Saban tahun negara kita pasti menghadapi musim banjir terutama di negeri sebelah pantai timur dek kerana kedatangan musim tengkujuh.
Persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh harus dilakukan secepat mungkin dan tidak terlepas, ibu hamil turut melakukan persiapan untuk menghadapi banjir. Berikut 5 tip menghadapi banjir yang dikongsi oleh Pakar kesihatan wanita & Kehamilan, Dr Muhammad Izzat buat ibu hamil.
5 tips Untuk Ibu Hamil Menghadapi Banjir:
– Ibu hamil yang menanti saat bersalin, sediakan dan simpan kelengkapan bersalin dan barang-barang untuk anak yang bakal lahir di tempat yang mudah dicapai. lebih baik jika tempat tinggal semasa banjir berada berdekatan dengan hospital atau di luar kawasan banjir, sama ada di rumah saudara, hotel dan seumpamanya, senang untuk pergi hospital pada saat memerlukan.
– Pastikan dokumen-dokumen penting seperti mykad, buku antenatal( buku pink) , sijil nikah, dan lain-lain dokumen penting dibawa bersama untuk kegunaan dan rujukan semasa bersalin. Dapatkan nombor telefon bagi klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika berlaku kecemasan. Bagi ibu hamil yang belum lagi dekat dengan tempoh untuk bersalin, kenal pasti tempat tinggal, pusat pemindahan atau rumah saudara yang selamat dan sehampir mungkin dengan bantuan jika berlaku kecemasan.
– Jangkitan penyakit bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria,kulat dan parasit ) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan. Kehamilan sendiri meningkatkan risiko ibu hamil mendapat penyakit bawaan air seperti taun, kencing tikus dan seumpama dengannya. Dapatkan rawatan segera jika berasa tidak sihat.
– Lindungi diri dari kecederaan. Kadang-kadang air banjir terdapat kaca, kayu, serpihan barangan tajam. Berhati-hati jika perlu meredah banjir. Gunakan kayu atau apa-apa objek jika anda ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah bagi mengelakkan serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa.
– Air banjir atau air bertakung menggalakkan pembiakan nyamuk, sekaligus boleh menyebabkan wabak denggi. Jangkitan denggi pada wanita hamil jika tidak dikenalpasti dengan segera dan dirawat boleh menyebabkan kesihatan ibu menjadi merundum dan boleh membawa maut. Jika ibu hamil demam, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Banjir boleh jadi berbahaya kepada ibu hamil, sentiasa berhati-hati
Sumber: Muhammad Izzat
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Scan Bayi Penting Untuk ‘Check’ Tahap Kesihatan Bayi Dalam Kandungan Bukan Semata Nak Tengok Wajah Saja
Mungkin ada ibu yang beranggapan tidak perlu untuk melakukan scan bayi atau ujian imbasan dalam kandungan. Sebenarnya scan bayi dalam kandungan amat penting bukan sekadar untuk melihat wajah sahaja seperti yang sering difikirkan segelintir ibu hamil.
Berkenaan ujian imbasan atau scan bayi, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?
Scan Bayi Penting Untuk ‘Check’ Tahap Kesihatan Bayi Dalam Kandungan
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
Bukan Semata Nak Tengok Wajah Saja
UJIAN MENENTUKAN KECACATAN KROMOSOM
Semasa kehamilan, wanita hamil mungkin perlu mengambil beberapa pilihan ujian termasuklah ujian saringan untuk mengenal pasti keabnormalan atau kecacatan kromosom. Walaupun kecacatan kromosom yang berlaku pada bayi belum lahir adalah jarang-jarang, namun kebanyakan ibu bapa dengan keadaan perubatan tertentu atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit keturunan adalah perlu untuk lebih berhati-hati.
Artikel berkaitan: Jangan Terlalu Teruja Pamerkan Gambar Scan Bayi Untuk Tatapan Umum, Ini Hukumnya Menurut Islam
Apakah itu kecacatan kromosom?
Keabnormalan atau kecacatan boleh berlaku dengan perkembangan luar biasa kromosom itu sendiri, atau ia boleh termasuk satu atau lebih gen. Bayi tersebut tidak lahir dengan kecacatan tetapi kebanyakannya mewarisi gen abnormal daripada kedua-dua ibu dan bapa. Selalunya, jika bayi mendapat hanya satu gen abnormal, maka gen baik lain akan diambil alih oleh ibu bapa.
Kajian menunjukkan bahawa kecacatan kromosom menghuraikan lebih daripada separuh kes keguguran dalam trimester pertama. Kecacatan kromosom yang dikenali ditemui dalam 0.5 hingga 1 peratus pada kesemua bayi baru lahir yang hidup.
Contoh paling lazim kecacatan kromosom ialah Sindrom Down. Berbanding dengan mempunyai dua kromosom no. 21, individu yang terjejas dengan keadaan ini mempunyai tiga kromosom salinan. Sindrom Down menyebabkan IQ rendah dan ciri istimewa seperti anggota badan yang pendek dan mempunyai kedutan di sekitar mata.
Implikasi lain keabnormalan kromosom ialah kecacatan jantung. Bayi baru lahir yang mempunyai kromosom no. 13 tambahan (Sindrom Patau) atau no. 18 (Sindrom Edward) jarang sekali hidup selepas lahir. Keadaan-keadaan ini kurang diketahui umum berbanding Sindrom Down.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom?
Pemeriksaan serum
Jika doktor anda mengesan tanda-tanda luar biasa pada fetus anda, dia akan menjalankan pemeriksaan serum seperti ujian amniosintesis. Ujian ini hanya disarankan jika anda berisiko tinggi mendapat kecacatan kromosom. Walau bagaimanapun, mendapat risiko tinggi bukan bermakna anak anda sudah dijangkiti.
Ini adalah bentuk ujian darah yang dilakukan antara minggu ke-15 hingga 20. Jika anda mengambil ujian ini, hormon kehamilan dalan darah anda akan dinilai berhati-hati. Selepas itu, doktor akan menggabungkan keputusan dengan usia anda bagi mengira dan mengenal pasti sama ada anak anda berisiko mendapat Sindrom Down ataupun tidak.
Ujian persampelan vilus korion (CVS)
Ujian diagnostik ini dilakukan untuk menentukan bilangan sebenar kromosom pada bayi. Jika bilangannya 46, ia dianggap normal. Kaedah ini membantu doktor mengenal pasti kebarangkalian bayi mendapat kecacatan kelahiran seperti trisomi 18, trisomi 13, Sindrom Down, dan penyakit lain. Jika ibu hamil mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan genetik tertentu, CVS juga akan dijalankan. Doktor akan memasukkan jarum melalui abdomen ibu atau melalui serviks ke dalam plasenta. Kemudian, doktor akan memilih kepingan kecil plasenta untuk dihantar ke makmal bagi pengimbasan genetik. Prosedur ini mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk dijalankan. Keputusan akan didapati dalam kira-kira beberapa minggu selepas itu.
UJIAN MENENTUKAN JANTINA
Antara perkara yang mengujakan semasa hamil adalah meneka sama ada jantina bayi anda lelaki ataupun perempuan. Selain daripada mitos yang diperkatakan sejak sekian lama, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan. Artikel di bawah memberikan maklumat kepada anda mengenai bagaimana jantina boleh dikenal pasti melalui beberapa ujian perubatan.
Mitos
Mitos-mitos yang diperkatakan mungkin sekadar mitos, tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Bentuk perut anda semasa hamil (baby bump):
Mengikut cerita orang-orang dahulu, jika bentuk perut anda semasa hamil bulat seperti bola, ini bermakna anda sedang mengandungkan bayi lelaki. Sebaliknya, jika perut anda berbentuk luas, anda lebih cenderung untuk mendapat bayi perempuan.
Mengidam makanan manis dan berempah, dan makanan yang sedap:
Teknik ini hanya bergantung kepada apa yang anda ingin makan, dan tentunya tidak tepat untuk mengenal pasti sama ada anda mengandungkan bayi lelaki ataupun perempuan. Bagaimanapun, adalah dipercayai bahawa jika seseorang ibu itu mengidam makanan manis, dia akan mendapat bayi perempuan. Sebaliknya, jika anda teringin makan makanan seperti kentang goreng dan stik semasa hamil, anda mungkin sedang hamil bayi lelaki.
Bentuk wajah anda:
Kepercayaan orang dulu-dulu, ibu yang boleh mengawal berat badan mereka dan menjaga penampilan akan melahirkan bayi lelaki. Sementara untuk ibu yang tidak, dia akan mendapat bayi perempuan. Mengapa berbeza? Ini kerana, menurut kepercayaan dahulu, bayi perempuan akan mengambil seri kehamilan ibu tersebut.
Ujian perubatan yang boleh mendedahkan jantina sebenar bayi
Amniosentesis:
Prosedur amniosentesis termasuklah meletakkan sebatang jarum ke dalam bendalir yang mengelilingi bayi. Pakar kemudiannya akan melihat kepada rupa kromosom bayi untuk menentukan jantina bayi, juga sebarang keabnormalan kromosom. Teknik ini pasti dapat menentukan jantina bayi anda. Walau bagaimanapun, memandangkan ujian ini berisiko tinggi menyebabkan keguguran, maka doktor tidak akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian ini.
Ultra-bunyi:
Pada usia kandungan 20 minggu, anda dan pasangan boleh mengetahui jantina bayi dengan cara melakukan imbasan ultrabunyi anatomi. Jika anda benar-benar ingin tahu, semasa minggu ke-14 dan 15 kehamilan, imbasan juga sudah boleh dilakukan. Malahan, secara saintifiknya, jika anda melihat bentuk penyu, bersedialah untuk menerima bayi lelaki. Sementara itu, jika anda melihat tiga garisan, maka anda mungkin akan menerima bayi perempuan. Pun begitu, teknologi boleh menyebabkan keputusan yang salah. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan jantina anak anda adalah dengan menunggunya sehingga hari kelahiran.
BEZA UJIAN IMBASAN 2D, 3D, DAN 4D. DOKTOR INI TERANGKAN DENGAN TERPERINCI
Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.
Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.
Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas.
Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.
Imbasan dan keperluannya
Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.
Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala
imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.
Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:
1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban.
2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya.
3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar.
4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran.
5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.
Beza 2D, 3D dan 4D
Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.
Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.
Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.
Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:
1. Kadar jantung bayi.
2. Bilangan bayi.
3. Kedudukan plasenta.
4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi.
5. Tempoh pembukaan laluan serviks.
6. Rahim ibu.
Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.
Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.
Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.
Sumber: Pa&Ma, Hello Doktor
Kredit foto (top image): Freepik
Baca lagi artikel: “Nak Scan 6D, 4D Waktu Tu Tak Mampu” Tak Tahu Jantina Anak Hingga Lahir, Syamimi Kongsi Momen Hamil!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Mohon Doa Kalian” Detik Kelahiran Makin Dekat, Tasha Shila Adakan Solat Hajat & Doa Selamat!
Menanti detik melahirkan bayi sulung sememangnya cukup mendebarkan namun hati pastinya begitu teruja untuk melihat wajah si comel. Pelakon cantik, Tasha Shila kini juga sedang menanti detik kelahiran bayi sulungnya sedikit masa lagi.
Tasha di jangka akan bersalin tidak lama lagi memandangkan usia kandungan yang kini sudah pun memasuki sembilan bulan.
Bagi memohon doa agar kelahirannya dipermudahkan, Tasha dan suami mengadakan satu majlis solat hajat dan doa selamat agar segala urusan menanti cahaya mata sulung mereka dipermudahkan Allah SWT.
Menerusi Instagramnya, Tasha berkongsi beberapa keping gambarnya ketika majlis ringkas itu.
“Mohon doa kalian semoga kami dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik.
“Buat kalian semua, Tasha dan Atiq doakan juga kebahagiaan, kesihatan dan rezeki yang tidak terjangka akan datang, #doaselamat #solat hajat,” kongsinya ringkas.
Dalam pada itu, rata-rata seluruh peminat Tasha di Instagram turut mendoakan agar Tasha dipermudahkan sepanjang proses melahirkan bayi sulungnya kelak.
“Suka sangat bila tengok Tasha Shila lepas kahwin ni, makin berseri, then now mommy to be. So much love for her n new baby soon. Semoga dalam lindungan Allah SWT❤️
“Semoga dipermudahkan masa bersalin nanti Kak Tasha”.
“Syukur Alhamdulillah. Semoga ibu dan anak dalam lindungan Allah SWT.. Aamiin”
Semoga kelahiran cahaya mata pertama pasangan ini dipermudahkan kelak. Tak sabar menanti si comel yang bakar mewarnai hidup pasangan ini.
Terdahulu, Tasha dan suaminya, Muhammad Atiq Idris mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 2020.
Pada Disember tahun lalu, Tasha mengumumkan kehamilannya yang ketika itu sudah pun berusia lima bulan. Semoga kelahirannya sedikit masa lagi dipermudahkan.
Artikel berkaitan: Menghitung Hari, Kandungan Sudah Masuk 32 Minggu, Tasha Shila Mohon Doakan Kelahiran Bayi Sulung
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @tashashilla
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Jelaskan Petua Mudah Bersalin Makan Telur Mentah, Mee Lor Dan Plantah Tak Berasas Dan Berbahaya!
Macam-macam petua yang diviralkan sejak akhir-akhir ini. Tapi fikirlah terlebih dahulu adakah petua tersebut memberi kebaikan atau kesan negatif. Seeloknya jangan main ikut je dan jika perlu rujuk pada yang pakar.
Jika petua tersebut benar-benar dibuktikan kesahihannya tak mengapa, tapi jika entah apa-apa lebih baik diabaikan. Mengenai petua mudah bersalin yang diviralkan sebelum ini iaitu makan telur mentah, plantah dan mee lor, Dr Hafiz Sulaiman tidak bersetuju sama sekali.
Ikuti kupasan yang dikongsikan oleh Dr Hafiz ini supaya ibu mengandung tak mudah percaya dengan petua ini demi keselamatan anda dan bayi dalam kandungan.
Astaghfirullah, sesak nafas terbaca petua mudah bersalin viral
Nak mudahkan bersalin cuba makan plantah dan mee lor? Ada pula yang syorkan telur mentah 2 biji..?
Saya biasanya mengelak komen benda viral atau isu semasa.. risau ada yang tersinggung. Kali ni saya bukan apa, tapi kesian dan rasa berdosa kalau tak tegur apa yang saya belajar.
Kita sama-sama betulkan dan belajar dari kesilapan
Bahaya tu puan…Risiko pada ibu.. risiko pada bayi dalam kandungan.. saraf bayi boleh terencat… penglihatan boleh jadi cacat!
Petua mesti ada asas..dan faham asbab petua serta risikonya.
KENAPA PERLU ELAKKAN TELUR MENTAH
Mengandung memberi stres kepada badan..meningkatkan kortisol (hormon steroid)..Ya, imuniti badan akan menurun. Steroid berlebihan kurangkan imuniti badan..
Telur mentah berisiko dijangkiti kuman Salmonella dan ibu berisiko keracunan makanan kerana kuman ini. Demam, muntah, sakit perut, cirit birit dan renjatan merupakan antara kesan keracunan kuman Salmonella.
MEE LOR TINGGI GULA
Saya tidak tahu mengapa bersalin selalu orang syorkan makanan proses seperti mee lorr. Ia tinggi gula fructose proses dan juga mengandungi maltodextrin..yang meningkatkan gula darah ke langit..
Gula fruktosa ni toksik ya jika berlebihan. Menurut pakar hormon kanak-kanak, kesan berlebihan gula fruktosa ni sama seperti kesan arak kecuali tidak mabukkan. Kesan berlebihan gula ini dikaitkan dengan saraf, merosakkan hati (hati berlemak), meningkatkan asid urik, meningkatkan lemak jahat oxLDL penyebab sakit jantung serta menyebabkan obesiti.
Takde bukti pun Mee lor ambil masa bersalin cepatkan kelahiran. Buat masa ini, ia layak dikelaskan sebagai MITOS.
PLANTAH?
Lemak durjana yang mula diharamkan di US bermula tahun 2015 dan berkuatkuasa sepenuhnya pada tahun 2018 terkandung pada bahan masakan kegemaran ramai ini.
Apa bahaya lemak trans ini?
Rujukan : Weston A. Price Foundation
1) Risiko penyakit jantung. Denmark menyaksikan penurunan kes sakit jantung lebih 50% hanya dengan menurunkan kadar lemak trans daripada 6gram kepada 1gram.
2) Risiko kanser
3) Risiko kencing manis
4) Gangguan imuniti
5) Gangguan kesuburan dan organ pembiakan.
6) Jika menyusu, lemak trans boleh mencemari susu dan menggangu perkembangan saraf serta merencatkan penglihatan.
7) Trans fat mengurangkan berat badan fetus dan merencatkan perkembangan otak dan saraf kandungan.
Ambil maklum ya ibu-ibu kajian penting oleh Berghaus et al. 1998, 2001: Paras darah kandungan trans fat bayi sama dengan paras trans fat ibu. Apa maknanya?
Trans fat MERENTASI uri ibu dan menjadi “makanan” bayi..maksud saya.. RACUN pada kandungan.
BETUL KE BERKESAN PETUA TU?
Saya hanya boleh speculate mengikut pemahaman sains saya.
Gula tinggi Mee Lorr, trans fat Plantah dan telur mentah tinggi histamin mungkin meningkatkan keradangan..
Malah menurut pakar nutrisi Dr Loren Cordein. PhD, sejenis enzim, lysozyme yang terkandung dalam telur mentah menyebabkan sindrom “leaky gut” dan mungkin menyebabkan keradangan bagi mereka yang alah.
Keradangan mungkin meningkatkan aktiviti kontraksi rahim. Tapi berbaloi kah gerakkan rahim dengan mengambil makanan menakutkan seperti lemak trans itu?
Mengapa tak pilih alternatif lebih selamat? Jika low risk pregnancy, boleh cuba alternatif lebih selamat..saya kongsi dalam post saya yang seterusnya insha Allah
Dalami lah ilmu pemakanan untuk semasa bersalin..Supaya kita tak terikut-ikut tanpa tahu sebab dan risiko kepada kesihatan kandungan dan kesihatan ibu mengandung sendiri. Kalau ada petua pelik nanti viral sebab taktik marketing pun, siapa tahu?
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Saya harap mana yang dah buat tak tersinggung..kita belajar daripada kesilapan.
Sumber: Hafiz Sulaiman
-Pejuang Kesihatan-
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI