Kita semua nak yang terbaik untuk anak-anak dengan itu ada yang menzahirkan kasih sayang perbuatan mencium mulut. Hakikatnya tanpa kita sedari ia adalah perbuatan yang akan memberi impak kepada psikologi anak itu.
Nampak biasa tapi perbuatan yang ibu bapa perlu elakkan. Menurut laporan Astro Awani, Pakar Psikologi SEGi University, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, perbuatan tersebut berkemungkinan mendorong kepada pembentukan sifat kanak-kanak yang akan menganggap perkara itu sebagai biasa.
Katanya, sifat ingin tahu kanak-kanak yang meluap-luap boleh membawa perkara itu kepada kejadian yang tidak diingini.
“Agak sukar untuk berselindung, saya perlu maklumkan dengan jelas. Ciuman dari mulut ke mulut itu perlu diawasi. Kalau boleh, ibu dan bapa elakkan dari perbuatan ciuman mulut ke mulut kerana mereka akan lakukan kepada orang lain dan perkara ini amat bahaya.
“Bukan anak-anak sahaja perlu tahu, ibu dan bapa juga perlu tahu kerana ini adalah antara elemen-elemen yang terangkum dalam ekosistem jenayah seksual (dalam keadaan yang lain),” ujarnya.
Katanya lagi, kanak-kanak akan menterjemah perlakuan jelik melalui kaedah simulasi sekiranya ia tidak dibendung dan dipantau dengan baik oleh ibu bapa.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
INFO KONTEKS ISLAM
Tahukah kita bahawa Baginda Rasulullah sendiri mengungkapkan rasa kasih sayang baginda dengan mencium anak dan cucu Baginda.
Abu Hurairah berkata: Rasulullah pernah mencium Al Hasan bin Ali sedangkan di samping Baginda ada Al Aqra’ bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun, maka Rasulullah memandangnya dan bersabda: Barangsiapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi. – [HR Bukhari 5538].
Hadis ini dapat kita ambil daripada kaca mata fiqh iaitu mencium anak itu merupakan satu perbuatan sunah Baginda Rasulullah.
Hukum asal bagi perbuatan mencium anak kecil sama ada di wajah mereka, kepala atau anggota badan yang tidak bercanggah dengan adat adalah diharuskan. – (Fathul Bari 427/10).
Sumber: Astro Awani