Hidup berpasangan satu fitrah semula jadi buat seorang lelaki dan wanita. Ia umpama siang dengan malam, pasang dan surut. Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menyatukan dua hati untuk mengharungi segala suka duka kehidupan.
Bukan mudah sebenarnya untuk mengharungi perjalanan hidup berumah tangga. Kedua-dua dari latar belakang dan cara hidup berbeza. Jadi sebab itulah persefahaman penting untuk pastikan kerukunan rumah tangga sentiasa terpelihara.
Setakat bergaduh maja, berbeza pendapat itu biasa. Cuma pasangan mestilah rasional dan cuba perbaiki diri untuk jadi pasangan yang melengkapi.
Bagi pasangan yang baru kahwin, dah melepasi fasa pertama, kedua atau seterusnya, resipi kebahagiaan yang dikongsikan oleh Saudara Akhtar Syamir ini wajib kita sama-sama pegang bagi pastikan rumah tangga kekal bahagia selamanya.
10 Resipi Kebahagiaan Rumah Tangga
1. Masa
– Sediakan masa untuk pasangan. Beri masa untuk pasangan. Apa gunanya perhubungan jika kedua-duanya sibuk dan tidak ada masa untuk pasangan.
2. Tolak Ansur
– Manusia dicipta berlainan. Jangan harapkan pasangan adalah klon diri anda. Dia ada kegemaraan, kelebihan dan kekurangan sendiri. Anda juga sama. Tolak ansur akan menjadi jambatan untuk menghubungkan ketidaksamaan itu.
3. Maaf dan memaafkan
– Antara yang paling susah dan paling senang untuk dilakukan. Paling susah apabila kesalahan itu berat. Paling senang apabila kesalahan itu ringan. Masalah dengan pasangan masa kini ialah terlalu mudah memaafkan yang berat, tetapi sentiasa bising dan mengungkit kesalahan yang kecil.
4. Komunikasi
– Bila masalah tak dibincangkan, bila terasa diam lebih baik dari berkata-kata, bila tiada keinginan untuk bercakap dengan pasangan, itu tandanya anda ada masalah komunikasi.
5. Hormat
– Suami perlu dihormati, begitu juga dengan isteri. Menghormati pasangan akan membuatkan pasangan lebih sayang dan lebih menghormati anda. Perlu ambil kira pendapat si dia. Perlu tahu jika apa yang kita buat itu membuatkan si dia rasa tidak senang. Dan yang paling penting, tidak memalukan pasangan.
6. Kemesraan
– “Pasangan saya memang keras orangnya”. Ini satu kompromi yang tidak bertempat sehinggakan ada kalanya pegang tangan pun menjadi satu perkara yang tidak biasa dan janggal. Mulakan dengan percakapan dan kemudiannya ke arah sentuhan-sentuhan ringkas.
7. Keceriaan
– Gelak tawa ialah ubat yang paling mujarab untuk keluarga yang bahagia. Jangan lahirkan keluarga yang hambar. Bergelak ketawalah, buat lah lawak, geleteklah pasangan dan buatlah dia tersenyum.
8. Mendengar
– Kita tidak tahu kerana kita tidak mendengar. Kita rasa benda itu tidak relevan kerana kita tidak mendengar. Jangan hanya bercakap, tetapi kita juga harus diam dan beri peluang pasangan pula bercakap. Dengar apa yang dia mahu katakan atau luahkan.
9. Keterbukaan
– Tiada rahsia antara kita. Bukan sahaja lagu yang sedap tetapi salah satu resipi keluarga yang mantap. Keterbukaan akan meningkatkan kepercayaan dan komunikasi yang cemerlang.
10. Perubahan
– Jangan diracuni rutin. Ubahlah, tambah baikkan perhubungan. Jika dah 5 tahun buat benda sama, ubah. Tak kira la cara kita melayan pasangan, komunikasi atau benda fizikal di rumah. Ubah, tukar atau beri perbezaan supaya perhubungan tidak menjadi bosan.
Cuba buat resipi ini satu demi satu. Sesuaikan dengan keluarga anda. Jika tiada usaha, tiadalah bezanya dahulu dan sekarang.
Sumber: Akhtar Syamir