Setakat 30 Januari 2020, angka bagi individu yang dijangkiti virus korona telah melebihi 7,000. Jangkitan virus korona baharu ini lebih agresif berbanding dengan sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS).
Namun berbanding dengan kedua-dua penyakit tersebut, jangkitan virus korona baharu masih tidak mempunyai kadar kematian yang tinggi.
Akan tetapi, masih awal untuk kita buat kesimpulan. Setakat ini, sebanyak 170 kematian akibat virus korona direkodkan berbanding SARS dan MERS yang memiliki kadar kematian yang lebih tinggi.
Wabak ini telah membuatkan semua individu panik, lantas sibuk mencari topeng muka dan sanitizer sebagai langkah pencegahan. Namun, peralatan perlindungan ini kekurangan stok di Malaysia, sekali gus menimbulkan huru-hara di kalangan penduduk tempatan.
Walau bagaimanapun, adakah wajib bagi setiap individu untuk membeli kedua-dua produk ini bagi mengelakkan jangkitan virus korona?
Ketahui alternatif lain jika stok topeng muka dan sanitizer telah kehabisan dengan membaca artikel ini.
Wajib pakai topeng muka ke?
Sedar tak, ramai individu yang sudah mula memakai topeng muka dalam pengangkutan awam dan di pejabat?
Permintaan terhadap produk tersebut telah meningkat menyebabkan banyak kedai dan farmasi mengalami kehabisan stok. Yang lebih merisaukan, ada penjual yang sengaja menaikkan harga topeng muka dan sanitizer bagi meraih keuntungan besar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan amaran keras terhadap mereka yang mengambil kesempatan menjual produk tersebut pada harga yang tinggi.
Namun, persoalannya di sini, adakah wajib untuk anda memakai topeng muka bagi menghindari jangkitan virus korona baharu?
Menurut Konsultan Penyakit Berjangkit, Dr Benedict Sim,
Ads
“Setakat ini tiada keperluan untuk rakyat Malaysia memakai topeng muka memandangkan tiada jangkitan virus korona baharu di antara manusia berlaku di sini.”
Akan tetapi, tidak salah jika anda ingin mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli topeng muka. Namun jika tiada topeng muka, janganlah pula anda takut hendak keluar rumah.
Jika berlaku jangkitan di antara manusia, anda boleh menggunakan surgical mask yang mempunyai tiga lapisan perlindungan.
Oleh sebab virus korona disebarkan melalui titisan air, tidak semestinya anda perlu memakai topeng muka N95 yang sering diguna untuk menghindarkan penyakit yang tersebar melalui bawaan udara (airborne).
Jika topeng muka sukar untuk didapati, anda boleh mengamalkan langkah berjaga-jaga. Jika anda mempunyai simptom selesema, elakkan berlegar-legar di tempat awam dan amalkan etika bersin/ batuk yang betul.
Perlu basuh tangan guna sanitizer ke?
Apabila berbincang mengenai jangkitan, pasti anda akan terfikir berkenaan hand sanitizer kan?
Ads
Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) menyarankan setiap individu untuk menggunakan air dan sabun. Jika tiada air atau sabun, sanitizer boleh digunakan.
Ini berikutan sabun dan air berkesan dalam membasmi pelbagai jenis mikroorganisma dan bahan kimia yang melekat pada permukaan tangan.
Pembersih tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol boleh menghindari penyebaran penyakit berjangkit. Namun keberkesanannya kurang jika dibandingkan dengan penggunaan air dan sabun.
Menurut CDC lagi, berbanding dengan air dan sabun, mereka yang menggunakan sanitizer cenderung untuk tidak menggunakan pembersih tangan tersebut dengan cara yang betul.
Ada yang menggunakannya pada kuantiti yang sedikit dan ada yang mengelapnya sebelum ia betul-betul kering.
Terdapat beberapa sebab mengapa anda perlu menggunakan air dan sabun semasa membasuh tangan dan bukan sanitizer semata-mata. Ini antara sebabnya:
Sanitizer kurang berkesan pada tangan yang kotor dan berminyak. Kajian-kajian yang dijalankan untuk menguji keberkesanan pembersih tangan tersebut kebanyakannya dibuat pada pekerja hospital. Dari perspektif komuniti pula, kebanyakan individu pergi bersukan, berkebun, berkhemah atau memancing. Dalam situasi tersebut, air dan sabun terbukti lebih berkesan
Sanitizer tidak mampu membasmi racun perosak atau keluli berat daripada tangan. Kajian pada tahun 2012 oleh Gloria D.C. et al telah menunjukkan bahawa mereka yang menggunakan sanitizer mempunyai paras racun perosak yang tinggi berbanding mereka yang menggunakan air dan sabun. Jadi, apa anda perlu lakukan jika tiada air dan sabun?
Ads
Pastikan sanitizer yang anda guna mempunyai kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 60%. Sanitizer yang mempunyai kepekatan alkohol yang rendah mungkin:
-Tidak berkesan untuk membasmi pelbagai jenis kuman
-Tidak membasmi, hanya merencatkan pertumbuhan kuman
-Apabila anda menggunakan sanitizer, gunakan pada keseluruhan tangan dan pastikan ia kering dengan sendiri. Jangan gunakan kain atau peralatan lain untuk mengeringkan tangan anda.
Amalkan langkah-langkah pencegahan
Setakat ini, kesemua kes positif virus korona baharu di Malaysia melibatkan pelancong dari China. Mereka telah dikuarantin dan sedang menerima rawatan hospital. Ini bermakna, peratusan penyebaran penyakit berada pada tahap yang sangat rendah.
Namun, itu tidak bermakna kita tidak perlu mengamalkan langkah pencegahan bagi menghindarkan diri daripada jangkitan virus korona.
Panik berkenaan dengan virus ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara-negara lain yang mempunyai kes positif.
Kedai-kedai farmasi di Hong Kong telah kehabisan stok topeng muka dan Taiwan telah menghentikan urusan eksport topeng muka bagi memastikan stok domestik mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
Setakat ini, 3 prinsip pencegahan telah diamalkan bagi mengurangkan penyebaran penyakit terutamanya di China yang menjadi pusat kepada jangkitan virus korona baharu.
-Basuh tangan secara kerap
-Pemakaian topeng muka
-Elakkan daripada pergi ke tempat yang ramai orang
-Di Malaysia, jika anda tidak dapat membeli topeng muka atau sanitizer, anda masih boleh pergi ke tempat kerja, menjalani aktiviti sosial dan sebagainya. Namun, perkara ini mungkin berubah mengikut keadaan semasa.
Langkah pencegahan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini berjaya menghindarkan berlakunya jangkitan antara manusia di Malaysia. Ya, kita ada kes positif, namun tiada individu yang berjangkit daripadanya setakat ini.
Pastikan anda mengamalkan langkah pencegahan penyebaran virus yang betul. Jika anda mengalami simptom selesema, dapatkan rawatan doktor dan elakkan daripada pergi ke tempat awam.
Anda boleh membeli topeng muka dan sanitizer jika ada dijual. Namun, jika tiada, jangan panik. Masih tiada lagi berlakunya kes jangkitan antara manusia di Malaysia. Ini bermakna kebarangkalian untuk jangkitan tersebut merebak berada pada paras rendah.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kita biasa mendengar tentang doa. Yang paling biasa dilakukan ialah selepas solat atau tatkla melalui saat-saat yang sukar. Namun begitu, Kuasa Doa juga boleh dilahirkan melalui 4 saluran: hati, pemikiran, perkataan dan perbuatan. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati dengan 4 perkara ini agar kita sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak kita.
Doa Melalui Hati
Ini adalah niat kita dalam melakukan sesuatu. Contohnya, jika niat kita ikhlas untuk melakukan sesuatu kerana Allah dan demi kasih-sayang kepada keluarga, InsyaAllah Tuhan akan memakbulkan doa tersebut dengan menjadikan tugas kita ringan, malah menyeronokkan.
Contohnya, apabila kita memasak, kita rasa seronok dan puas melihat keluarga ceria makan bersama, kerana kasih-sayang banyak disalurkan melalui makanan. Begitu juga apabila kita menunjuk-ajar sesuatu kepada anak, kita akan melakukannya dengan sabar dan penuh belas kasihan.
Doa Melalui Pemikiran
Ini bermaksud kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan optimistik, bukannya negatif dan pessimistik Jika kita sentiasa berfikiran buruk tentang anak kita, maka buruklah jadinya. Sebaliknya, jika kita yakin dan percaya akan kebolehan mereka, InsyaAllah Tuhan akan memakbulkan doa kita dengan mengurniakan anak yang pandai, bertanggungjawab dan berdikari.
Doa Melalui Perkataan Yang Indah
Perkataan ibu bapa adalah doa. Oleh itu, jauhilah dari bercakap dengan bahasa yang biadap, kasar dan menjatuhkan maruah mereka. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang baik seperti “Bertuahnya anak ibu!” walaupun tatkala sedang marah.
Jauhi dari melabel mereka dengan perkataan negatif kerana takut nanti ianya akan cepat dimakbulkan Tuhan.
Doa Melalui Perbuatan
Rajinlah membantu orang lain kerana ia seolah-olah kita berdoa “Aku dah cukup bahagia sehingga aku mampu membantu orang lain pula.” Begitu juga apabila kita bersedekah, ianya seolah doa “Aku kaya!”.
Allah akan pasti memakbulkannya dengan memberikan kita lebih kebahagiaan dan kekayaan. Wallaahua’lam.
Seia sekata membesarkan anak dengan cara mereka sendiri. Amalan selalu bercakap dengan anak sejak dari dalam kandungan rahsia Amarra jadi petah
Setiap kali menatap pasangan ini di Instagram, tidak kering gusi dibuatnya. Ada-ada sahaja lawak jenaka Azad menceriakan suasana keluarga.
Azad Jazmin dan Eira Syazira pasangan serasi kini bahagia dengan tiga cahaya mata. Amarra Sofea Rose, 5, Ameisya Leanne Rose, 1 dan Areisya Suri Rose, 5 bulan menjadi pengikat kasih sayang pasangan selebriti ini.
Kedua-dua selebriti mempunyai persefahaman dalam mendidik anak. Pasangan ibu bapa muda ini mahu anak mereka menjadi anak yang cemerlang seimbang dunia dan akhirat. Penerapan elemen asuhan dan didikan serta mengutamakan anak melebihi segala-galanya.
KARAKTER KELAKAR MENAMBAT HATI
“Azad mempunyai ciri seorang lelaki yang saya cari selama ini. Perkenalan pertama kami ialah bila sama-sama berlakon dalam sebuah drama. Ketika mekap, saya ternampak seorang lelaki kacak tinggi lampai datang ke set. Siapakah lelaki itu kacak persis Amitabh Bhachan? Dia kemudian memperkenalkan dirinya kepada saya. Ketika itu, Azad memegang watak tambahan dan hanya mempunyai satu scene sahaja. Selama ini hanya tengok di TV sahaja, tak pernah berjumpa in person, hati berdebar-debar. Saya sukakan karakter dia yang kelakar dan bersahaja,” kata Eira tentang suami yang dikahwininya pada 16 September 2011 lalu.
FAMILY MAN
Lama kelamaan hubungan kedua-duanya semakin akrab sehingga menjadi pasangan kekasih. Apabila diperkenalkan kepada kepada ibunya, Eira tidak merasakan jurang dan tertawan dengan layanan baik ibu Azad. Bahkan dia amat tertarik dengan cara Azad melayan kepada ibunya. Cara percakapan dua beranak itu membuatkan Eira kagum. Tanpa membuang masa, lantas Eira mengatakan kepada dirinya “Lelaki ini mesti jadi ayah kepada anak-anakku nanti.”
Ternyata selepas berkahwin dan menimang cahaya mata, Azad mempraktikkan apa yang dilakukan oleh Allahyarham bapanya kepada anak-anak. Kerap berkomunikasi, caring dan bonding yang sangat kuat dengan anak-anak menjadikan Azad bapa yang sempurna di mata Eira. Azad memang family man. Dia amat teliti tentang anak-anaknya dan sanggup berhabisan untuk mereka. “Anak-anak perlu sentiasa kemas dan tidak boleh comot. Kalau tidak Azad akan tanya kenapa. Dia memang akan lakukan apa sahaja untuk anak-anaknya,” kata Eira tentang suaminya.
AZAD SEBAGAI PAPA
Bila ditanya bagaimana mendidik anak-anak, lelaki penuh humor ini menjadikan ibu bapanya ialah idola. “Ibu bapa saya begitu rapat dengan kami adik beradik. Saya mengaplikasikan apa yang mummy& daddy saya lakukan iaitu sentiasa bercakap dengan anak-anak dan melatih kami agar saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Daddy saya berketurunan Serani dan mummy pula Melayu. Cara didikan kepada kami adik beradik adalah kombinasi kedua-duanya,” kata Azad.
Selain itu, bagi Azad, menjadi seorang ayah bermakna dia perlu pandai mengawal keadaan. Hal kerja dan perniagaan ditinggalkan di luar pintu sebelum masuk ke dalam rumah. Di rumah, dia bukan ahli perniagaan atau pelakon, tetapi suami dan ayah kepada anak-anak.
Azad memang suka berbual dengan anaknya walau pun ketika anaknya masih di dalam kandungan. Azad juga melayan anak-anaknya bermain dan bercakap seperti kanak-kanak yang sudah besar supaya pemikiran anak lebih berkembang. Kelebihan kepada Azad ialah dia boleh mengatur jadual hariannya dengan lebih baik dan mempunyai lebih banyak masa dengan keluarga.
Membesar sebagai anak sulung, Azad juga melatih Amarra untuk menjadi pelindung dan pemimpin untuk adik-adiknya. Setiap anak mempunyai keunikan dan keistimewaan masing-masing. Azad menyayangi ketiga-tiga anak perempuan sama rata dan berharap semuanya menjadi insan yang seimbang dunia dan akhirat.
KEPETAHAN AMARRA
Anak sulung pasangan ini amat menonjol karakternya. Amarra Sofea Rose yang kini berusia lima tahun petah dan mempunyai perwatakan ceria. Kerana kepetahan dan keakrabannya dengan Azad, kedua-duanya terpilih untuk program Oh My Family di Astro. Amarra yang kini sedang bersekolah tadika banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah.
Amarra juga digelar Eira sebagai Azad Junior. Apa sahaja yang disukai bapanya akan menjadi kegemaran anak kecil itu. Didikan sejak kecil dan ikatan kuat antara dua beranak ini terjalin erat. Sejak Amarra di dalam kandungan Eira, Azad akan berbual dan selepas dilahirkan, dia menghabiskan banyak masa berinteraksi dengan Amarra walau pun pada ketika itu masih bayi. Kata Azad, mungkin kerana itu, Amarra mudah menerima arahan dan petah berkata-kata.
Azad & Eira teruja jadi hos rancangan Pa&Ma. Dengan situasi terkini mereka sebagai ibu bapa kepada tiga anak pelbagai usia, penglibatan ini memperkayakan ilmu keibubapaan mereka. Rancangan yang bakal ke udara pada jam 12 tengah hari, setiap Selasa bermula 12 Jun 2018 di Astro Prima & Maya HD. Program ini nanti bakal mengutarakan tajuk-tajuk menarik keibubapaan seperti Jutawan Cilik, Kehamilan IVF, Homeschooling dan sebagainya.
Selepas Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya mengambil anak angkat, Nur Tiara Zinnirah Nasir, jelas terpancar kegembiraan di wajah pasangan ini.
Achey memberitahu dalam tempoh ini, bukan hanya kegembiraan semata-mata tetapi isterinya sedang dalam proses menjadi ibu susuan kepada anak angkat mereka, yang kini hampir berusia dua bulan.
Menurutnya, dia dan isteri bersepakat melakukan proses itu dalam menjadikan Nur Tiara sebagai mahram selain untuk mengelakkan isu lain pada masa akan datang.
“Alhamdulillah selepas mendapat pandangan daripada keluarga dan ahli agama kami sepakat untuk jadikan dia anak susuan agar tak timbul soal mahram apabila dia dewasa kelak.
“Sekarang masih dalam proses dan alhamdulillah Allah pun permudahkan proses itu untuk isteri saya,” katanya.
Achey dan isteri mengambil Nur Tiara sebagai anak angkat pada 6 Ramadan lalu.
Nur Tiara dilahirkan pada 15 Mei lalu pada pukul 8.05 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam pada itu, Achey berkata, Nur Tiara juga sudah sah menjadi anak angkat mereka dari segi undang-undang selepas membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM).
Kata Achey lagi, walaupun prosesnya sedikit rumit namun dia lega dapat menyelesaikan perkara itu demi masa depan anak mereka.
“Memandangkan kami tidak pernah berdaftar dengan JKM untuk proses ambil anak angkat… Ambil dulu baru daftar, jadi prosesnya banyak sikit.
“Tetapi tidak mengapa, baik saya selesaikan sekarang pendaftaran sijil kelahirannya dan perakuan Nur Tiara sebagai anak angkat agar tiada masalah berbangkit di kemudian hari,” jelasnya.
Sementara itu, Nur Hasanah pula berkata, walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman sebagai ibu bapa namun kehadiran Nur Tiara banyak mengajar mereka.
Malah Nur Hasanah turut memuji Achey yang disifatkan sebagai ringan tulang bagi menguruskan anak mereka.
“Kalau Tiara terjaga malam, Achey yang bangun tukar lampin, buat susu… Alhamdulillah dia sangat membantu.
“Dari situ juga kami sama-sama dapat belajar kerana tidak pernah ada pengalaman tetapi semuanya dipermudahkan dan ramai membantu dalam memberi tip keibubapaan,” ujarnya.
Sumber: mstar & ig achey/ tiara zinnirah nasir
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.