Menurut Dr Siti Eshah Bahari, Pakar Perbidanan & Sakit Puan KPJ Selangor Specialist  cara sedut yang betul akan mengoptimumkan kesan yang entonox bagi melegakan kesakitan. Entonox ialah campuran gas nitrous oxide dan oksigen. Ia digunakan meluas di dalam bidang perubatan dan kerap digunakan oleh ibu-ibu untuk melegakan sakit kontraksi semasa proses kelahiran.

Entonox adalah pelega kesakitan yang paling banyak digunakan di dalam kelahiran kerana pelbagai kelebihan. Entonox banyak digunakan namun kegagalan para ibu menggunakannya dengan betul menyebabkan entonox tidak dapat berfungsi dengan betul.

KELEBIHAN GUNA ENTONOX  SEBAGAI PELEGA KESAKITAN SEMASA BERSALIN

  • Mudah digunakan.
  • Kos efektif dan lebih murah berbanding bius epidural dan suntikan pethidine.
  • Lebih fleksibel dan memberi kesan yang cepat seawal 15 saat hingga tiga minit selepas disedut.
  • Pesakit boleh mengawal penggunaannya.
  • Tiada kesan sampingan yang berbahaya
  • Ia tidak mengganggu bayi di dalam kandungan.
  • Ia tidak menghilangkan kesakitan tetapi mengurangkannya ke tahap yang boleh dikawal.
  • Selamat untuk bayi dan oksigen yang disedut akan memberikan kebaikan kepada anda dan bayi. Ibu kurang resah dan jadi lebih tenang.
  • Entonox tidak perlu dipantau penggunaannya seperti epidural.
  • Tidak melibatkan jarum suntikan. Ia juga tidak memberikan kesan mengantuk atau kebas.


CARA SEDUT ENTONOX
Entonox disarankan untuk diambil pada akhir peringkat kelahiran iaitu sebelum bukaan serviks sampai 10cm. Sekiranya pada peringkat awal ibu telah mengambil suntikan pethidine, pada akhir peringkat pertama kelahiran kontraksi yang lazimnya akan lebih kuat dan para ibu boleh mengambil pelega sakit ini.

  1. Sebelum kontraksi, ibu perlu melekapkan topeng gas entonox ke muka.
  2. Pastikan topeng dilekapkan dengan kedap tanpa ada rongga terbuka.
  3. Sedut dengan dalam tetapi perlahan sehingga rasa sakit hilang atau anda berasa pening.
  4. Topeng perlu dipegang sendiri oleh ibu agar dia boleh menyesuaikan sedutan mengikut keperluan.
  5. Alihkan topeng apabila sakit mulai hilang. Elakkan daripada menyedutnya terus menerus kerana ia boleh menyebabkan khayal atau dos berlebihan.

INFO: Walaupun entonox tidak mempunyai kesan sampingan yang besar, ia boleh menyebabkan anda pening. Ada sesetengah wanita rasa tidak selesa, mengantuk dan gagal untuk fokus. Jika tanda-tanda ini berlaku, hentikan penggunaan dan dapatkan bantuan petugas perubatan dengan segera.