Panik Bila Bayi Cranky & Kuat Meragam? Cuba Buat 6 Perkara Ini!

Share

Bayi cranky dan kuat meragam dan tanpa sebab, pening dibuatnya. Mama papa jangan panik! Cuba periksa, mungkin anda lupa nak buat 6 perkara ini.

Secara umumnya ada beberapa sebab bayi anda menangis dan meragam. Malah si manja yang masih belum boleh bercakap, menjadikan menangis sebagai kaedah untuk berkomunikasi. Walaupun kebanyakan isyarat menangis menunjukkan bayi mempunyai keperluan seperti mahu makan atau mahu ditukar lampin yang basah tetapi ada ketikanya anda sukar memahami kenapa bayi sangat cerewet sehingga sukar dikendalikan.

Sebelum memeriksa lebih lanjut, pastikan anda melakukan lima perkara ini terlebih dahulu;

  • Tukar lampin. Kemungkinan lampin basah  menyebabkannya dia tidak selesa.
  • Berinya susu atau makanan. Mungkin dia kelaparan atau haus.
  • Periksa perut bayi jika dia alami kembung perut. Sapu minyak angin pada perutnya.
  • Cuba tidurkan bayi. Dia mungkin memgamuk kerana mengantuk.
  • Periksa pakaian yang dipakainya sama ada terlalu ketat atau tebal yang menyebabkannya tidak selesa. Tukar jika perlu.

Namun sekiranya lima perkara di atas telah dilaksanakan dan tangisannya masih lagi tidak reda, anda boleh cuba lakukan enam perkara seperti berikut

1.BAWA BAYI KE TEMPAT YANG TENANG

Bayi boleh menjadi lebih mudah dirangsang apabila berada di ruang yang tenang dari kebisingan dan suasana nyaman. Kadang kala dengan pencahayaan, bunyi dan persekitaran mudah untuk bayi bergerak akan bayi menjadi cerewet. Cuba alihkan bayi ke lokasi yang tenang dan tempat yang biasa dengannya untuk si manja berada dalam keadaan tenang. Pencahayaan bilik yang dimalapkan sedikit juga boleh meredakan tangisan mereka.

2.BEDUNG BAYI

Kebanyakan bayi suka dirinya dibedung kerana ia membuatkan dirinya berasa selamat seperti di dalam rahim ibu. Apabila si manja di bedung, ia dapat membantu mengawal pergerakan (refleks Moro) bayi anda dan membantu si manja tidur nyenyak.

3.BUAIKAN

Perlahan-lahan buaikan bayi anda dalam gerakan berirama yang boleh membantu mengatasi masalah bayi yang cerewet. Gerakan berirama mengingatkan bayi anda berada di dalam rahim. Anda juga boleh dodoinya sambil berjalan atau meletakkan di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang.

Membuaikan si manja dalam dukungan seperti ini boleh meredakan tangisannya.

4.MENYANYI

Mengulangi bunyi seperti “Shhh, shhh, shhh” atau “ahhh, ahh” dalam corak irama pada nada yang sama boleh membantu menenangkan bayi anda. Tidak mengapa jika suara tidak merdu, asalkan bunyi suara anda adalah biasa dan selesa untuk bayi anda. Bagi Muslim, boleh mengalunkan zikir dalam nada yang sama untuk menenangkan si manja.

5.UBAH KEDUDUKAN

Kadang-kala memegang bayi dengan cara berbeza boleh membantu memberikan keselesaan pada si manja yang cerewet. Jika bayi anda mempunyai masalah kolik atau kembung perut, anda boleh memegang bayi dengan kedudukannya menghadap anda. Posisi dukung cara ini memberi tekanan pada bahagian perut kecilnya yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan si manja.

Cara dukung seperti ini boleh bantu redakan kolik atau kembung perut bayi.

6.MASA UNTUK SENDIRIAN

Jika anda masih tidak dapat menenangkan bayi anda yang cerewet ini, cuba letakkan si manja di tempat tidur bayi untuk beberapa minit. Kadang-kala seperti orang dewasa, bayi hanya mahu sendirian untuk dirinya berehat tanpa diganggu.

Jika anda telah mencuba pelbagai keperluan bayi anda dan mencuba panduan yang diberi ini, namun masih gagal menenangkan bayi, cuba dapatkan rawatan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat serta melakukan pemeriksaan kesihatan bayi.

Info Mengenai Kembung Perut/Kolik

Tangisan bayi selalunya akan lebih kerap di antara usia enam hingga lapan minggu dan akan berkurangan apabila bayi berusia tiga bulan. Jika bayi anda baru lahir sihat tetapi menghidapi kolik, akan membuatkan bayi anda menangis kerana tidak selesa.

Tangisan akibat kolik berbeza daripada tangisan yang normal kerana lebih kuat dan bernada lebih tinggi.Tangisan bayi yang kolik kedengaran seolah-olah dia dalam kesakitan atau berteriak. Bayi yang menangis kerana kolik lebih sukar ditenangkan dan tangisan mungkin akan berakhir selepas dia mengeluarkan angin atau membuang air besar.

Published by
Azma ML