Bakal menyambut kelahiran bayi ketiganya sedikit masa lagi, pelakon Nad Zainal turut berkongsi persiapan untuk menyediakan beg ke hospital.
Menerusi Instagramnya, Nad memuat naik video barang-barang dan kelengkapan barang-barang yang dibawanya untuk ke hospital kelak.
Malah Nad juga turut menyarankan beberapa barang dan dokumen penting untuk di bawa ke hospital.
“Assalamualaikum wbt. Ok hari ni kita tunjuk apa kita nak isi dalam bag nak ke hospital.
“Baby & Mommy punya sekali. Kita tunjuk dekat ibu -ibu yang mungkin belum pernah ke hospital nak bersalin ni, haaa tak perlu nak angkut semua benda.. ok?
“Nanad tak bawa breastpump. Rasanya terus direct BF baby,” tulisnya berkongsi di kapsyen.
Melalui video yang dikongsikan oleh Nad, antara kelengkapan lain yang turut di bawa adalah seperti mandian, overnight panties dan lain-lain lagi untuk ibu.
Begitu juga kelengkapan bayi seperti barut, bedung, pakaian serta mandian bayi.
“Saya pack terus macam ni siap-siap, dalam bag zip lock ikut hari dan keperluan.
“Mak baby pula, paling penting kena bawa buku pink dan kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran dan rekod.
“Jangan lupa bawa power bank, overnight panties, wet tisu, bengkung, pakaian untuk balik hospital dan jangan lupa mandian dan skincare sepanjang berada di hospital.
“Saya tak bawa barang banyak pun, bawa yang penting saja. Pastikan pack barang keperluan awal-awal supaya tak kalut. Mana tahu tersakit awal,” kongsinya lagi.
Menarik: “Ikut Muka Mommy, Sebiji Sama”, CP Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua, Comelnya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Taugeh Walaupun Kecil Bagus Untuk Ibu Hamil, Ada Folat Yang Diperlukan Untuk Elak Kecacatan Janin
Taugeh merupakan satu tumbuhan bercambah yang masih diperingkat awal atau muda. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai bean sprouts, dan apabila ia ditafsirkan ke dalam bahasa Melayu, membawa maksud, kacang yang bercambah, yang akhirnya membawa kepada penghasilan taugeh.
Proses penghasilan taugeh ini bermula dengan proses percambahan benih, dalam kes ini, adalah percambahan benih kacang hijau. Ia akan direndam selama beberapa jam. Benih yang direndam ini kemudiannya akan didedahkan kepada gabungan suhu dan kelembapan yang betul. Dalam tempoh selama dua hingga tujuh hari, ia akan mula bercambah. Ia sudah boleh dituai atau diambil apabila ia mula mencapai ketinggian dalam 2 hingga 5cm.
Sebenarnya selain kacang hijau, pelbagai jenis benih turut boleh dicambah seperti taugeh, antaranya seperti:
- Kekacang dan pea seperti lentil, kacang soya, kacang hitam, green pea
- Bijirin seperti beras perang dan quinoa
- Sayuran atau pucuk berdaun seperti lobak, brokoli atau bit
- Kacang atau biji seperti badam, biji alfafa, biji labu, biji bijan atau biji bunga matahari
Tumbuhan yang melalui proses percambahan ini boleh dimakan secara mentah atau anda juga mempunyai pilihan untuk memasaknya sedikit atau sekejap sebelum memakannya.
Nutrien dalam taugeh
Walaupun ia sebenarnya merupakan satu sumber makanan yang rendah kandungan kalori, namun ia merupakan sumber makanan yang kaya nutrien dan sebatian tumbuhan yang bermanfaat. Ia turut mengandungi vitamin dan sumber mineral.
Secara umumnya, proses percambahan yang dilalui taugeh ini membantu meningkatkan tahap nutrien, menjadikannya tinggi kandungan protein, folat, magnesium, fosforus, mangan (manganese) dan vitamin C dan K berbanding tumbuhan yang tidak melalui proses percambahan.
Sebagai contoh, beberapa kajian menunjukkan bahawa proses percambahan ini dapat membantu meningkatkan kandungan protein. Tumbuhan seperti taugeh juga cenderung untuk mengandungi asid amino penting yang lebih tinggi.
Selain itu, protein yang terkandung dalam tumbuhan seperti taugeh juga akan lebih mudah untuk melalui proses pencernaan. Ini mungkin disebabkan oleh proses percambahan, yang kelihatan seperti mengurangkan jumlah antinutrien, iaitu sebatian yang akan mengurangkan keupayaan badan anda untuk menyerap nutrien dari tumbuhan sehingga 87%.
Ia yang berasal daripada kacang hijau ini merupakan tumbuhan yang mengandungi sumber antioksidan dan sebatian lain yang bermanfaat. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa makanan yang terhasil daripada kacang hijau juga adalah lebih berkhasiat.
Manfaat taugeh
Taugeh adalah sejenis sayur-sayuran yang malang sekali, kurang digemari oleh kebanyakan individu tanpa mengira jantina dan usia. Sebenarnya, ia mempunyai pelbagai khasiat yang ramai tidak tahu. Berikut adalah beberapa manfaat yang boleh diperolehi dengan memakannya, seperti:
- Kaya protein
Ia sebenarnya mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu atau ayam. Antara kebaikannya adalah ia mampu meningkatkan kesuburan terutamanya lelaki yang sangat memerlukan protein untuk menghasilkan hormon untuk tujuan kesuburan.
- Kaya enzim
Berbanding sayur-sayuran lain, ia mengandungi 100 kali ganda enzim. Ia sangat penting untuk fungsi tubuh badan terutamanya untuk proses pencernaan. Enzim mampu membantu individu yang mempunyai masalah penghadaman dan kembung perut.
- Kaya serat
Dalam pada itu, ia juga baik untuk fungsi penghadaman kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi. Serat ini akan membantu meleraikan lemak dan toksin dalam tubuh badan lalu mengeluarkannya. Ini sekali gus dapat membantu anda mengawal berat badan.
- Kaya antioksidan
Taugeh yang kaya antioksidan dan asid amino sebenarnya mampu memberikan pelbagai kebaikan. Antaranya yang penting adalah melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak. Dalam masa yang sama, memakannya juga sebenarnya adalah amalan awet muda yang sangat bagus untuk diikuti.
- Kaya asid lemak
Selain itu, ia juga sangat kaya dengan asid lemak. Kebanyakan individu tidak mendapatkan asid lemak omega-3 kerana hanya bergantung kepada makanan laut atau telur sahaja. Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambilnya sebagai alternatif, bukan?
- Kaya vitamin
Paling penting, taugeh sebenarnya sangat kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C, E dan pelbagai lagi dalam keluarga vitamin B. Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan tubuh badan anda.
Taugeh untuk kesihatan
Taugeh merupakan satu pilihan makanan yang sihat. Malah lebih baik, ia adalah pilihan makan yang murah dan mudah untuk didapati. Mari kita selidik kebaikan dari aspek kesihatan yang boleh diperolehi dengan memakannya.
- Tingkatkan penghadaman
Taugeh dapat membantu anda untuk mencernakan makanan anda dengan lebih baik dan lebih mudah. Seperti yang dinyatakan di atas, ia mengandungi antinutrien yang rendah, ini sekali gus menjadikan badan anda lebih cepat menyerap nutrien semasa proses penghadaman. Proses pencambahan ini membantu meningkatkan jumlah serat yang tidak larut, sejenis serat yang membantu pembentukan najis dan proses pengeluarannya melalui usus, yang akan mengurangkan risiko untuk berkemungkinan mengalami sembelit.
- Kesihatan jantung
Mengambil taugeh dalam pengambilan makanan harian anda, ia dipercayai dapat memberikan manfaat kepada jantung anda. Ini kerana ia dapat membantu mengurangkan faktor risiko penyakit jantung seperti paras kolesterol darah tinggi. Beberapa kajian kepada haiwan menunjukkan bahawa memakannya akan membantu meningkatkan tahap kolesterol HDL yang dikatakan sebagai kolesterol ‘baik’ dan mengurangkan tahap kolesterol LDL yang dikatakan sebagai kolesterol ‘tidak baik’.
Dalam kajian yang dilakukan terhadap 39 individu dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dengan masalah kesihatan diabetes jenis 2, dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberikan 60 gram lentil setiap hari dan satu kumpulan lagi tidak diberikan sebarang lentil, salah satu jenis tumbuhan yang melalui proses percambahan seperti taugeh. Selepas tempoh kajian selama 8 minggu, kumpulan yang diberikan lentil mempunyai 12% paras kolesterol HDL yang lebih baik dan 75 hingga 84% paras trigliserida dan tahap kolesterol LDL yang lebih rendah berbanding kumpulan yang tidak diberikan lentil.
- Tekanan darah
Taugeh kaya dengan kalium, magnesium dan serat yang boleh membantu mengurangkan tekanan darah. Mempunyai tekanan darah tinggi adalah satu masalah kesihatan yang serius kerana ia meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung, satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di dunia.
Ia boleh membantu menurunkan tekanan darah. Melalui kajian yang menghubungkan nutrien seperti kalium, magnesium dan serat yang terkandung di dalam taugeh dapat menjadikan tekanan darah tinggi lebih rendah.
- Gula dalam darah
Apabila seseorang individu mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Ia adalah ciri utama masalah diabetes dan telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan yang kronik. Oleh sebab ini, profesional perubatan dan kesihatan sentiasa menasihati ramai individu untuk mengekalkan dan memastikan tahap gula dalam darah berada pada tahap yang sihat.
Salah satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan memakan taugeh bagi membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Ini kerana komposisi nutrien dalam taugeh baik dalam menurunkan tahap gula dalam darah. Ia tinggi serat dan protein yang menjadikan proses pelepasan gula ke dalam aliran darah menjadi perlahan.
- Berat badan
Terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan kandungan serat dan protein dalam taugeh dapat menghalang hormon lapar seperti ghrelin. Tambahan lagi, terdapat kajian tambahan yang mendapati kedua-dua nutrien dalam taugeh ini juga menggalakkan pembebasan dan penghasilan hormon yang menjadikan anda berasa lebih kenyang seperti peptida YY, GLP-1 dan cholecystokinin.
Dengan membuatkan anda berasa kenyang, ia sekali gus dapat mengawal pengambilan kalori dan membantu mengurangkan berat badan anda.
- Kehamilan sihat
Bagi wanita hamil, anda sememangnya akan disarankan untuk mengambil makanan yang tinggi kandungan folat semasa tempoh kehamilan. Ia adalah penting untuk membantu pertumbuhan optimum dan perkembangan bayi dalam kandungan anda. Lebih membahayakan wanita yang tidak mendapat keperluan folat yang mencukupi, berdepan dengan risiko kecacatan kelahiran yang lebih tinggi.
Taugeh mengandungi 80% jumlah pengambilan nutrien makanan yang disyorkan bagi folat dalam satu cawan taugeh yang dimasak, iaitu sebanyak 202 gram. Ia juga tinggi kandungan zat besi, protein dan serat yang sememangnya amat diperlukan oleh individu wanita mengandung.
Namun, individu wanita yang mengandung harus mengelakkan dari memakan taugeh mentah kerana ia berkemungkinan membawa bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan berbahaya kepada bayi dalam kandungan. Sebaiknya pastikan taugeh yang hendak dimakan dimasak dengan sebaiknya.
- Radikal bebas
Antara kebaikan yang boleh diperolehi dengan pengambilan taugeh dalam diet pemakanan harian adalah ia dapat mencegah diri kita daripada radikal bebas. Untuk makluman anda, radikal bebas adalah satu keadaan apabila badan kita mengandungi sebatian kimia yang melebihi had yang sepatutnya. Kandungan kimia ini akan berupaya untuk menjejaskan dan mendatangkan kesan kepada sel-sel dalam badan dan menjadikan ia sel yang tidak baik, di mana sel-sel ini akan menyerang sel yang baik dan sihat yang terdapat dalam badan anda.
Jadi bagaimana taugeh dapat membantu menghalang anda daripada radikal bebas? Ini kerana taugeh mengandungi antioksidan yang akan membantu badan melawan sel-sel yang tidak baik. Antioksidan juga berperanan untuk meningkatkan sistem kekebalan dalam badan anda. Ia sekali gus menjadikan badan anda dilindungi daripada radikal bebas yang turut merupakan salah satu punca kanser.
Bahaya taugeh
Taugeh merupakan tumbuhan yang menjadi antara makanan tidak boleh dimakan mentah. Ini kerana proses tumbesarannya berlaku dalam keadaan yang lembap yang berisiko untuk terdedah kepada bakteria seperti salmonella dan E.coli. Bakteria ini tidak akan boleh disingkirkan dengan hanya membasuh tetapi ia perlu dimasak dengan sempurna untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
Berikut adalah beberapa kesan bahaya taugeh jika tidak dimasak dengan betul:
- Kehamilan dan penyusuan
Fasa kehamilan adalah satu peringkat penting bagi seorang individu wanita. Pada waktu ini adalah penting untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi nutrien penting seperti vitamin dan mineral.
Taugeh merupakan sumber nutrien penting bagi vitamin B, C, zat besi, folat, kalium dan magnesium serta nutrien lain. Ini menjadikan ia sangat bermanfaat untuk memberikan fasa kehamilan yang sihat.
Tetapi ia juga merupakan satu tumbuhan yang berisiko tinggi untuk mengandungi bakteria sekiranya ia tidak dibersihkan dan tidak mengalami proses tumbesaran yang baik. Seperti yang dinyatakan di atas, ia berisiko untuk membiakkan bakteria salmonella dan E.coli yang boleh menyebabkan masalah seperti cirit-birit, mual, demam, dan masalah serius lain kepada wanita hamil. Jadi sangat penting untuk memastikan ia dimasak dengan sebaiknya. Namun, pengambilannya secara berlebihan pula boleh menimbulkan masalah seperti penyerapan nutrien yang tidak baik, kembung perut dan kekejangan perut serta lain-lain lagi.
- Alahan
Taugeh sememangnya mengandungi sumber nutrien yang sangat baik seperti vitamin, mineral, antioksidan, fitonutrien, dan serat makanan. Kehadiran sebatian baik ini menjadikannya sangat bermanfaat untuk diambil dalam diet pemakanan harian. Namun, bukan semua individu boleh menikmati manfaat daripada tumbuhan ini. Ini kerana sesetengah individu mungkin akan mengalami reaksi alahan seperti kegatalan, berdehit, ekzema, sesak dan pendek nafas, sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit.
- Risiko glisemik
Mengambil taugeh dalam kuantiti yang sederhana dan secara tetap adalah sangat baik untuk individu yang menghidap diabetes (kencing manis) dan kepada individu yang berdepan risiko untuk mengalami diabetes. Ia disebabkan indeks glisemik yang rendah dan ini bermakna, tumbuhan ini akan membantu melepaskan gula ke dalam aliran darah pada kadar perlahan dan ia membantu mengawal diabetes.
Tetapi pengambilan taugeh secara berlebihan boleh menyebabkan gula dalam darah turun ke tahap tidak normal yang boleh menimbulkan masalah hipoglikemia (Hypoglycemia), ia merupakan satu keadaan di mana paras gula berada di bawah tahap normal dan individu yang mengalami keadaan ini akan berdepan simptom seperti peluh secara berlebihan, kelaparan yang berlebihan, pengsan, keletihan, mual, muntah dan penglihatan kabur serta lain-lain masalah kesihatan. Jika anda seorang individu yang menghidap diabetes dan telah mengambil ubatan dan memakan taugeh pada jumlah yang berlebihan akan memperburukkan keadaan kesihatan anda.
Resepi masakan taugeh
Seperti yang dinyatakan di atas, taugeh memberikan banyak manfaat dan kebaikan dari aspek kesihatan. Oleh itu, apa kata kita ubah persepsi dan diet pengambilan makanan kita untuk lebih menggemari dan memperbanyakkan sayur taugeh? Jadikan ia sebagai satu makanan yang perlu ada dalam diet kerana manfaat daripadanya adalah sangat banyak dan penting buat kita. Berikut beberapa resepi taugeh mudah dan ringkas yang boleh anda cuba:
#1. Taugeh masak lemak
Bahan yang diperlukan:
- Taugeh
- ½ batang lobak merah, dipotong panjang-panjang
- ½ bawang besar dipotong halus
- 1 ulas bawang putih dipotong halus
- Udang, jika anda mempunyai alahan, anda boleh memilih untuk tidak menggunakan udang, dan menggantikannya dengan ayam
- ½ cawan santan,
- ½ cawan air
- Garam
- Gula
Cara penyediaannya:
- Bancuh santan dengan air. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bawang putih, bawang besar, udang dan lobak merah.
- Bila ia sudah mendidih masukkan taugeh. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bila taugeh kelihatan hampir layu, tutup api.
- Makanan sudah sedia untuk dihidangkan.
#2. Taugeh goreng
Bahan yang diperlukan:
- 300 gram taugeh kasar
- 2 keping tauhu, dipotong dadu
- 3 biji cili merah
- 3 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 100 gram udang segar, dibuang kulit, jika anda mempunyai alahan makanan laut, anda boleh menggunakan isi ayam dan dipotong kecil
- 50 g daun kucai, dipotong pendek
- 3 sudu makan minyak masak
- Garam secukup rasa
Cara penyediaannya:
- Panaskan minyak dan gorengkan tauhu sehingga masak. Angkat tauhu dan masukkan ke dalam pinggan.
- Cili merah, bawang merah dan bawang putih ditumbuk bersama dan tumiskan. Masukkan udang sehingga wangi.
- Masukkan tauhu, taugeh, daun kucai dan garam. Kacau rata. Biarkan seketika.
- Sedia dihidangkan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Alhamdullillah Syukur. Nantilah Cerita…” Abby Bagi Klu Sedang Hamil Di Usia 41 Tahun
Syukur atas pemberian Allah, Abby Abadi menggambarkan dirinya sedang hamil. Jika benar, maka kehadiran bayi yang bakal lahir akan menjadi anak kandung Abby & suami.
Abby menerusi kemaskini Instagram memuatnaik foto bersama doktor di sebuah klinik. Memuji perkhidmatan yang diberikan, Abby yang dilahirkan pada 1 Disember 1977 turut memaklumkan suaminya membawanya ke klinik untuk melakukan ujian imbasan (scan).
“Klinik favourite sekarang.
“Alhamdullillah terima kasih doktor-doktor muda yang cantik menawan ni layan pesakit dengan sangat baik sekali.
“Sangat suka dapat kenal dengan doktor-doktor yg baik budi ni. Dahlah baik, cantik comel berbudi bahasa pulak tu.
“Suami @jaiezzany bawak saya pergi scan tadi.
Abby yang berkahwin dengan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria pada 2015 turut mengucapkan kesyukuran kepada Allah namun tidak memberitahu lanjut tentang perkara itu. Ibu kepada lima cahaya mata ini juga mengaku segan untuk bercerita kerana masih ‘awal’.
“Alhamdullillah syukur.
“Nantilah saya cerita ye, segan nak cerita sekarang. Awal lagi hihi…
Selain itu, Abby juga turut menyatakan yang dia akan ke klinik berkenaan setiap bulan mulai bulan ini.
“Untuk doktor-doktor & adik-adik di klinik anda: Jangan serik jumpa saya setiap bulan mulai bulan ni ye hehe..“
View this post on InstagramA post shared by Mencari redha ALLAH (@abby_abadi112) on
Rakan artis dan para follower Abby Abadi terus menghujani ruangan komen dengan ucapan tahniah. Masing-masing seperti faham klu yang diberikan di mana Abby mungkin berbadan dua.
Sumber: abby_abadi112
Artikel berkaitan: Hamil Tanpa Komplikasi & Melahirkan Anak Keenam Di Usia 40an, Amalan Hidup Sihat Rahsia Kesuburan Sharifah Shahirah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada Sejenis Bahan Kimia Dalam Makanan Punca Tak Subur? Nak Zuriat, Anda Patut Ambil Tahu!
Bahan kimia yang dimaksudkan adalah Phthalate. Mesti ada di antara anda yang tidak pernah mendengarnya. Tetapi benarkah ia faktor berlakunya masalah kesuburan?
Mengenali bahan kimia Phthalate
Anda tidak dapat melihat, mencium atau merasakannya. Namun ia terdapat dalam ratusan produk harian yang anda gunakan.
Phthalate – sebutannya THAL-ate – adalah bahan kimia pengganggu endokrin (endocrine-disrupting chemicals) yang menjadikan plastik lembut dan mudah lentur.
Bahkan bahan kimia ini juga turut berada dalam makanan serta minuman yang anda makan. Bagaimana itu?
Endocrine-disrupting chemicals boleh berada dalam makanan dan minuman yang diambil setiap hari kerana ia digunakan dalam peralatan pemprosesan dan pembungkusan makanan.
Phthalate punca masalah kesuburan
Apa yang membimbangkan, phthalate dikatakan sebagai bahan kimia yang boleh mendatangkan kesan sampingan, khususnya kepada individu dewasa.
Mereka yang berada dalam kumpulan tersebut berisiko untuk mengalami kegemukan diabetes dan sindrom metabolik.
Phthalate juga boleh menyebabkan masalah kesuburan.
Terdapat beberapa bukti kuat menyatakan phthalate boleh mendatangkan bahaya kepada ibu yang sedang hamil.
Tahap bahan ini dikatakan tinggi pada ibu hamil dan dikaitkan dengan perubahan anatomi pada bayi lelaki yang mungkin akan mempengaruhi kemampuan anak tersebut untuk bergelar ayah di kemudian hari.
Bukan setakat itu sahaja, pendedahan phthalate semasa dewasa juga boleh menyebabkan penurunan kesuburan, perubahan sperma, dan penurunan kadar testosteron.
Individu wanita juga mungkin berisiko mengalami masalah kesuburan.
Pada tahap sangat rendah, bahan ini boleh menghidupkan, mematikan atau mengubah isyarat yang dihantar hormon ke seluruh badan. Sudah tentu keadaan itu boleh menimbulkan masalah.
Kajian yang dijalankan terhadap bahan kimia
Dalam beberapa kajian yang dilakukan pada tahun 1999 hingga 2008, menunjukkan bahawa phthalate boleh mempengaruhi kesuburan individu wanita.
Penyelidikan oleh National Health and Nutrition Examination Survey ini menganalisis 11 bahan kimia pengganggu endokrin pada 31,575 responden wanita.
Hasil kajian menunjukkan mereka dengan tahap phthalate yang tertinggi akan mencapai menopauskira-kira 4 tahun lebih awal berbanding wanita lain.
Mengalami menopaus lebuh awal akan meningkatkan kadar kemandulan dan menyebabkan perkembangan penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular, osteoporosis dan masalah perubatan lain.
Selain masalah kesuburan, phthalate juga mempunyai kaitan dengan masalah berat badan yang berlebihan.
Dalam tinjauan dilakukan oleh organisasi sama, dikatakan individu yang mempunyai tahap phthalate tertentu akan mempunyai berat badan lebih tinggi dan saiz pinggang lebih besar.
Di samping itu, kadar gula dalam darah dan insulin juga akan berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding individu dengan tahap bahan kimia phthalate rendah.
Mengurangkan pendedahan kepada phthalate
Phthalate biasanya dijumpai dalam makanan dan sebenarnya, sukar untuk kita menghindarinya.
Beberapa idea umum mengenai makanan yang cenderung terkontaminasi dengan bahan pengganggu endokrin ini adalah seperti ayam, daging merah, mentega, marjerin, minyak masak, krim dan keju.
Hakikatnya, phthalate sukar untuk dihindari kerana ia meningkatkan fleksibiliti plastik dalam semua perkara seperti pada lantai vinil dan langsir bilik mandi sehingga ke tiub intravena, peralatan memproses dan pembungkusan makanan.
Makanan dan minuman
Sumber pendedahan umum individu kepada phthalate adalah daripada bahan pemprosesan dan pembungkusan yang bersentuhan dengan makanan dan minuman.
Anda boleh mengurangkan pendedahan pada makanan dan minuman, dengan cara:
- Mengurangkan penggunaan makanan yang diproses dan dibungkus
- Meningkatkan penggunaan makanan segar
- Mengurangkan menyimpan serta memanaskan makanan dan minuman dalam bekas plastik
Minyak wangi dan produk penjagaan diri
Phthalate boleh didapati dalam losyen, sabun, alat solekan, pewarna kuku. produk dengan ‘wangian’ juga mungkin mengandungi phthalate.
Elakkannya dengan cara:
- Guna losyen dan sabun ‘bebas phthalate’
- Kurangkan penggunaan produk haruman dengan memilih kandungan ‘bebas wangian’
- Gunakan jenama pewarna kuku yang menyatakan ‘Tiada Di-Butyl phthalate’ atau ‘Tiada DBP’
Barangan rumah
Lantai, tirai, pancuran air, langsir, elektronik, dan produk PVC lain boleh menjadi sumber DEHP (Di(2-Ethylhexyl)Phthalate) – adalah bahan kimia pembuatan yang biasanya ditambahkan pada plastik untuk menjadikannya fleksibel.
Produk pembersih wangi, pencuci pakaian, penyegar udara sintetik juga boleh mengandungi phthalate.
Sebaiknya:
- Gunakan produk bebas PVC. Ganti dengan kapas, buluh atau polyethylene vinyl acetate (PEVA)
- Gunakan produk pembersih dan dobi yang ‘bebas wangian’
Langkah berwaspada
Sememangnya lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi mengesahkan lagi tentang bahaya phthalate.
Pun begitu dengan penyelidikan yang ada, ia menunjukkan bahawa pendedahan kepada phthalate pada tahap tertentu, boleh memberikan kesan kepada populasi manusia.
Ini kerana bahan kimia tersebut menjadi punca wujudnya masalah kesuburan, terutamanya melibatkan aspek pembiakan lelaki.
Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, lakukan perubahan hidup yang berkaitan bagi mengurangkan risiko mengalami masalah berkaitan kesuburan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI