Hati mana yang tidak gembira bila akhirnya dapat menatap wajah seorang bayi yang selama ini hanya hadir dalam doa. Hampir dua dekad bukanlah tempoh yang singkat setiap tahun penuh harapan, lumrah hati nan terdetik setiap kali lihat anak “Bilalah agaknya giliran aku?” Barangkali begitulah perasaan pasangan menanti zuriat, Mohd Khairuddin Ahmad, 51, dan isterinya, Noorul Izzah Marzuki, 44, yang sabar menanti hampir 19 tahun untuk menimang cahaya mata pertama.
Rezeki Selepas 19 Tahun Penantian
Tanggal 17 Oktober lalu menjadi detik paling bermakna dalam hidup mereka. Bayi lelaki yang diberi nama Sheikh Muhammad Mohd Khairuddin lahir bukan sahaja membawa sinar bahagia, tetapi juga satu simbol kasih dan kesabaran.
Lebih manis lagi, tarikh kelahiran si kecil itu jatuh pada 25 Rabiulakhir, sama seperti tarikh lahir bapanya mengikut kalendar Islam seolah-olah tanda cinta dan doa mereka akhirnya bertaut sempurna.
Noorul Izzah berkongsi, saat mengetahui dirinya hamil selepas sekian lama mencuba, dia hanya mampu menangis.
“Saya tengok dua garisan pada alat ujian kehamilan pun macam tak percaya. Selama ni asyik satu garisan saja. Tapi kali ni, bila Allah kata ‘kun fayakun’ jadi, maka jadilah,” katanya.
Ujian Panjang Pasangan Menanti Zuriat
Bukan mudah lalui perjalanan hampir dua dekad menanti zuriat. Mereka pernah berdepan keguguran pada tahun 2007 ketika kandungan berusia enam bulan. Ujian itu benar-benar menguji emosi dan keimanan mereka sebagai suami isteri. Namun, mereka tidak pernah berputus asa.
“Tapi kami tak putus asa kerana yakin ada harapan jadi selain berdoa, kami terus berusaha,” kongsi Mohd Khairuddin.
Perjuangan IVF & Ketabahan Pasangan Ini
Pasangan ini juga melalui pelbagai rawatan termasuk In-Vitro Fertilization (IVF) sebanyak tiga kali. Dua kali gagal, malah pernah ditolak kerana masalah obesiti. Tapi mereka tidak berhenti berusaha. Percubaan ketiga akhirnya membuahkan hasil dan hasil itu kini sedang nyenyak tidur dalam pelukan mereka.
“Kami pun pernah dua kali cuba buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebelum ini namun tak berhasil… pernah juga ditolak untuk buat IVF sebab kami obesiti.
Ads
“Tapi rezeki kami apabila isteri hamil dan dapat zuriat selepas buat IVF kali ketiga macam tak percaya, ibaratnya fantasi jadi kenyataan bila tengok anak dalam dakapan,” ujar Mohd Khairuddin Ahmad
Sementara itu, isterinya Noorul Izzah Marzuki meluahkan rasa syukur dikurniakan zuriat yang telah lama dinanti.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh kehamilan semuanya okay, tak ada masalah dan syukur Allah SWT mudahkan.
“Tekanan tak ada anak sebelum ini ada tapi saya anggap mereka yang bertanya (soal zuriat) itu semua mendoakan… buat pasangan di luar sana yang belum ada rezeki, jangan putus asa dengan rahmat Allah SWT tapi kena ikhtiar juga,” katanya.
Setia Tanpa Berbelah Bagi
Lebih menyentuh hati, Khairuddin tidak pernah berniat untuk berkahwin lain meskipun tiada zuriat selama hampir 19 tahun.
“Orang terdekat dengan saya pun tak ada bagi cadangan itu (berkahwin lagi) dan bagi saya, belum tentu dapat zuriat.
Ads
“Tapi ada yang cadang ambil anak angkat cuma saya dan isteri tetap nak usaha.
“Tahun lalu pun, saya dan isteri dapat peluang ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Jadi waktu di Arafah, itu yang kami doakan (dapat zuriat) dan syukur kerana Allah SWT makbulkan.
Bagi pasangan menanti zuriat ini, kelahiran Sheikh Muhammad bukan sekadar rezeki, tetapi juga peringatan bahawa tiada doa yang sia-sia.
Pesanan Untuk Pasangan Yang Masih Menanti Zuriat
Gambar Hiasan AI
Kepada pasangan menanti zuriat yang masih belum dikurniakan anak, kisah ini menjadi bukti bahawa keajaiban masih wujud. Walaupun penantian itu panjang, jangan berhenti berdoa. Allah mendengar setiap keluhan dan tangisan yang kita sembunyikan. Cuma waktunya belum tiba.
1. Jaga Emosi Dan Kesihatan Mental
Tekanan daripada masyarakat boleh jadi sangat mencabar. Belajarlah untuk tidak mengambil hati terhadap soalan “bila nak ada anak?” kerana kadang-kadang mereka tidak tahu betapa pedihnya soalan itu bagi yang menanti.
Ads
2. Amalkan Gaya Hidup Sihat
Masalah obesiti boleh menjejaskan peluang kehamilan. Cuba turunkan berat badan dengan pemakanan seimbang, senaman ringan, dan rehat yang cukup. Kadang bukan rezeki belum sampai, tapi tubuh belum bersedia.
3. Dapatkan Rawatan Fertiliti Secara Teratur
Jangan takut untuk berjumpa pakar. Teknologi seperti IVF, IUI atau rawatan hormon mampu membantu. Namun, pastikan anda berdua faham prosesnya dan bersedia dari segi fizikal serta emosi.
4. Sokongan Emosi Antara Pasangan
Lelaki juga perlu kuat. Jangan biar isteri lalui semua tekanan sendiri. Kadang hanya dengan pelukan atau kata semangat, ia sudah cukup menenangkan.
5. Doa Dan Tawakal
Bila usaha sudah dibuat, selebihnya serahkan pada Allah. Ada rezeki datang cepat, ada yang lambat, ada juga yang hadir dalam bentuk lain seperti anak angkat atau rezeki yang tak disangka.
Tip Tambahan Untuk Ibu Hamil
Gambar Sekadar Hiasan
Bagi yang sedang meniti tempoh kehamilan, jagalah diri dan kandungan dengan penuh kasih:
Pemakanan seimbang – Banyakkan buah, sayur, protein, dan kurangkan makanan bergula serta bergoreng.
Elak stres berlebihan – Tenangkan diri dengan zikir, baca Al-Quran, atau aktiviti ringan seperti berjalan perlahan.
Minum air secukupnya – Elak dehidrasi, terutama di trimester pertama.
Amalkan suplemen yang disarankan doktor – Folic acid, zat besi, dan vitamin D sangat penting untuk perkembangan janin.
Bersyukur setiap hari – Nikmati setiap detik, dari rasa loya sampai ke tendangan kecil bayi — kerana itu semua tanda kehidupan dalam rahimmu.
Doa, Kasih & Kesabaran Itu Kunci
Kisah Noorul Izzah dan Mohd Khairuddin ini bukan sekadar kisah penantian panjang, tetapi bukti bahawa kasih, doa dan kesabaran adalah kunci keajaiban.
Kadang rezeki datang bukan pada masa kita mahu, tapi pada masa Allah tahu kita benar-benar bersedia.
Dan bila akhirnya bayi itu hadir, kita sedar — setiap air mata yang pernah jatuh dulu, rupanya adalah bayaran untuk senyuman kecil yang kini ada di pangkuan kita.
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah membuat kejutan buat kedua-dua anaknya Ayden dan Ara apabila membawa mereka ke Perancis bagi menyaksikan Kejohanan Dunia Ironman 2025 pada 14 September ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Primavalet, kedua anak Bella, Ayden dan Ara dilihat menangis kerana menyangkakan mereka bakal ditinggalkan oleh Bella.
Bella bagaimanapun tampil membuat kejutan dengan memberikan tiket penerbangan dan passport kepada kedua anaknya dan memeluk mesra.
“Kejutan buat Ara dan Ayden, kasih ibu tiada tandingan. Semoga bahagia milik mereka, Amin Ya Rabb,” kongsi primavalet, semalam.
Menerusi video itu, Ayden dan Ara lantak memeluk Bella erat malah tidak menyangka kejutan yang dibuat oleh ibu mereka sebelum berlepas.
Turut mencuri tumpuan, tindakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang cuba memujuk Ayden dan Ara sebelum kejutan tersebut diberikan telah mengundang rasa gembira dalam kalangan warganet.
Dikhabarkan Bella dan Syed Saddiq turut membawa seluruh keluarga mereka untuk terbang bersama ke Perancis bagi menyokong Ahli Parlimen Muar itu.
Meninjau ke ruangan komen warganet terharu melihat pengorbanan Bella yang tidak sanggup berjauhan bersama anak-anak dan mendoakan agar pelakon itu sentiasa dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan.
Untuk rekod, seramai 19 atlet Malaysia bakal berentap di pentas terbesar triatlon dunia apabila layak ke Kejohanan Dunia Ironman di Nice, Perancis, Kona, Hawaii (wanita) serta IRONMAN 70.3 di Marbella, Sepanyol.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah tragis seorang murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah rendah di Senawang benar-benar meruntun hati ramai. Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta setelah dibawa oleh guru disiplin.
Menurut laporan Sinar Harian, selepas laporan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, pihak polis mengesahkan punca kematian murid terbabit adalah disebabkan tekanan pada bahagian leher. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Siasatan rapi sedang dijalankan
Menurut beliau, sehingga kini pihak polis telah merakamkan keterangan daripada 27 individu termasuk saksi kanak-kanak. Siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum kejadian dan keadaan mangsa sewaktu ditemui.
Gambar Ahmad Hasbi (Harian Metro): Ibu bapa murid tahun empat yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah ketika hadir di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, hari ini.
“Polis menggesa agar diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus serta dengan mengambil kira sensitiviti kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas beliau.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi tidak sahih kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta menambah luka kepada keluarga mangsa.
Kes masih dalam klasifikasi awal
Sebelum ini, pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang melibatkan unsur buli. Namun siasatan masih diteruskan secara rapi untuk merungkai punca sebenar tragedi menyayat hati ini.
Jenazah murid berkenaan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights malam semalam dengan diiringi air mata keluarga dan sanak saudara.
Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap anak-anak
Kehilangan ini membuka mata semua pihak tentang betapa pentingnya keselamatan dan kesejahteraan anak-anak ketika berada di sekolah. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap emosi dan perubahan tingkah laku anak, manakala pihak sekolah pula harus menitikberatkan aspek keselamatan murid agar tragedi sebegini tidak berulang.
Pa&Ma menyeru agar masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dengan nilai empati, kasih sayang dan hormat sesama rakan. Setiap nyawa anak-anak adalah amanah yang sangat berharga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak akhir-akhir ini, kes cubaan menculik melibatkan kanak-kanak begitu membimbangkan ibu bapa. Walaupun kisah-kisah berkaitan penculikan tular baru-baru ini dikatakan palsu dan salah faham, tetapi ibu bapa seharusnya lebih berwaspada untuk mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
Baru-baru ini, seorang ibu berdepan detik cemas apabila mendakwa tiga anaknya nyaris dibawa lari berhampiran sebuah stesen minyak di Batu 9, Telok Panglima Garang.
Disyaki cuba buka pintu kereta
Kisah tersebut telah tular di media sosial selepas klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada stesen minyak itu dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Hizam.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat si ibu, ketika kejadian, dia singgah sebentar di kedai makan untuk membeli sarapan sementara anak-anaknya ditinggalkan di dalam kereta kerana cuaca hujan.
Ketika saya berada di kedai makan tersebut, saya terlihat sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam (nombor pendaftaran tidak pasti) telah memandu dalam keadaan perlahan dan telah berhenti di bahagian belakang kereta saya.
Dakwa wanita ini lagi, dia melihat seorang lelaki telah keluar dari kereta tersebut dan berdiri di sebelah pintu kereta Nissan Almera miliknya. Lebih mencurigakan apabila wanita ini mendakwa lelaki terbabit melihat keadaan di dalam kereta melalui tingkap selain seperti cuba membuka pintu keretanya.
Saya terus berlari ke arah kenderaan dan bertanyakan kepadanya kenapa menghampiri kenderaan saya dan beliau beritahu yang pintu kereta saya tidak rapat. Pintu tersebut tidak rapat kerana mengalami kerosakan.
Apabila saya menyoalnya, lelaki tersebut terus berlalu pergi dan masuk ke dalam keretanya dan terus beredar.
Video Penuh:
Berdasarkan percakapan, wanita ini mengesyaki lelaki berkenaan merupakan warga Indonesia. Dakwa wanita ini lagi, tujuannya membuat laporan polis adalah untuk tujuan keselamatan dirinya dan anak-anak.
Kisah yang dikongsikan telah mendapat pelbagai respon daripada netizen yang rata-ratanya menasihati para ibu bapa supaya lebih peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling.
Mereka turut meluahkan rasa syukur kerana tidak ada perkara buruk yang berlaku ke atas tiga kanak-kanak itu.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.