Rasa mengidam, datang tanpa dirancang. Adakah ia spontan atau ada punca situasi sebegini berlaku?

Menurut Dr. Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, sebahagian wanita hamil akan mengalami suatu keadaan di mana mengidam sesuatu jenis makanan ketika dalam tempoh kehamilan. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh perubahan hormon di dalam tubuh masing-masing.

Atas sebab perubahan hormon jugalah, ia menjadi punca mengapa sesetengah wanita mengidam makanan tertentu dan tidak pada wanita yang lain. Keadaan sebegini, sama seperti saat mengalami haid di mana anda menginginkan sesetengah jenis makanan disebabkan oleh pengaruh hormon yang dialami ketika itu.

 

PERUBAHAN HORMON

Perubahan hormon di kalangan wanita hamil boleh memberi kesan terhadap deria rasa dan bau. Namun, sebab sebenarnya tiada siapa yang tahu dengan pasti. Alahan semasa hamil seperti letih, pening, muntah dan lain-lain yang berlaku akibat perubahan hormon boleh menjadi penyebab mengapa anda mengidamkan sesuatu makanan yang boleh mengurangkan atau melegakan alahan.

Perlu difahami bahawa rasa mengidam bukanlah bererti seseorang wanita itu mengada-ada. Buang anggapan sebegini. Ketahuilah, kehamilan menjadikan kebanyakan wanita mahu mendapatkan lebih perhatian daripada suaminya. Namun, ada juga yang “alah” pada suami sendiri. Contohnya, ada wanita yang tidak tahan dengan bau badan suami masing-masing.

 

IKLAN

KEKURANGAN ZAT MAKANAN DAN VITAMIN

Sementara itu, perlu anda tahu bahawa kebiasaannya rasa mengidam boleh timbul sejurus selepas wanita tadi tidak lagi didatangi haid kerana hamil. Tidak kurang juga yang hanya mengalami rasa mengidam hanya apabila usia kehamilan mencecah lapan atau sembilan bulan. Penelitian umum mendapati bahawa keinginan untuk makan makanan tertentu berubah seiring dengan usia kehamilannya.

Menurut Dr. Norintan, kebanyakan doktor percaya bahawa kekurangan zat makanan dan vitamin di dalam tubuh seseorang ibu hamil itu yang mencetuskan rasa mengidam. Sebagai contoh, mengidam makanan laut. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh kekurangan kalsium dan sodium. Bagi anda yang mungkin mengidam kekacang dan bijirin pula, ia berkemungkinan besar berpunca daripada kekurangan magnesium di dalam tubuh.

Ada juga segelintir wanita hamil yang mengidam ais ataupun air batu. Keadaan ini dikenali sebagai pica. Ia sering kali dikaitkan dengan kekurangan zat besi.

IKLAN

 

SUMBER BUKAN MAKANAN

Kebanyakan wanita hamil diketahui umum suka mengidam makanan-makanan tertentu. Namun, tidak kurang juga ada yang mengidam sumber bukan makanan. Contohnya seperti mengidam bau minyak tanah, petrol, bahan pewangi dan yang seumpama dengannya. Jika ini berlaku kepada diri anda, ia tidak dapat dikaitkan dengan kekurangan apa –apa jenis zat makanan.

Masalah mengidam sesuatu yang bukan daripada sumber makanan sememangnya amat sukar difahami. Sehingga kini, tidak ada penjelasan dari sudut sains untuk kes-kes sebegini. Apa-apa pun, sekiranya anda mengidam sesuatu yang membahayakan kesihatan diri dan kandungan seperti terlalu ingin menghisap cerut atau merokok, ia semestinya perlu dielakkan.

IKLAN

Dalam pada itu, ada cara lain untuk menangani keinginan memakan sesuatu yang tidak sihat. Ia dapat dilakukan dengan mengambil sarapan setiap hari. Hal ini kerana amalan tidak bersarapan boleh membuatkan rasa mengidam itu menjadi lebih teruk. Selain daripada itu, anda juga digalakkan untuk lebih kerap melakukansenaman yang selamat untuk ibu hamil. Paling penting, pastikan anda mengamalkan diet yang sihat dan makanan yang diambil setiap hari adalah pelbagai.

 

NASIHAT DOKTOR NORINTAN

Mengidam ketika hamil mungkin boleh dikaitkan dengan kekurangan zat di dalam badan. Namun, kenyataan ini tidak berlandaskan kepada mana-mana kajian yang boleh menjelaskan masalah mengidam ini dengan sepenuhnya. Secara amnya, mengidam tidak membahayakan wanita hamil dan anak di dalam kandungannya. Namun, bagi anda yang mungkin mengidam bahan-bahan merbahaya seperti rokok, perlu berhenti daripada meneruskan keinginan tersebut.

Adalah penting untuk anda memahami bahawa kepentingan amalan pemakanan yang baik. Ia perlu dititikberatkan bagi membolehkan anda mendapatkan cahaya mata yang sihat. Dalam pada itu, jika anda mengidamkan makanan yang tidak berkhasiat seperti terlalu inginkan gula-gula sedangkan pada masa yang sama, anda sebenarnya sedang mengalami gestational diabetes ketika hamil, disarankan agar anda menahan diri daripada terlalu kerap mengambil gula-gula yang diidamkan.

Tindakan sebegini penting bagi membolehkan anda mengawal tahap glukosa dalam darah. Sekiranya anda tidak berbuat demikian, tahap kencing manis pasti tidak dapat dikawal dengan baik, seterusnya boleh menyebabkan bayi menjadi besar (macrosomia). Paling membimbangkan keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi ketika melahirkan anak kelak.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI