Untuk ajar anak mengaji al Quran mungkin agak sedikit ‘tricky’, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan anak pertama dalam keluarga. Namun, jika tahu langkah dan kaedah yang tepat, ia boleh dilakukan tanpa sebarang masalah yang besar.
Ini perkongsian Puan Nooraishah Abdul Wahab berkenaan bagaimana dia mendidik anak pertama mereka belajar mengaji di rumah!
Hafiz Zulfiqar, cahaya mata pertama Nooraishah dan Hafiz Zulkarnain
Pasangan ibu bapa muda, Nooraishah dan suaminya, Encik Hafiz Zulkarnain Muhammad telah dikurniakan cahaya mata pertama yang diberi nama Hafiz Zulfiqar.
Kini Hafiz Zulfiqar telah pun menginjak usia 5 tahun.
Menurut Puan Nooraishah, anak sulungnya ini merupakan seorang kanak-kanak yang agak sensitif, manja dan cermat, tetapi agak aktif dan suka bercakap.
Selain itu, anaknya ini juga agak senang untuk dijaga sejak daripada kecil kerana anaknya bukan jenis yang kuat meragam.
Namun menjadi kebiasaan bagi seorang kanak-kanak, ada kalanya Hafiz Zulfiqar akan meragam juga lebih-lebih lagi jika dia tidak mendapat sesuatu yang dimahukannya.
Pegang Iqra’ seawal usia 2 tahun
Nooraishah telah membiasakan anaknya itu dengan buku-buku mengaji sejak umur anaknya 2 tahun.
Menurut ibu ini, sebagai permulaan dia memperkenalkan buku Iqra’ sebagai buku pertama kepada Hafiz Zulfiqar.
Apabila anaknya itu sudah berusia 4 tahun, barulah dia mendidik anak belajar mengaji dengan lebih serius.
Hal ini bertitik-tolak selepas menyedari anaknya itu seorang yang mudah untuk menghafal ayat-ayat al-Quran.
Tambahan pula, Nooraishah dan suami telah merancang untuk mula menghantar anaknya ke tadika semasa usia 5 tahun.
Jadi, adalah lebih baik jika anaknya itu tahu asas mengaji al Quran bermula daripada rumah.
Menariknya, ada kala Hafiz Zulfiqar akan meminta sendiri untuk belajar mengaji dan kadang-kadang perlu juga disuruh mengaji, tetapi tidaklah sampai tahap memaksa dan masih boleh dipujuk.
Ini 6 kaedah yang digunakan untuk didik Hafiz Zulfiqar belajar mengaji
Buat pembaca yang masih tidak pasti cara yang sesuai untuk mendidik anak mengaji al Quran, mungkin anda boleh pertimbangkan kaedah yang Nooraishah amalkan ini.
#1. Guna teknik memuji anak terlebih dahulu
Kanak-kanak akan lebih bermotivasi melakukan sesuatu perkara jika ibu bapa kerap memuji mereka.
Ini juga langkah penting yang dilakukan oleh Nooraishah ketika mengajar anaknya mengaji al Quran.
Menurutnya,
“Saya selalu sebut bahawa Zulfiqar anak yang pandai. Walaupun hanya satu huruf yang dia kenal, saya akan memujinya dengan berkata seperti ‘Good boy’, ‘Betul’, atau ‘Pandai’. Saya boleh melihat mukanya menjadi seronok untuk mengenal huruf-huruf baharu.”
#2. Teknik pujuk anak
Ada harinya Hafiz Zulfiqar malas untuk belajar mengaji. Jadi, ibu ini akan memujuk dengan berkata seperti, “Kalau tidak baca Iqra’ hari ini, nanti lambat alih ke muka surat yang baharu.”
Selain itu, ibunya juga akan memberikan mainan sebagai hadiah atau galakan untuk cepat belajar buku Iqra’ yang baharu.
#3. Guna teknik lagu atau nyanyian
Untuk mengelakkan anak menjadi cepat bosan ketika mengaji al Quran, Nooraishah juga mengajar anaknya mengaji dengan kaedah menyanyi atau berlagu.
Selain itu, jika anak tersalah baca, ibu bapa tidak perlu memarahi anak.
Sebaliknya, tukarkan kesalahan yang dilakukan itu kepada satu bentuk bahan jenaka agar anak tidak menjadi stres ketika mengaji.
#4. Terangkan kebaikan mengaji kepada anak
Ketika mengaji, boleh cuba menerangkan sedikit kebaikan mengaji al Quran kepada anak seperti mendapat pahala dan boleh masuk syurga.
Ceritakan segala kebaikan yang akan kita dapat jika mengaji supaya anak berasa bahawa mengaji itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
#5. Sama-sama mengaji selepas solat Maghrib
Untuk memupuk tabiat mengaji dalam diri anak, ibu bapa juga boleh mengajak anak untuk sama-sama mengaji selepas solat Maghrib.
Menurut Nooraishah,
“Saya akan sentiasa ingatkan anak bahawa waktu Maghrib hampir tiba. Saya minta anak untuk mandi siap-siap dan bersedia untuk solat dan mengaji. Secara tidak langsung anak akan sentiasa bersedia.”
#6. Tetapkan had masa mengaji
Bagi kanak-kanak yang berusia sekitar 4 atau 5 tahun, tetapkan had masa mengaji antara 5 hingga 10 minit sahaja.
Ini kerana, jika waktu mengaji terlalu lama, anak akan mudah menjadi bosan dan cepat stres.
Selain itu, sediakan juga sudut khas untuk anak belajar mengaji dan sebagai tempat untuk anak menyimpan buku-buku Iqra’.
Apabila selesai waktu mengaji, anak akan menyimpan kembali buku Iqra’ di tempat yang telah disediakan.
Semakin minat untuk belajar
Satu perkara yang Nooraishah sedar apabila mengajar mengaji ialah anaknya itu semakin suka untuk belajar.
Hafiz Zulfiqar juga semakin cepat dan mudah mengenal huruf. Jika anaknya terjumpa huruf jawi di mana-mana, dia akan menyebutnya satu persatu.
Selain itu, dia melihat anaknya semakin mudah menghafal dan menjadi kanak-kanak yang lebih fokus dalam melakukan sesuatu perkara.
Pastikan anak belajar mengaji sebelum suami balik kerja
Bagi Nooraishah, mengajar anaknya untuk belajar mengaji bukanlah satu perkara yang sukar kerana dia sendiri merupakan seorang suri rumah yang menjalankan bisnes secara dalam talian sahaja.
Dia mempunyai lebih banyak masa dan ruang untuk mengajar anaknya mengaji al Quran.
Namun, dia akan pastikan bahawa Hafiz Zulfiqar mengaji sebelum suaminya pulang ke rumah daripada kerja.
“Saya akan pastikan anak mengaji sebelum suami balik kerja untuk mengelakkan dia hilang fokus ketika mengaji. Ini kerana dia terlalu obses dengan babahnya sendiri dan banyak menghabiskan masa dengan babahnya,” katanya mengakhiri perbualan.
Kredit: Hello Doktor
Artikel: Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik
Jom belajar rahsia ajar anak jadi jutawan di SINI
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!