Pasti Terengganu diiktiraf Malaysia Book of Records, cipta rekod pertandingan mewarna. Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila seramai 14,865 murid menyertai pertandingan mewarna sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 baru-baru ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).
Pasti Terengganu Diiktiraf Malaysia Book of Records, Cipta Rekod Pertandingan Mewarna
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, pengiktirafan itu diumumkan sempena Perasmian Penutup Program Warna Warni Semarak Merdeka (Acara-Acara Sambutan Sempena Hari Kebangsaan) Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2024 di dataran jambatan angkat.
Menurutnya, pertandingan mewarna itu diadakan bagi menterjemahkan erti kemerdekaan sekali gus menyemai perasaan kasih dan cintakan tanah air dalam kalangan murid.
“Kita bersyukur dan berbangga kerana usaha ini membuahkan hasil apabila Pasti Terengganu diiktiraf MBOR dengan rekod peserta paling ramai menyertai pertandingan mewarna sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Kita harap pertandingan mewarna yang dianjurkan ini dapat menyerlahkan lagi bakat serta menyemarak semangat kemerdekaan dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.
Berdasarkan rekod, seramai 14,865 murid Pasti Terengganu menyertai pertandingan mewarna diadakan di seluruh cawangan Pasti pada 28 Ogos lalu.
Antara Pasti terlibat ialah Pasti kawasan Besut dengan seramai 1,218 peserta, Setiu (1,206), Kuala Nerus (1,884), Kuala Terengganu (1,914), Marang (2,750), Hulu Terengganu (1,133), Dungun (2,021) dan Kemaman (2,739).
Jelas Maliaman, program tersebut juga bertujuan merapatkan hubungan antara murid dan guru serta memberi impak positif dalam perkembangan pendidikan awal kanak-kanak.
“Lebih membanggakan program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan tenaga pengajar Pasti yang memberi sokongan penuh untuk acara bersejarah itu.
“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terbabit dalam penganjuran acara ini termasuk pengusaha, ibu bapa, guru dan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti seumpama itu dapat membantu menggilap bakat dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan peserta bermula ketika usia paling muda.
“Tugas ini bukan mudah sebab itu kita kagum dengan guru-guru Pasti yang dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
“Apabila anak-anak ini besar kelak, mereka akan menjadi insan yang berbakat dan membesar dalam keupayaan mereka sendiri,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Baru 4 Tahun, Ambil Masa 15 Minit Namakan 147 Negara Melalui Bendera. Pecah Rekod MBOR!
Burnout Jaga Anak Sendirian, Suami Tempat Wany Hasrita Mengadu!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI