Hari ini semua ibu ayah nak anak cepat pandai membaca. Tetapi pakar dalam pendidikan keibubapaan menyarankan tip mendidik anak usia pra sekolah dengan cara yang betul supaya mereka benar-benar menjadi ‘manusia’.
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar, Pakar Pendidikan Keibubapaan Positif yang juga Co-founder and Principal Consultant Parent Connect Consultancy, pendidikan awal bukan hanya belajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira sahaja tetapi lebih daripada itu sebenarnya. Pada usia emas ini, anak-anak sepatutnya lebih ditekankan pada pendidikan akhlak diri mereka.
Baca seterusnya perkongsian daripada beliau mengenai aspek penting yang mesti ditekankan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak usia bawah 6 tahun.
Bagi ayah dan ibu yang bertanya apakah perkara penting yang perlu dipelajari di peringkat usia awal anak-anak, berikut adalah aspek pembelajaran penting bagi anak-anak usia tersebut. Pastikan pra sekolah anak-anak anda memberi penekanan kepada aspek-aspek ini.
Ayah dan ibu adalah pendidik utama, oleh itu kita juga bertanggungjawab ke atas pembelajaran anak-anak.
Belajar tentang perasaan orang lain dan membina empati terhadap orang lain.
2.Belajar tentang perhubungan dengan orang lain dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
3. Membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang lain.
IKLAN
4. Bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
5. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
6. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak lain.
IKLAN
7. Belajar untuk memberikan dan menerima pendapat dan buah fikiran dalam kumpulan.
8. Belajar tentang persamaan dan perbezaan antara manusia.
9. Belajar tentang manusia dan penempatan yang berbeza-beza dan masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh mereka.
IKLAN
10. Belajar tentang perbezaan antara manusia melalui kisah-kisah yang diceritakan kepada mereka.
11. Belajar tentang kelebihan dan keterbatasan teknologi (bukan hanya komputer/gajet/telefon pintar) dan bagaimana ia boleh memberi manfaat dan mudarat kepada manusia.
Pendidikan awal bukan hanya belajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Inilah usia yang terbaik untuk membina manusia.
Noor Afidah Abu Bakar Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Menjadi ayah bukan tiket untuk anda cepat marah pada isteri dan anak-anak kerana kemarahan yang terlalu kerap hanya akan memberi kesan buruk pada emosi anak.
Sebagai ketua keluarga, segala gerak geri ayah diperhatikan oleh isteri dan anak-anak. Ayah adalah ‘superhero’ bagi anak-anak.
Bayangkan sekiranya ayah sebagai ketua keluarga mempunyai kelakuan yang tidak sepatutnya tentu sahaja akan menghasilkan anak-anak yang turut tidak berperibadi mulia.
Ayah jangan cepat marah! Kadangkala ada kalangan ayah yang cepat naik angin walaupun sekadar perkara remeh temeh dilakukan oleh anak-anak.
Bukan bermaksud ayah tidak boleh marah anak-anak. Tetapi biarlah berpatutan dengan jenis kesalahan dan tahap usia mereka.
Ini antara faktor kenapa ayah perlu mengawal api kemarahan terhadap anak-anak dan isteri.
1. Ketika api kemarahan sedang meledak, kita memang mudah menuturkan kata-kata kesat dan kasar tanpa mempedulikan siapa yang kita sedang marahi.
Bayangkan anak anda masih kecil dan hanya terkebil-kebil matanya tatkala anda menengkingnya. Tidakkah anda berasa sayu hati melihatnya?
2. Sebagai ketua keluarga yang sering dianggap hero oleh anak-anak, apa salahnya anda lebih banyak memberi kesedaran kepada anak-anak berbanding asyik memarahi mereka sahaja.
Ia memang tidak mudah apatah lagi anda rasakan perbuatan mereka itu semuanya salah. Tetapi itu bukan cara terbaik mendidik anak-anak.
3. Selain dari itu, ayah juga perlu mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata negatif kepada anak-anak atau isteri (terutama di hadapan anak-anak).
Walau tahap kemarahan anda sudah seperti gunung berapi yang hendak meletup, jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan kesat dan kasar kepada anak-anak.
Ingatlah ia akan melekat dalam memori anak anda sehingga ke akhir hayat mereka jika anda menghamburkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya.
4. Elakkan juga daripada mengutuk atau menjatuhkan maruah anak di hadapan orang lain.
Anda sendiri tidak suka diperlakukan sedemikian, begitu juga dengan anak anda walaupun mereka masih kecil.
5. Jangan abaikan tanggungjawab untuk menjaga emosi anak-anak. Keperluan itu sangat penting dalam membentuk jati diri anak.
Belajarlah menghargai anak anda, Insha Allah mereka akan menghargai anda kerana anak-anak belajar daripada papa dan mama mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada anak yang dilahirkan “nakal”, semuanya berdasarkan bagaimana mak ayah membentuk peribadi anak”
Ya, semua anak akan mengalami fasa “nakal” atau aktif sebenarnya, kita yang dah jadi mak ayah pun sama juga.
Berdasarkan perkongsian Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, fasa “nakal” ini selalunya bermula semasa fasa autonomi (18 bulan – 3 tahun) dalam perkembangan emosi dan sosisal. Dimana anak akan mula mengamuk apabila tak dapat apa yang dikehendaki, nak lari ke sana ke mari ke tempat yang dia mahu, ambil apa yang dia mahu dan sebagainya.
Waktu inilah fasa kritikal membentuk tingkah laku anak. Kalau mak ayah abaikan waktu ini, tingkahlaku negatif anak akan menjadi semakin berpanjangan.
Hari ini saya nak kongsikan tips penyelesaian masalah tingkahlaku anak yang biasa ada pada semua anak. Sesuai untuk anak berumur 18 bulan ke atas.
MASALAH ANAK DAN PENYELESAIAN
Anak terlampau aktif di luar rumah.
Ramai orang ingat semakin kita kurung anak, semakin anak dapat dikawal. Sebenarnya tidak, semakin kita kurung semakin anak susah dikawal. Konsepnya sama dengan semasa anak baru “dapat kaki”, asyik nak berjalan sahaja sampai dah tak fikir apa-apa. Tetapi pasti sampai satu masa, anak akan mula kurangkan aktiviti berjalannya berbanding masa mula-mula “dapat kaki”. Betul tak?
Agak-agak kalau kita sekat anak dari berjalan dengan ikat kakinya, dia akan berhenti berjalan? Masa diikat sahaja anak berhenti berjalan, bila buka ikatan lagi kuat anak nak berjalan. Sama juga bila kita kurung anak, bila dilepaskan makin susah dikawal.
Dunia ini terlampau kecil bagi anak sehinggakan benda kecil pun dapat buat anak bahagia. Bawa pergi “shopping mall”, tak beli apa-apa pun anak dah bahagia sehingga nak lari kesana kemari.
Percaya tak kalau saya kata, ada perbezaan tahap aktif pada anak jika kita bandingkan anak yang mak ayah bawa keluar setiap hari dan anak yang mak ayah bawa keluar sebulan sekali? Sangat-sangat berbeza. Sebab itu, setiap kawasan perumahan pasti ada taman permainan kerana taman permainan adalah keperluan WAJIB untuk perkembangan anak-anak kita.
Kalau perasan anak susah dikawal apabila pergi ke taman permainan, bawalah mereka ke sana selalu. Kalau anak susah dikawal apabila pergi pasaraya, bawalah mereka pergi untuk “window shopping”. Tetapi kalau perasan anak sangat susah dikawal semasa di luar rumah, saya sarankan cari tempat yang:
– Kurang padat supaya anak mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain.
– Selamat (tiada barang mudah pecah dan tajam).
– Ada kawasan lapang untuk anak berlari. Kalau anak lari laju, mak ayah pakailah kasut sukan supaya senang nak kejar.
– Keluar dengan pasangan atau kawan supaya ada orang lain, elakkan bersendirian.
– Pakaikan “baby harness”.
Anak pantang tengok sesuatu benda.
(Pantang tengok gadget/TV tak termasuk dalam kategori ini ya.)
Contoh: Anak pantang nampak tangga. Semakin mak ayah halang anak naik tangga, selama-lamanya anak akan pantang nampak tangga. Jadi, caranya banyakkan lagi “main tangga” tetapi dengan pantauan dan selagi ia selamat sebab lambat laun anak perlu juga belajar naik dan turun tangga.
Anak saya sendiri, saya dah dedahkan dengan tangga sejak dia umur 6 bulan waktu sibuk nak merangkak tetapi dengan pantauan. Hasilnya umur 1 tahun lebih, anak dah tak “heran” dengan tangga. Tangga tetap ada pagar untuk keselamatan tetapi setiap kali naik dan turun beri anak cuba sendiri, mak ayah jaga di belakang/bawah anak macam penjaga gol.
Sama juga kes anak asyik nak berlari naik turun escalator. Semakin dihalang, semakin anak nak berlari ke sana. Kalau ada yang macam ini, luangkan masa untuk naik dan turun dengan anak berulang kali. Semakin awal kita dedahkan sehingga mereka jemu, semakin mereka kurang berlari ke arah tempat itu tetapi kena hati-hati dengan kaki tersepit di penghujung escalator. Cara saya, saya akan angkat anak sedikit sebelum sampai penghujung escalator.
Anak bising di kedai makan.
Kadang-kadang ada situasi dimana kita tak boleh elak masa anak tengah ada mood nak buat bising atau mengamuk di kedai makan. Cara terbaik untuk mengawal anak dikedai makan adalah anak pun perlu sibuk makan sekali. Kalau tidak, mak ayah boleh cuba tips di bawah:
-Kenal pasti mood anak sebelum pilih kedai makan.
– Cari meja yang paling hujung dan kawasan kurang padat.
– Bawa mainan jika anak tidak makan bersama mak ayah.
– Elakkan duduk terlampau awal di kerusi bayi untuk elak anak cepat bosan.
– Bawa anak berjalan-jalan keliling kedai makan sebelum makanan sampai.
Anak terlampau aktif di rumah orang lain.
Kalau mak ayah dah ada pengalaman anak asyik nak panjat meja, ataupun nak ambil barang perhiasan di rumah orang lain sehingga susah dikawal. Beritahu atau tanya dengan tuan rumah dahulu yang kita ada anak kecil yang tengah fasa meneroka supaya tuan rumah dapat bersedia dan simpan harta karun yang berharga sementara mak ayah beraya. Ataupun tanya dahulu, sesuai tak nak bawa anak kecil yang sedang aktif.
Jika anak dah mula memahami arahan, beritahu anak awal-awal “kawasan larangan”di rumah orang lain. Adab dirumah orang perlu sangat ditekankan pada anak dari awal. Sebelum mak ayah makan serentak, minta tolong saudara terdekat untuk tengokkan anak yang sibuk bermain.
Anak pecahkan cawan atau pinggan.
Senang sahaja, kalau anak masih kerap jatuhkan pinggan atau cawan. Siap-siap bawa mangkuk dan cawan plastik dalam beg. Air pula tuang sikit-sikit cukup 3 teguk supaya kurang risiko tumpah habis karpet rumah orang.
Anak main bersepah.
Terapkan dan amalkan kemas mainan selepas main seawal anak umur 18 bulan. Sebelum itu mak ayahlah yang perlu tunjukkan sikap mengemas kerana anak belajar melalui pemerhatian. Lama-kelamaan anak pun akan terikut sama dan berminat nak belajar kemas mainan. Sampai satu masa, kita dah tak perlu membebel minta anak kemas mainan lepas main, cuma perlu puji sahaja.
Anak mudah cedera semasa bermain.
Apa yang mak ayah boleh buat untuk kurangkan risiko kemalangan anak disamping dengan pemantauan, mak ayah boleh kenalkan unsur-unsur bahaya sebelum anak bermain, boleh kenalkan ciri-ciri:
– Tajam (Bucu meja atau permukaan tajam)
– Bahaya (Lintas jalan)
-Tinggi (Meja atau kerusi tinggi)
– Panas (Air panas atau seterika)
– Pedas (Makanan pedas, cili dll)
– Sakit (Baling barang)
Kalau 6 ciri-ciri ini anak dah tahu, insyaAllah mak ayah tak perlu dah asyik nak kata “careful” berjuta kali semasa anak bermain.
Semua tips diatas sudah diguna pakai pada anak saya sendiri dan klien saya di BEYOND. Alhamdulillah kebanyakannya berkesan mengurangkan aktif anak.
Kesimpulannya, yang paling penting mak ayah WAJIB “kenal” anak sendiri. Kena tahu kelebihan dan kelemahan anak supaya mudah kita nak atasi tingkahlaku anak. Tips yang saya berikan ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan dan sebenarnya banyak yang mak ayah dah lakukan tanpa sedar. Pendidikan anak bermula dari rumah, disiplin pun bermula dari rumah. Jangan marah anak letak kasut bersepah kalau kita pun letak kasut bersepah.
Mulakan sejak awal, jangan tunggu jadi buluh baru nak lentur. Masa itu anak pun dah “keras”.
Saya pun ibu yang sama seperti anda, ibu kepada seorang anak, terapis kepada ratusan anak juga. Bersyukurlah anak anda aktif/nakal kerana ia bermakna anak kita sihat, kalau dibandingkan anak yang sedang terlantar kesakitan. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebab pasti tak sama.
Dan yang paling penting, jangan putus asa dalam mendidik anak. Kata-kata kita adalah doa pada anak. Sebab itu orang dulu-dulu bahasakan anak yang aktif ini sebagai “anak banyak akal”. Tak ada pula bahasakan “anak tarzan”, “anak nakal”, “anak degil”, “anak monyet” dan sebagainya.
Anak kecil adalah insan yang memerlukan jumlah pelukan dan sentuhan yang kerap daripada kita. Semakin kerap pelukan diberi semakin mudah untuk membentuk sahsiah diri mereka.
Bagi yang biasa melakukannya pasti sudah merasakan sebuah keajaiban. Suasana yang tegang kembali aman, yang duka menjadi ceria hasil daripada pelukan yang diberi. Cukup membahagiakan.
Antara manfaat pelukan adalah:
1) Sentuhan dari orang yang kita sayangi akan meningkatkan jumlah hemoglobin di dalam darah. Hemoglobin merupakan salah satu bahagian dari tubuh yang membawa oksigen ke seluruh tubuh, termasuk jantung dan otak.
Apabila jumlah hemoglobin semakin banyak di dalam tubuh melalui sentuhan seperti pelukan dari seorang Ibu kepada anak, ianya akan mempercepatkan proses penyembuhan kepada anak ketika sakit.
2) Memeluk seseorang yang kita sayangi sebanyak 4 kali pelukan akan mengurangkan tahap tekanan, 8 kali pelukan akan memberi kestabilan emosi dan 12 kali pelukan akan membantu perkembangan psikologi seseorang.
Pelukan akan memberi seseorang berasa selamat dan dilindungi yang merupakan elemen penyumbang kepada perkembangan emosi dan mental yang sihat buat anak-anak.
3) Pelukan juga dapat memberikan suntikan motivasi yang sangat hebat terutama bagi orang yang berputus asa dan berada di dalam kesedihan.
Daya sentuhan akan menghasilkan ketenangan buat mereka yang bersedih dan membantu mereka untuk keluar daripada zon kemurungan secara perlahan-lahan. Begitu juga pelukan ibu kepada anaknya, akan menambah semangat belajar anaknya, asalkan pelukan itu disertai dengan pesan-pesan semangat yang lembut.
4) Pelukan juga mampu meningkatkan tahap intelektual anak-anak. Mengikut kajian, kanak-kanak yang kerap menerima pelukan akan lebih aktif mempamerkan potensi mereka samada di sekolah mahupun di rumah.
Keyakinan diri mereka berkembang elok melalui hasil pelukan yang diterima setiap hari yang menjadikan mereka seorang yang berani mencuba.
Mereka juga tidak mempunyai masalah dalam pergaulan ataupun komunikasi sosial di kalangan ruang lingkup rakan mereka disebabkan sifat yakin diri yang tinggi di dalam diri mereka.
5) Hasil pelukan yang kerap diterima akan menghasilkan seorang anak yang berkebolehan untuk memimpin. Sifat kepimpinan anak-anak boleh dilihat sejak mereka berumur 9 tahun lagi. Setiap anak-anak yang dilahirkan mempunyai tangungjawab untuk memimpin yang dinamakan ‘khalifah’ di muka bumi ini.
Menjadi pemimpin yang baik, mereka memerlukan sokongan dan memeluk anak dengan erat adalah cara yang terbaik untuk kita menzahirkan sokongan terhadap mereka.
Semoga kita dapat jadikan rutin memeluk anak-anak sebagai satu aktiviti wajib kita setiap hari. Inilah yang dikatakan makanan rohani yang bakal menjaga hati dan peribadi anak-anak agar tidak menjadi anak derhaka pada masa hadapan kelak.
Kita hanya mampu berusaha, dan hanya Allah sahajalah kita serahkan segalanya. Semoga anak-anak kita menjadi anak-anak yang membahagiakan kita di dunia mahupun akhirat.
Sumber: mamapeduli via Teacher Ayu
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!