“Aduh sakitnya” pasti ramai ibu bapa yang mengalami situasi digigit si kecil anda sehingga meninggalkan kesan bentuk gigi pada permukaan kulit.
Sebenarnya banyak punca yang menyebabkan si kecil suka mengigit. Ikuti perkongsian daripada doktor Zubaidi.
PUNCA ANAK SUKA MENGGIGIT
Mereka menggigit atas sebab-sebab yang berbeza. Kebanyakan mereka melakukannya tanpa ada niat jahat.
Antara sebab-sebabnya ialah:
1. Mereka akan menggigit jika berada berada dalam kesakitan, terutama apabila gusi mereka membengkak akibat gigi yang baru tumbuh.
2. Kanak-kanak juga gemar meneroka dunia baru mereka dengan menggigit. Sama juga kanak-kanak yang suka memasukkan semua barang yang dijumpai di atas lantai ke mulut mereka. Mereka ingin mengeksplorasi dunia baru mereka. Tindakan ini berbahaya dan ibubapa tidak harus membiarkan barang yang kecil dan tajam di atas lantai.
3. Ada juga kanak-kanak yang seakan menguji dan ingin melihat reaksi tindakbalas apabila mereka menggigit. Jeritan kesakitan dan jeritan marah ibubapa kadang kala menyebabkan mereka rasa terhibur.
4. Kanak-kanak yang tidak diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya, selalunya cuba menarik perhatian ibubapa mereka dengan melakukan perkara yang ibubapa mereka tidak suka.
5. Kanak-kanak yang kecewa dan marah akan meluangkan rasa marah mereka dengan menggigit. Mereka tidak dapat melahirkan perasaan marah mereka dengan perkataan, maka mereka akan melahirkannya dengan menggigit dan memukul. Sebagai contoh, kanak-kanak yang dirampas barang permaianan mereka akan menunjukkan rasa marah dengan menggigit dan memukul rakan sepermainan.
Sumber: Doktor Zubaidi