Pernahkah Mama berasa pelik apabila melihat saiz payudara yang tidak sama antara kedua-duanya? Sebelah besar, sebelah kecil. Itu perkara normal jika anda menyusukan bayi. Perbezaan saiz payudara biasanya berlaku jika ibu kerap menyusukan bayi pada sebelah payudara sahaja.
Pada asasnya saiz payudara wanita memang berbeza antara kedua-duanya. Tetapi perubahan saiz semakin ketara apabila si ibu membuat kaedah penyusuan yang tidak seimbang. Perbezaan ini dapat dilihat sekiranya ibu tidak menyusukan anak secara seimbang pada kedua-dua belah payudara tersebut. Kaunselor lpenyusuan bertauliah, Nurdiana Mohd Rasid mengulas tentang isu ini.
Menyusu Sebelah Payudara, Susu Ibu Akan Kering
Pada kebiasaannya payudara ibu akan kelihatan lebih besar atau tidak seimbang saiznya semasa beberapa minggu pertama penyusuan susu ibu berlangsung kerana ia sedang menyesuaikan diri dengan fasa penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Penyusuan susu ibu sepatutnya diberikan secara seimbang pada kedua-dua belah payudara ibu agar penghasilan susu ibu enjadi sama rata.
Jika ibu hanya memberi bayi menyusu sebelah sahaja, ini boleh mengundang risiko payudara menjadi bengkak akibat saluran susu yang tersumbat dan boleh membawa mudarat kepada mastitis disebabkan susu tidak dikeluarkan dengan baik.
Lama-kelamaan jika bayi tidak menyusu di payudara sebelah itu bakal membuatkan susu di payudara tersebut kering dan menjadikan payudara kekal berbeza saiznya! Dan ia bakal mempengaruhi penampilan serta keyakinan seseorang wanita tersebut.
Saiz Berbeza Itu Normal
Saiz payudara yang berbeza bagi ibu menyusu adalah sesuatu yang tidak perlu dirunsingkan sekiranya bayi menyusu di kedua-dua belah payudara. Payudara yang kecil sebelah kerana bayi menyusu itu normal kerana lekapan bayi dan penyusuan adalah efektif. Namun jika payudara bengkak dan besar serta terdapat kemerah-merahan maka haruslah mendapatkan khidmat bantuan kaunselor laktasi atau rujuk pada doktor.
Susukan Selalu Elak Block Duct
Pada asasnya bentuk atau saiz tidak mempengaruhi aliran kelancaran susu. Bentuk dan saiz hanyalah berbeza mengikut kepadatan atau ketebalan lemak pada payudara tersebut. Bagi memastikan kelancaran susu adalah melalui lekapan bayi. Lekapan dan penyusuan secara efektif akan membantu melancarkan penyusuan susu ibu. Ibu harus kerap mengosongkan payudara agar tiada susu yang terkumpul sehingga boleh menyebabkan block duct.
Besar Tidak Semestinya ‘Kilang Susu’ Terbaik
Ukuran saiz payudara tidak mempengaruhi kuantiti susu ibu. Saiz payudara yang berbeza adalah disebabkan oleh kadar lapisan lemak yang ada padanya. Tidak semestinya payudara dengan lemak yang lebih boleh menghasilkan susu lebih banyak berbanding payudara yang kecil. Penghasilan susu ibu adalah bergantung pada jaringan kelenjar susu ibu, dimana kelenjar susu merupakan tempat untuk menghasilkan serta menyimpan susu ibu.
Kelenjar susu sudah menghasilkan susu sejak dari kehamilan sebagai persiapan kelahiran bayi. Ketika saat ibu hampir melahirkan, kelenjar susu akan mula membengkak kerana susu sudah terbentuk dan matang untuk diberikan pada bayi bila-bila masa. Setiap payudara, biar besar atau kecil mana pun saiznya pasti cukup untuk menghasilan susu.
Kapasiti payudara yang kecil akan membuatkan bayi kerap menyusu dan sekaligus susu akan kembali terhasil untuk penyusuan seterusnya. Bekalan susu tetap cukup untuk bayi cuma jarak penyusuan adalah lebih kerap berbanding ibu yang mempunyai payudara berkapasiti besar.
Secara kesimpulannya, saiz payudara tidak mempengaruhi kuantiti atau kualiti susu. Jika ibu mahukan kuantiti susu yang lebih banyak dan tidak terputus bekalannya sehingga dua tahun, fahami konsep demand vs supply. Lebih kerap payudara dikosongkan, lebih banyak susu yang akan terhasil tidak kira apa sekalipun saiz payudara ibu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI