‘Pantang Makan Akan Sembuhkan Ekzema Itu Tak Betul, Cari Punca Dahulu!’ – Mama Tanya

Share

Anak saya penghidap ekzema yang teruk, saya dah buntu dan hampir give up! Kadang-kadang saya terpaksa cut-off semua makanan yang berkhasiat untuk baby termasuklah ayam, ikan sebab sedih tengok kulit dia berdarah. Kadang-kadang saya bagi bubur sayur sahaja. Betul ke dengan pantang makan anak saya akan sembuh?

Saya buntu, PJ

Makanan merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kejadian ekzema atau mencetuskan gejalanya bertambah teruk selain faktor genetik dan persekitaran seperti bahan kimia, debunga, mikroorganisma, suhu, dan stres. Antara makanan yang dikaitkan dengan ekzema adalah kacang tanah, susu lembu, telur, soya, gandum (gluten), makanan laut serta makanan bercangkerang.

Jenis Makanan Yang Mencetuskan Ekzema

Makanan boleh mencetuskan ekzema kerana mengandungi alergen makanan, terutamanya makanan berasaskan hidupan laut mahupun tumbuhan yang tinggi kandungan protein berunsur semula jadi. Allergen makanan ini akan merangsang penghasilan antibodi immunoglobulin E (IgE) bagi melawan alergen tersebut. Pengaktifan IgE akibat alergen makanan boleh mencetuskan ekzema atau menyebabkan gejala ekzema menjadi bertambah teruk. Sumber makanan yang tinggi kandungan histamine seperti kekacang, coklat dan makanan berkaleng serta berpengawet juga meningkatkan risiko keradangan kulit. Masalah kulit ekzema termasuk yang sedia terdedah akibat kegatalan dan digaru, akan menjadi lebih teruk dan sensitif apabila terus dirangsang alergen makanan mahupun persekitaran.

“Pantang” Makan?

Anggapan bahawa ekzema disebabkan alergi makanan semata-mata dan sekatan terhadap makanan tersebut akan menyembuhkan terus ekzema adalah tidak benar, walaupun kebanyakan penghidap ekzema turut mengalami masalah alergi makanan. Selain makanan, alergen daripada faktor persekitaran juga perlu diberi perhatian bagi rawatan ekzema. Amalan pantang larang makanan tidak berfaedah sekiranya punca ekzema individu tersebut adalah bukan daripada faktor makanan. Antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan gejala ekzema daripada bertambah teruk adalah penjagaan dan pengurusan pemakanan. Penjagaan pemakanan dapat membantu mengelakkan tercetusnya tindakbalas antibodi yang menyebabkan atau meningkatkan keradangan kulit.

Kanak-kanak yang mengalami ekzema adalah hampir 35% lebih mudah menghadapi alergi makanan. Sebaiknya jalani ujian alergi makanan bagi mengenal pasti secara spesifik makanan yang mengandungi alergen dan bukannya memilih mengelakkan sesuatu makanan secara am atau rawak. Kajian ada membuktikan bahawa mengelakkan putih telur dapat membantu mengawal ekzema daripada menjadi teruk. Mengelakkan sesuatu sumber makanan tanpa bukti ujian alergi, boleh mengundang risiko kekurangan zat makanan seperti osteomalasia (kekurangan vitamin D), kekurangan kalsium, fosforus, zat besi, zink, vitamin K, B, dan C. Ada pesakit ekzema yang turut mengalami tekanan psikologi kerana pilihan makanan yang terhad dan tidak dapat menikmati makanan. Kadangkala ekzema dalam kalangan kanak-kanak boleh menghilang apabila meningkat dewasa. Ada juga pesakit yang hanya mula menghidap ekzema semasa remaja atau dewasa tetapi mempunyai alahan lain seperti asma sewaktu kanak-kanak.

Penyediaan Makanan Seimbang Untuk Pesakit Ekzema

Penjagaan faktor pemakanan untuk masalah ekzema bermula sejak kehamilan. Amalkan pemakanan yang seimbang dan elakkan daripada pantang larang makanan (kecuali terbukti melalui ujian alergi) sewaktu kehamilan dan semasa tempoh menyusukan bayi. Bagi bayi yang mengalami ekzema mahupun untuk mencegah ekzema, amalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga bayi berumur enam bulan. Mulakan pemberian makanan pelengkap sewaktu berumur enam bulan, di samping meneruskan penyusuan susu ibu. Perkenalkan makanan baru kepada anak satu per satu secara berperingkat. Berikan perhatian khusus kepada makanan yang diketahui menyebabkan alergi pada ibu dan bapa.

Amalkan pemakanan yang seimbang dan sediakan makanan yang merangkumi semua kumpulan makanan yakni, kumpulan bijirin, kumpulan sayur-sayuran, kumpulan buah-buahan, kumpulan ikan ayam, daging, telur dan kekacang serta kumpulan susu dan produk tenusu. Semua kumpulan makanan perlu diambil dalam diet harian secara sederhana bagi mengelakkan risiko sesuatu makanan mencetuskan risiko ekzema jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan. Sekiranya alah terhadap sesuatu makanan, cuba gantikan makanan daripada kumpulan makanan yang sama bagi memperoleh khasiatnya. Jika alah pada telur, gantikan dengan ikan atau ayam bagi mendapatkan makronutrien seperti protein. Kepelbagaian makanan, iaitu mengambil pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan dapat memastikan individu mendapat semua nutrien dan khasiat yang diperlukan. Pastikan tidak memakan makanan yang sama berulang-ulang, seperti hanya memakan brokoli tetapi tidak memakan sayuran berwarna lain seperti labu kuning, kubis ungu dan bayam merah.

Pengambilan makanan kaya probiotik (makanan difermentasi) oleh ibu hamil dan kanak-kanak dilaporkan dapat mengimbangi semula mikroorganisma usus yang baik dan seterusnya mengurangkan kekerapan keradangan dan ekzema serta masalah alergi makanan. Bagi memelihara keseimbangan mikroorganisma usus yang baik, ambil makanan yang kaya serat sama ada serat larut air dan serat tidak larut air yang berfungsi sebagai makanan kepada probiotik.

Pengambilan atau penyediaan makanan yang mengandungi aditif makanan seperti pewarna dan perasa sintetik sebaiknya dielakkan. Sumber yang mengandungi aditif makanan yang banyak adalah makanan terproses dan segera seperti makanan segera, mi segera, kentang segera, makanan dan minuman ringan. Utamakan pengambilan makanan yang semulajadi seperti sayuran dan buahan yang pelbagai warna. Bagi mereka yang terbukti mengalami alergi makanan, berikan perhatian dan baca label produk makanan bagi mengelakkan membeli produk yang mengandungi alergen. Sebagai contoh, produk yang dihasilkan menggunakan mayonis perlu diberi perhatian oleh mereka yang alergi terhadap telur kerana senarai ramuan produk tidak akan menyenaraikan telur secara khusus dalam senarai ramuan.

Sekiranya tiada diagnosis khusus terhadap alergi makanan, pesakit boleh kembali kepada diet yang normal secara berperingkat mengikut penerimaan. Dapatkan nasihat pakar pemakanan bagi memperoleh nasihat pemakanan dan membantu membuat pilihan makanan yang sesuai.

Nutritionist Thiru

Published by
NuFa