Pakar laktasi kongsi tip menyusu bayi kembar, ramai mama risau susu tak cukup. Proses menyusukan bayi sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi selain tidak mudah berputus asa terutama kepada wanita yang kali pertama bergelar mama.
Menyusukan bayi semakin mencabar bila mama melahirkan anak kembar. Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran mama. Susu tak cukuplah, tak menyusulah dan sebagainya. Keadaan ini tentunya membuatkan mama susah hati bukan?
Menurut Siti Nur Suraya Mohamed Ali, pakar laktasi dan pengasas Lunatots, undang-undang asas dalam penyusuan susu ibu ialah semakin banyak susu dikeluarkan, semakin banyak susu akan dihasilkan.
Katanya, memang benar menyusukan seorang bayi memerlukan komitmen yang besar apatah lagi jika dua atau lebih! Namun ianya boleh dilakukan. Beliau memberikan lapan tip untuk ibu yang menyusukan bayi kembar. Semoga dapat membantu mama-mama terutama yang pertama kali bergelar mama.
MENYUSU MENGIKUT JADUAL
Cara menjimatkan masa untuk menyusu bayi ialah menyusukan kedua-duanya serentak setiap dua jam. Walau bagaimanapun, kadang-kadang salah seorang bayi tidak dapat mengikut jadual minum yang ditetapkan. Ada bayi yang lebih cepat lapar dan begitu juga sebaliknya. Jadi, perlulah disusukan mengikut permintaan (on demand) yang mana akan mengambil lebih komitmen masa dan tenaga ibu.
Ibu boleh menyusukan kedua-dua bayi on demand sebelah siang dan mengikut jadual pada waktu malam. Ketika bayi mengantuk waktu malam, lebih mudah bagi ibu memberikan kedua-duanya susu serentak dalam satu masa.
SOKONGAN BANTAL YANG SELESA
Bayi yang baru lahir biasanya bersaiz kecil dan memerlukan bantal sokongan yang besar ketika menyusu. Bantal berbentuk C yang dapat diletakkan di pinggang ibu membolehkan ibu menyusukan bayinya serentak dengan beberapa posisi. Penyusuan ketika berbaring agak sukar dilakukan semasa bayi masih kecil.
SELANG-SELI
Setiap bayi mesti disusukan sehingga habis satu payudara supaya mendapat susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk) yang dapat memberikan khasiat sepenuhnya kepada bayi.
Untuk sesi penyusuan seterusnya, berikan payudara yang berbeza kepada setiap bayi. Ini bagi latihan untuk stimulasi rangsangan pandangan mata bayi.
Bagi ibu yang mungkin seorang bayinya masih di unit penjagaan neonatal intensif (NICU) di mana hanya seorang yang dapat disusukan. Biasakan diri mengepam sebelah lagi payudara semasa bayi menyusu. Ia bertujuan untuk memberi rangsangan untuk meningkatkan bekalan kedua-dua payudara.
RISAU CUKUPKAH SUSU
Kerisauan tentang kecukupan susu untuk kedua-dua bayi akan membuatkan ibu tidak senang duduk. Ibu perlu percaya pada diri sendiri boleh melakukannya malah itulah yang terbaik untuk kedua-dua anaknya.
MUDAHKAN URUSAN MENYUSU
Beberapa tips yang membantu ibu menyusu dengan mudah ialah tidak memakai coli ketika mahu menyusukan. Ianya membantu mempercepatkan lekapan semasa diawal-awal kelahiran.
Bedung bayi dengan kain bedung yang membuatkan bayi lebih mudah dipegang ketika menyusu. Dapatkan bantuan suami dan ahli keluarga atau rujuk kaunselor laktasi sekiranya terdapat kesukaran dalam urusan penyusuan.
AMALAN PEMAKANAN SIHAT
Hormon oksitosin dikeluarkan untuk menghasilkan susu ibu semasa bayi disusukan. Hormon ini akan menyebabkan ibu cepat merasa dahaga. Minum air yang mencukupi dan makan makanan yang berkhasiat.
Dikatakan seorang bayi yang menyusu membakar 500 kalori setiap hari. Jika ibu ada kembar dua, ianya dua kali ganda!
Amalkan sayur-sayuran dan penggalak susu seperti halba. Elakkan makanan ringan yang membuatkan ibu kenyang dan tiada selera makan. Gantikan kudapan dengan buah dan biskut penggalak susu.
PERAH
Sekiranya ibu perlu berpisah dengan bayi, perah susu setiap tiga jam semasa perpisahan berlaku. Ini penting untuk memastikan payudara dikosongkan dan penghasilan susu dapat diteruskan walaupun ibu terpisah dengan bayi.
*Boleh ajar bayi minum susu badan di dalam botol ketika mama perlu ke hospital bila bayi kembar yang seorang lagi masih belum boleh keluar dari hospital. Minta sokongan ibu dan juga adik beradik perempuan.
MASALAH PENYUSUAN
Masalah penyusuan yang mungkin berlaku ialah seperti putih merekah (cracked nipple). Ia sering kali berlaku kerana posisi semasa menyusu. bagi ibu yang menyusu kembar. Ibu boleh merapatkan badannya, bersandar pada kerusi dan bayi menyusu semasa di atas bantal berbentuk C. Lekapan mestilah rapat dan tidak menyakitkan ibu.
Ibu juga memerlukan bantuan orang lain untuk memegangkan seorang lagi bayi sementara seorang lagi disusukan. Atau membantu menenangkan bayi jika ada yang memerlukan perhatian ketika seorang lagi bayi disusukan.
Kredit foto (top image): Pexels