Bermula dengan demam yang lama, kelihatan pucat dan badan lebam, akhirnya baru tahu yang adik Muhammad Fareeq Elman menghidap leukemia jenis ALL Regimen A Standard Risk. Bagaikan tidak percaya anak yang dilahirkan normal disahkan leukemia pada genap umurnya dua tahun.
Berkongsi kisah adik Fareeq, bapanya Kamarul Azhar Chek langsung tidak menyangka ujian cukup besar buat anaknya. Ketika doktor sahkan saya masih tak percaya. Tapi bila tengok keadaannya masa tu asyik lemah baru tahu punca sebenar.
“Sebab badan Fareeq selalu lemah dan lebam kerana platletnya dah rendah. Masa bawa ke hospital dan buat prosedur Bone Marrow Aspiration untuk ambil sampel, memang doktor sahkan Leukemia ALL.
“Bermula dari itulah, rumah kedua Fareeq hospital dan menjalani rawatan selama 3 tahun bermula dari Jun 2015 hinggalah Ogos lalu.
“Sepanjang tiga tahun menjalani rawatan, Fareeq juga telah melakukan lebih 10 kali kemoterapi dan 4 kali botak kesan dari proses kimoterapi tersebut,” katanya.
Disahkan Bebas Leukemia
Kamarul Azhar berkata, Ogos lalu Fareeq dah disahkan bebas dari leukemia dan tak perlu lagi menjalani kemoterapi seperti dulu.
“Ubat kemo semua dah tak perlu di ambil lagi. Cuma sekarang dia hanya makan antibiotik dan perlu membuat pemeriksaan darah sebulan sekali di HUKM,” kongsinya.
Walaupun nampak adik Fareeq kuat, menurut ayahnya dia seakan trauma setiap kali kena suntik. Ini kerana sepanjang rawatan yang dilalui selama tiga tahun dah beratus kali dia menerima suntikan di bahagian badannya.
Sementara itu, menurut ibu adik Fareeq Azizah Ab Aziz, masa Fareeq disahkan leukemia hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu.
Namun demi anak saya kena kuat walaupun tak mampu nak tengok kesakitan yang dihadapinya. Saya kena positif walaupun hakikatnya takut.
“Masa doktor sarankan Fareeq kena buat kimoterapi memang saya takut akan kesannya, tapi saya reda dan saya sebenarnya lagi takut kalau kehilangannya.
“Syukur sekarang semuanya dah main baik, Fareeq pun dah boleh jalani kehidupan seprti kanak-kanak normal. Cuma masih tak boleh terlalu aktif.
“Harapan saya moga Fareeq dapat terus membesar dengan sihat,” jelasnya.
**Apa lagi kisah selanjutnya mengenai anak yang disahkan leukemia dan perkongsian dari pakar, saksikan rancangan Pa&Ma dengan episod Anak Leukemia, Apa Penyebabnya jam 9 malam ini di Astro Prima dan Maya HD.