Perasan tak bayi baru lahir akan berhenti menangis bila ibu dukung dia. Rupanya memang betullah orang tua-tua cakap yang bayi kenal bau ibunya.
“Amboi, pandai sungguh baby ni. Aunty pegang menangis, bila mama dia pegang cepat je diam.”
Mesti anda perasan tingkah laku bayi yang amat kenal pada ibunya. Bagi bayi baru lahir, bau adalah segalanya. Bau itulah yang membuatkan dia kenal ibunya.
Tahukah anda kemampuan deria bau bayi sudah mula berkembang sejak dari dalam kandungan lagi? Jom semak bagaimana berlakunya deria bau bayi.
- Dalam kandungan pada trimester ketiga
Deria bau bayi mula berkembang pada usia kehamilan 28 minggu dan menjadi sempurna sepanjang trimester ketiga. Air ketuban yang memainkan peranan penting kerana melalui cecair ini, deria bau ‘disalurkan’. Air ketuban membawa bau kepada bayi dalam kandungan sebab itu walaupun masih dalam kandungan, bayi sudah mempunyai rujukan tentang bau-bau tertentu.
Maksudnya bila ibu gemar makan pedas, boleh dipastikan bayi turut ‘merasakan’ bau tersebut. Jangan risau, ibu tak perlu berhenti makan makanan kegemaran. Paling penting ibu hamil mesti makan makanan yang sihat dan seimbang supaya pertumbuhan bayi berlaku secara optimal. Bagaimanapun tiada makanan atau minuman khusus yang mesti diambil oleh ibu untuk menyokong pertumbuhan deria bau bayi.
- Ketika lahir
Menurut Alan Greene, M.D. Profesor Klinikal Pediatrik di Stanford University School of Medicine, waktu lahir adalah saat paling genting bagi bayi. Deria bau bayi baru lahir sudah berkembang sehingga dia menggunakan deria tersebut lebih daripada deria-deria lain sebagai cara orientasi diri.
Dalam satu eksperimen yang dijalankan, didapati bayi boleh mengenali bau air ketuban ibunya. Bila payudara ibu disapu air ketuban, bayi bergerak ke arah tersebut hanya dalam masa beberapa jam selepas dilahirkan.
Bagaimanapun, kecenderungan ini akan hilang selepas beberapa hari. Bayi yang baru lahir juga mampu mengenali bau susu ibunya. Dalam satu kajian, penyelidik memegang bantal yang berbau susu ibu sejauh 17 cm dari hidung bayi.
Hasilnya, bayi bergerak menggeliat ke arah bantal tersebut seperti hendak menghisap sesuatu (mouthing). Jika dihadapkan dengan beberapa pilihan susu ibu, kajian menunjukkan bayi hanya menunjukkan gerakan mouthing dengan lebih ketara hanya pada susu ibunya sahaja.
Bila bayi mencium bau ibu, dia akan mengarahkan kepalanya ke arah payudara anda – seperti pertama kali dia diletakkan selepas lahir dan mula menggerakkan mulutnya atau menjadi tenang, demikian menurut Joy Browne, Ph.D., Ketua pediatrik dan psikiatri di University of Colorado, Denver Anschutz Medical Campus. Hebatnya, bukan hanya itu sahaja.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neuroscience and Biobehavioral Reviews, bayi juga sudah boleh mengenali bau produk kecantikan yang anda pakai!
- Dua bulan pertama
Pada tahap ini, bayi tetap suka bau ibu bahkan tak kisah walaupun ibu belum mandi berbanding orang lain. Sebenarnya bau badan secara semula jadi yang dicari oleh bayi. Jadi, sesekali ibu tak mandi pun tak mengapa sebab bayi tetap boleh tenang dan tidur lena!
Dari usia ini hingga 8 tahun, kemampuan deria baunya akan berkembang begitu pesat bahkan akan lebih baik dari deriabau anda selama beberapa tahun, menurut Lise Eliot, Ph.D.,penulis buku What’s Going On in There?: How the Brain and Mind Develop in the First Five Years of Life.
Jadi, jangan hairanlah kalau bayi baru lahir hanya akan berhenti menangis bila ibu yang mendukung dan mendodoinya. Bau ibu beri ketenangan kepada bayi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI