Angin pasang atau hernia kerap kali terjadi kepada bayi dan kanak-kanak lelaki. Mama dan papa perlu peka dan periksa sekiranya si kecil mempunyai tiga simptom hernia ini.
Bayi lelaki anda menangis tanpa henti? Setelah ditukar lampin, disapu minyak angin dan dipeluk tangisan masih belum reda? Periksa bahagian intim bayi, kalau membengkak, ia mungkin petanda angin pasang atau hernia. Hernia kerap terjadi pada bayi pramatang dan bayi berumur kurang dari satu tahun.
SIMPTOM HERNIA PADA BAYI & KANAK-KANAK
1.Terdapat benjolan peringkat awal jika dan ia tidak menyebabkan rasa sakit. Benjolan kelihatan semasa menangis atau mengeliat kemudian ia hilang. Tetapi lama-kelamaan, apabila hernia membesar, kesakitan akan mula dirasai bayi/kanak-kanak.
2.Keadaan yang teruk ialah apabila si kecil yang terbabit muntah,perut buncit serta benjolan keras serta sakit. Pesakit juga tidak buang angin (kentut) serta air besar.
3.Terdapat benjolan pada bahagian ari-ari serta bukaan lubang pada kantung telur. Biasanya terjadi kepada kanak-kanak di bawah umur setahun tapi ada juga lebih umur setahun apabila ibu bapa baru menyedari anak menghidapi hernia.
BANYAK BERLAKU PADA LELAKI BERBANDING PEREMPUAN
Hernia yang berlaku kepada bayi dan kanak-kanak lelaki disebabkan oleh lubang dalam abdomen yang tidak normal. Ia berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya. Hernia selalunya dihidapi oleh bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Pada kebiasaan hernia mengandungi usus. Jika bayi perempuan, hernia mungkin ada pada ovari.
Jika bayi masih menangis, segera berjumpa doktor kerana dibimbangi isi hernia (usus) mungkin terjerut sehingga menyebabkan gangguan peredaran darah yang boleh mengancam nyawa bayi anda. Ianya lebih kritikal jika benjol menjadi keras pesakit masih menangis serta muntah. Pada masa yang sama perut menjadi buncit serta bayi tidak akan membuang air besar atau angin(kentut).
3 HERNIA YANG SERING BERLAKU PADA KANAK-KANAK
1.Hernia umbilikal pada bahagian pusat
Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit. Usus kecil mungkin menjulur keluar melaluinya. Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.
2.Hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha
Hernia jenis ini berlaku di mana abdomen bertemu bahagian atas paha. Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen. Bagi kanak-kanak perempuan berkemungkinan ovari atau saluran fallopian masuk dalam hernia. Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.
3.Hernia tercekik
Ia merupakan hernia yang terputus bekalan darah. Ia menjadi sakit dan akhirnya bergangren.
JANGAN URUT!
Hernia tidak boleh diurut. Tindakan mengurutnya sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut.
Begitu juga jika tuam dengan daun sirih, apabila panas ia akan menyebabkan usus melekat di bahagian hernia. Segera dapatkan rawatan apabila mendapati anak anda mengalami hernia.