Patutlah Asyik Menangis, Masalah Kulit Punca Bayi Tak Selesa, Perlukan Perhatian Lebih!

Share

Masalah kulit yang berlaku pada bayi sememangnya buat ibu pastinya merasa susah hati untuk memulihkannya. Sementelah pula kulit memerlukan lebih masa untuk pulih.

Menurut Dr Maryam Jameelah Razali, Pakar Pediatrik daripada Hospital Pakar Annur, Bangi, biarpun masalah kulit sesuatu yang merisaukan ibu bapa namun masalah kulit bagi bayi yang baru lahir adalah ‘benign’, tidak berbahaya serta tidak memerlukan sebarang rawatan.

Akan tetapi ia memerlukan lebih perhatian dan kepekaan daripada ibu bapa sendiri untuk mencegah dan mengelakkan daripada terus merebak. Di sinilah ibu perlu berhati-hati dan tambahkan ilmu sebanyaknya. Ini beberapa masalah kulit yang anda perlu tahu.

Bersifat ‘Benign’
Bayi yang baru lahir biasanya mempunyai kulit yang lembut dan mulus. Malah kulit mereka juga amat halus dan sensitif kepada iritasi seperti cuaca yang panas, peluh, air liur, susu dan juga jangkitan kuman.

Malah bayi dengan mudahnya berpotensi untuk mengalami pelbagai masalah kulit seperti ruam, eczema dan keradangan. Harus diingatkan juga bahawa kebanyakan ruam atau masalah kulit bayi yang baru lahir adalah ‘benign’, tidak merbahaya serta tidak memerlukan sebarang rawatan.

1) Heat Rash & Milia
Biasanya berlaku akibat kelenjar peluh yang tidak terbentuk sepenuhnya. Milia kelihatan seperti bintik-bintik putih dan selalunya terjadi di kawasan pipi, hidung dan dagu manakala heat rash nampak seperti bintik-bintik merah .

Heat rash dan milia ini tidak merbahaya dan akan hilang selepas 2 ke 3 minggu. Tiada rawatan khusus diperlukan dan elakkan memicit ruam tersebut. Bagi heat rash pula, pastikan bayi tidak dibedung atau dipakaikan dengan pakaian yang terlalu tebal untuk mengurangkan peluh.

2) Erythema Toxicum
Erythema Toxicum pula adalah sejenis ruam yang sangat biasa dilihat dikalangan bayi baru lahir terutama sekali pada 2 hingga 3 hari pertama. Ruamnya kelihatan seperti biji-biji merah di muka dan badan malah akan hilang tanpa sebarang rawatan.

3) Neonatal Acne / Jerawat
Jerawat bukan hanya berlaku di kalangan orang dewasa namun bayi yang baru lahir juga boleh mengalaminya. Ia mungkin berpunca dari hormon ibu yang telah berpindah kepada bayi semasa dalam kandungan. Berbanding dengan orang dewasa, bayi tidak memerlukan sebarang ubat jerawat atau pencuci muka. Cukup dengan memastikan kulit bayi bersih dan sekali lagi, elakkan memicit jerawat tersebut. Ia biasanya akan hilang sendiri dalam tempoh 2 hingga 3 bulan.

4) Ruam Lampin
Berlaku di kawasan yang tertutup dengan lampin akibat iritasi dengan air kencing dan najis. Untuk mengelakkan dari mendapat ruam di kawasan tersebut, pastikan lampin ditukar dengan kerap. Cuci dengan air dan elakkan penggunaan tisu basah terutama sekali sekiranya selepas bayi membuang air besar untuk mengelakkan iritasi.

Gunakan nappy cream selepas setiap kali menukar lampin. Penggunaan krim pelapis (barrier cream) yang mengandungi zink oxide di kawasan yang merah dan luka dapat melindungi kulit. Jangan gunakan talkum kerana ianya boleh menyebabkan kelenjar peluh tersumbat.

5) Cradle Cap / Seborrheic Dermatitis
Ianya berlaku di kawasan yang banyak kelenjar kulit seperti di kulit kepala, pipi, kening, hidung dan telinga. Rupanya seperti sisik yang sedikit berminyak berwarna kuning atau putih. Sisik ini boleh melekat dan menjadi tebal. Ia biasa bermula ketika usia bayi dalam lingkungan 3 minggu ke 3 bulan.

Untuk mengurangkannya, mandikan bayi dengan air dan elakkan penggunaan sabun. Jika cradle cap itu tebal, bolehlah disapu dengan minyak zaitun atau kelapa selama beberapa minit dan cuba tanggalkan sisik dengan menggunakan kapas. Selepas itu syampulah kepala bayi dan sikat untuk menggugurkan sisik-sisik. Kadang kala rawatan yang lebih khusus diperlukan sekiranya keradangan berlaku dan menjadi teruk.

6) Ekzema
Merupakan masalah keradangan kulit yang kronik yang biasanya berlaku sejak bayi berusia 2 ke 3 bulan. Ia amat kerap berlaku di mana 1 dari 10 kanak-kanak mengalaminya.

Kulit yang mengalami masalah ekzema kelihatan merah, kering dan sangat gatal. Ianya biasa berlaku di kawasan pipi, siku, lutut dan dada. Kondisi ini berubah dari masa ke semasa. Punca sebenar ekzema tidak diketahui namun faktor genetik dan alahan memainkan peranan yang besar. Kebanyakan masalah ekzema akan hilang semasa usia remaja namun sebilangan kecil akan berterusan sehingga dewasa.

Tiada penawar untuk ekzema. Namun biasanya rawatan yang diberikan adalah untuk mengawal ekzema itu sendiri. Penggunaan pelembap yang kerap adalah penting untuk mengurangkan gatal dan keradangan serta melembapkan kulit terutama sekali sejurus selepas mandi.

Elakkan pencuci atau losyen yang mengandungi bahan kimia seperti pewangi, pewarna dan paraben dan jangan mandi dengan air yang terlalu panas kerana ia boleh mengeringkan kulit.

Sekiranye ekzema tidak terkawal, doktor yang merawat mungkin perlu memberi krim steroid dan antibiotik.

Masalah kulit di kalangan bayi adalah pelbagai dan sebilangannya kurang lazim berlaku. Ada juga masalah kulit yang mungkin serius, memerlukan rawatan dan ujian yang lebih khusus. Oleh itu amat penting untuk bertanya dan mendapatkan pemeriksaan lanjut serta konsultasi dengan doktor bayi anda.

Artikel berkaitan: Pemakanan Jenis Ini Penyebab Utama Masalah Kulit Anak, Gatal Dan Mudah Ekzema

5 Bahan Di Rumah Untuk Rawat Ekzema Dan Kulit Sensitif

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

 

Published by
SRM