jam pada waktu malam, 2 jam lagi pada waktu siang.
• 12-18 bulan: tidur antara 11 hingga 12 jam waktu malam dan hanya dua jam pada waktu siang.
Masa bayi baru lahir, dia tidak dapat membezakan waktu siang ataupun malam. Jadi, bayi akan tidur untuk 2-3 jam dan bangun semula untuk menyusu. Waktu malam pun sama. Selepas kira-kira 6 minggu, barulah mereka mula dapat tidur lebih lama pada waktu malam. Ketika ini, digalakkan ibu bapa untuk mula membiasakan bayi untuk aktif waktu siang dan tidur lebih lama pada waktu malam.
Selepas usia 3-6 bulan, bayi biasanya dapat tidur berterusan selama 5-6 jam pada waktu malam. Anak-anak yang dapat jumlah tidur yang cukup boleh masuk tidur dalam masa yang singkat iaitu 15-30 minit, tidur berterusan dan lena.
Sekiranya si kecil tidak dapat kualiti tidur yang bagus, dia akan selalu mengantuk pada waktu siang, mengamuk dan bersikap hyper dengan masalah sikap yang sukar dikawal.
Kenapa sesetengah anak kecil ada masalah tidur malam? Ini antara sebabnya.
1. Sudah jadikan ‘habit’ memerlukan bantuan untuk tidur. Misalnya dia biasa dibuai ketika hendak tidur jadi anak tidak akan belajar untuk tidur sendirian. Jika dia terjaga atau ibu tiada di sisinya, dia akan menangis dan mengamuk untuk mendapatkan perhatian.
2. Terlalu penat atau tidak dapat ‘nap time’ yang mencukupi. Bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur petang sekurang-kurangnya satu hingga dua kali sehari. Sekiranya mereka rasa penat sebab tak cukup tidur petang, mereka akan mengamuk dan tidak mahu tidur malam. Jika mereka nampak sudah terlalu mengantuk waktu petang, bagilah mereka tidur untuk 1 hingga 3 jam. Tetapi jangan bagi mereka ‘nap’ kalau sudah dekat dengan waktu tidur malam.
3. Gelisah berpisah dengan ibu bapa kerana perlu tidur berasingan di katil/bilik berlainan. Disebabkan itu, mereka tidak mahu tidur malam atau tidak tidur lena dan asyik terbangun.
4. Anak tiada rutin tidur yang tetap di mana waktu tidur bertukar-tukar dan berlalinan pada hari cuti akan membuatkan amalan tidur anak menjadi lebih susah. Ibu bapa dan ahli keluarga lain yang selalu tidur lewat dan tiada waktu tidur rutin turut menjejaskan amalan tidur anak.
5. Obstructive Sleep Apnea di mana saluran pernafasan tersumbat disebabkan masalan tonsil dan adenoid (bahagian belakang hidung dan tekak) yang besar. Anak-anak tidur berdengkur kuat, nafas laju, mulut ternganga dan tidak dapat kualiti tidur yang bagus. Mereka tidak dapat tidur lena dan susah bangun pagi. Jika anak ada tanda seperti ini, segera bawa berjumpa doktor.
6. Alahan dan asma. Hidung tersumbat/berlendir ataupun resdung sebab alahan, selesema ataupun penyakit asma boleh menyebabkan anak susah bernafas. Akibatnya, mereka tidak dapat tidur lena. Masalah perut kembung, asid refluk, sakit telinga atau sakit tumbuh gigi di kalangan bayi juga boleh menyebabkan mereka susah tidur malam.
Jadi, walau apa cara sekalipun anak anda hendak tidur, sentiasa pastikan mereka mendapat cukup tidur. Jangan biasakan anak kecil berjaga hingga lewat malam kerana menonton telvisyen atau bermain handphone dan akibatnya mengamuk susah nak tidur.
Sumber: doktorbudak.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Umur 1 Bulan Waktu Tidur Siang 6-7 Jam, Waktu Malam 8-9 Jam. Ini Jadul Waktu Tidur Anak Ikut Umur
Tidur diketahui amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup bukan sahaja akan berasa letih, tetapi juga akan membuatkan mereka hilang tumpuan.
Ni saya kongsikan tempoh masa tidur anak seperti yang disaran oleh United Kingdom National Health Service (NHS).
Umur seminggu
Siang : 8 jam
Malam : 8 jam 30 minit
Umur sebulan
Siang : 6-7 jam
Malam : 8-9 jam
Umur 3 bulan
Siang : 4-5 jam
Malam : 10-11 jam
Umur 6 bulan
Siang : 3 jam
Malam : 11 jam
Umur 12 bulan
Siang : 2 jam 30 minit
Malam : 11 jam
Begitu juga dengan tidur siang, ia sama pentingnya dengan tidur malam. Teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui manfaat tidur siang dan mengapa ianya penting untuk kanak-kanak.
Mengapa tidur siang penting?
Bukan orang dewasa sahaja memerlukan tidur siang, tetapi kanak-kanak juga amat memerlukannya. Tidur siang atau meridap merupakan kunci untuk memastikan kanak-kanak mendapat rehat yang sepatutnya diperlukan oleh mereka setiap hari. Bukan itu sahaja, manfaat tidur siang juga adalah untuk pembangunan fizikal dan mental di alam kanak-kanak.
Manfaat tidur siang
Terdapat beberapa manfaat tidur siang atau meridap. Antaranya adalah:
Membantu anak belajar- Satu kajian ke atas kanak-kanak prasekolah mendapati bahawa tidur siang dapat membantu mereka melakukan lebih baik ketika bermain mainan yang melibatkan memori.
Kanak-kanak kekal cergas- Beberapa kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk makan lebih banyak, terutama makanan yang tidak sihat, apabila mereka tidak mendapat tidur yang cukup. Justeru, ia membuatkan mereka cenderung mendapat obesiti. Kanak-kanak yang cepat letih juga tiada cukup tenaga untuk bergerak aktif dan bersenam.
Mood lebih baik jika tidur cukup- Anak yang tidak cukup tidur akan menunjukkan tantrum dan meragam. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melangkau meridap akan kurang gembira dan menunjukkan reaksi yang teruk pada kejadian yang mengecewakan.
Bila perlu melangkau tidur siang?
Keputusan untuk melangkau meridap boleh dibuat berdasarkan tingkah laku kanak-kanak dan jumlah tidur malam mereka. Berikut adalah keadaan bila ibu bapa boleh melangkau anak tidur pada waktu siang:
-Jika anak anda mudah terlelap di malam hari.
-Anak nampak cukup rehat pada siang hari.
-Kanak-kanak jarang tertidur semasa dalam kereta ataupun ketika menonton TV.
-Tidur siang adalah perlu untuk setiap bayi dan kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu tahu akan keperluan tidur siang mengikut peringkat usia anak mereka. Jika anda dapati anak kerap letih dan seperti tidak cukup tidur, maka mungkin anda perlu mengajar anak untuk tidur siang.
Sumber: Dr.Redza Zainol
Rujukan: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Awas Jika Bayi Lelaki Anda Alami 3 Simptom Ini, Ia Mungkin Hernia!
Hernia banyak menyerang bayi dan kanak-kanak lelaki. Mama dan papa perlu peka dan periksa sekiranya si kecil mempunyai tiga simptom hernia ini.
Si manja kelihatan gelisah dan menangis, mama dan papa fikir bayi mengalami kolik. Oleh itu, minyak angin disapu pada bahagian perutnya. Namun bayi masih lagi menangis. Mungkin bayi menangis kerana lapar dan mama memberikan susu kepadanya. Namun masih tidak berkesan, si kecil masih lagi menangis. Mama dan papa akhirnya buntu? Cuba periksa alat kelaminnya sama ada mengalami bengkak atau tidak. Jika ya, anak anda mungkin diserang hernia!
APA ITU HERNIA?
Hernia adalah gangguan masalah kesihatan yang melibatkan masalah penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti benjol kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa meneran, batuk atau menggeliat. Hernia berasal daripada perkataan Latin.
Hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang. Masalah hernia dianggarkan 5% dalam populasi. Kejadian adalah lebih tinggi di kalangan lelaki, Lebih separuh dari hernia terjadi pada sebelah kanan. 10% daripada kes hernia ia berlaku pada kedua-dua belah.
Hernia yang berlaku kepada bayi dan kanak-kanak lelaki disebabkan oleh lubang dalam abdomen yang tidak normal. Ia berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya. Hernia selalunya dihidapi oleh bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Pada kebiasaan hernia mengandungi usus. Jika bayi perempuan, hernia mungkin ada pada ovari.
Jika bayi masih menangis, segera berjumpa doktor kerana dibimbangi isi hernia (usus) mungkin terjerut sehingga menyebabkan gangguan peredaran darah yang boleh mengancam nyawa bayi anda. Ianya lebih kritikal jika benjol menjadi keras pesakit masih menangis serta muntah. Pada masa yang sama perut menjadi buncit serta bayi tidak akan membuang air besar atau angin(kentut).
Hernia kerap terjadi pada bayi pramatang dan bayi berumur kurang dari satu tahun.
TANDA-TANDA HERNIA
1.Pada peringkat awal jika terdapat benjolan dan ia tidak menyebabkan rasa sakit. Benjolan kelihatan semasa menangis atau mengeliat kemudian ia hilang. Tetapi lama-kelamaan, apabila hernia bertambah besar, kesakitan akan mula dirasai.
2.Benjolan pada ari-ari serta bukaan lubang pada kantung telur. Biasanya terjadi kepada kanak-kanak di bawah umur setahun tapi ada juga lebih umur setahun apabila ibu bapa baru menyedari anak menghidapi hernia.
3.Keadaan yang teruk iaitu pesakit muntah,perut buncit serta benjolan keras serta sakit. Pesakit juga tidak buang angin (kentut) serta air besar.
JENIS HERNIA
Antara jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak ialah seperti berikut;
1.Hernia umbilikal pada bahagian pusat
Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit. Usus kecil mungkin menjulur keluar melaluinya. Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.
2.Hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha
Hernia jenis ini berlaku di mana abdomen bertemu bahagian atas paha. Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen. Bagi kanak-kanak perempuan berkemungkinan ovari atau saluran fallopian masuk dalam hernia. Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.
3.Hernia tercekik
Ia merupakan hernia yang terputus bekalan darah. Ia menjadi sakit dan akhirnya bergangren.
RAWATAN
Rawatan Untuk Hernia Umbilikal (pusat)
Kebiasaannya dirawat secara konservatif (rawatan ulangan) kerana majoriti dari kes ini akan sembuh dalam masa dua tahun.
Pembedahan boleh dilakukan atas kehendak penjaga kerana ia tidak cantik dipandang. Jangan tampal duit siling pada hernia kerana ia mungkin tergelincir dan menyebabkan usus tersepit antara syiling dan kulit. Ia kemudian akan menyebabkan usus tersumbat.
Rawatan Untuk Hernia Inguinal
Semua hernia harus dibedah. Usus boleh menonjol keluar melalui lubang hernia, mengakibatkan usus tersumbat. Pengaliran darah ke usus terganggu dan akhirnya usus bocor dan mati. Hernia patut dibedah awal selepas berjumpa doktor, biasanya dalam masa beberapa hari atau minggu.
Bagaimanapun, hernia yang berkomplikasi mesti dibedah secara kecemasan. Masalah hernia seeloknya dilakukan pembedahan secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Sesetengah bayi memang dilahirkan dengan bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya. Tetapi pada sesetengah kanak-kanak, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan organ-organ berhampiran seperti usus dan ovari menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.
Hernia dapat diatasi dengan rawatan moden. Bayi yang mempunyai masalah hernia perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan. Pembedahan tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 20 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.
Doktor akan mendiagnosis hernia selepas mengambil sejarah kesihatan pesakit serta melakukan pemeriksaan pada bahagian ari-ari dan skrotum. Rawatan yang akan dilakukan bergantung daripada pemeriksaan tersebut. Pembedahan boleh ditangguhkan kecuali bagi hernia inkarserat dan tercekik. Ini kerana ia harus segera dilakukan untuk mengelak bahagian isi hernia yang terjerut boleh bocor dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis).
Bahagian usus yang bocor akan dipotong serta menyebabkan pembedahan sukar serta mengambil masa yang lama. Akibat yang lebih buruk akan mengakibatkan kematian. Jika anak anda telah di diagnos mengalami hernia dan telah diberi tarikh untuk pembedahan, pemeriksaan sendiri hendaklah dilakukan bagi mengelakkan kejadian inkarserat. Sekiranya terjadi anak anda hendaklah dibawa ke bahagian kecemasan dengan segera.
Pembedahan laparoskopi untuk hernia
Selain pembedahan konvensional, kini terdapat rawatan menggunakan teknik bedah laparoskopi yang menawarkan beberapa kelebihan, antara lain, luka surgeri yang kecil sehingga mempengaruhi penyembuhan yang lebih cepat. Laparoskopi menggunakan kamera dan peralatan untuk menebuk bahagian abdomen. Peralatan laparoskopi untuk menjahit serta benang akan dimasukkan. Lubang hernia akan dijahit. Cara baru ini jarang dilakukan kerana tidak ramai pakar pembedahan pediatrik mempunyai kemahiran dalam bidang laparoskopi.
KOMPLIKASI
Terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana usus tidak dapat dikembalikan ke kedudukan asal. Manakala, hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan yang akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.
Jika usus yang tidak dapat dikembalikan pada kedudukan asal iaitu dalam abdoman, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera. Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.
Info penting!
Hernia tidak boleh diurut. Tindakan mengurutnya sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut. Begitu juga jika tuam dengan daun sirih, apabila panas ia akan menyebabkan usus melekat di bahagian hernia. Segera dapatkan rawatan apabila mendapati anak anda mengalami hernia.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI