Bercerita ada seninya. Ada lenggoknya. Ia ada kesan pada otak. Waktu dahulu, saat bercerita adalah momen penting. Semua menanti. Mahu mendengar cerita.
Menurut Dr Otak/Pakar Otak, Dr Rizal Abu Bakar, dalam psikoterapi juga ada cerita. Bercerita jadi alat menyembuh.
Banyak cerita diguna dengan kanak-kanak.
Cerita juga diguna dengan orang dewasa. Kes sukar rawat. Namun, akhirnya terbenih jua air mata. Lahirlah kesedaran. Muncullah keinsafan.
Ini contoh cerita saya gunakan.
Adik ada kawan. Adik baik dengan dia. BFF-lah katakan. Siapa nama kawan adik itu?
Baik namanya Alin. Adik suka berbual dengan Alin. Selalu pergi ke kantin bersama. Ketawa bersama.
Adik sayang pada Alin sebab dia BFF adik. Alin pun sama. Dia sayang pada adik.
Kalau Alin tak datang ke sekolah, adik akan tercari-cari.
Tertanya-tanya di mana Alin. Pulang rumah pasti akan telefon rumah Alin. Bertanya khabar.
Hati rasa tak tenang selagi tidak telefon Alin. Lepas telefon dan tahu kisahnya baharu rasa lega.
Apabila ada kelas ko-kurikulum pasti akan duduk bersama. Jenis aktiviti pun sama. Maklumlah BFF.
Suatu hari, adik nampak Alin berjalan-jalan dengan rakan lain. Mereka nampak gembira. Ketawa mereka jelas terdengar.
Adik perasan di depan laluan Alin ada longkang. Besar dan dalam longkangnya.
Andai terjatuh pasti cedera. Pasti akan ada patah dan luka.
Alin dan rakan-rakan tidak sedar ada longkang. Alin pulak asyik berjalan melihat ke belakang. Berbual dengan rakan-rakannya.
Andai Alin tidak berhenti atau membelok, pasti Alin akan jatuh.
Pasti Alin akan terluka. Sanggupkah adik melihat Alin sakit begitu.
“Tidak.” jawab adik.
Apa yang akan adik lakukan?
“Adik akan jerit kuat-kuat pada Alin. Alin ada longkang di hadapan. Hati-hati.” kata adik.
Mendengar jeritan adik, Alin pun berpaling. Dia melihat adik.
Lantas terus berpaling kepada rakan-rakannya. Dia seolah-olah tidak kisah dengan amaran adik.
Apa yang adik rasa ketika itu?
“Adik rasa marah dan kecewa.” kata adik dengan wajah yang sedikit sugul.
Adik rasa marah Alin yang adik sayang tida endah dengan teguran adik.
Adik juga rasa kecewa sebab adik tahu Alin akan jatuh. DIa akan terluka dan sakit.
Adik tidak sanggup melihat Alin sakitkan?
“Ya.” jawab Alin pendek.
Adik., begitu juga apa yang emak dan ayah rasa.
Bila adik yang kami sayang, yang kami nampak akan jatuh terluka dan sakit tidak endah akan amaran ayah dan emak.
Apa yang nampak akan terjadi pada Alin itu jugalah yang ayah dan emak nampak akan terjadi pada adik.
Teguran ayah dan emak itu untuk menyelamatkan. Seperti teguran adik pada Alin. Adik faham?
Adik mengangguk perlahan. “Adik faham. Adik minta maaf. Adik tak nampak sebelum ini.”
Ini adalah satu contoh cerita. Boleh diguna bila anak kurang mendengar cakap.
Kisahnya boleh didramatikkan lagi.
Intonasi dan gaya penceritaan mesti menarik. Mesti dari hati. Kesannya akan sampai di hati.
Saya dah cuba sebagai seorang profesional dalam bidang psikologi klinikal.
Saya dah cuba sebagai seorang ayah kepada empat orang anak remaja.
Saya dah cuba sebagai seorang abang dan adik.
Cerita ada kesan pada otak dan hati.
Berceritalah. Lahirkan oxytocin, serotonin, adrenalin dan dopamin dalam diri pendengar.
Mereka akan terkesan. Akan lahir dari dalam diri kita kepuasan. Sila cuba jangan segan.
Sumber: Dr Rizal Abu Bakar