Pelakon Ezzaty Abdullah Terpaksa Jalani Pembedahan Akibat Nanah Payudara Atau Bengkak Susu. Hati-Hati Ibu Menyusu!

Share

Pelakon Ezzaty Abdullah terpaksa melakukan pembedahan selepas disahkan mengidap Breast Abscess (nanah payudara) atau bengkak susu selepas kerap mengadu sakit di bahagian tersebut selepas dua bulan melahirkan bayi sulungnya.

Isteri kepada aktor Azwan Kombos ini melahirkan bayi perempuannya, Harum Dalia pada 6 Disember 2017 berkongsi dalam laman Instagramnya ia adalah pengalaman pembedahan pertama seumur hidupnya.

Sepuluh hari sebelum pembedahan, ibu muda ini sering mengadu sakit di bahagian dada dan pernah dibawa mengurut dan berjumpa doktor namun masih tiada perubahan.

Menurut Ezzaty menerusi akaun Instagram peribadinya, bagaimanapun sakit kesan daripada pembedahan itu hilang selepas melihat wajah anaknya.

Pertama kali dalam hidup perlu menjalani pembedahan. Alhamdulilah semua berjalan lancar.

“Ubat (anaknya) saya pun dah sampai duduk sebelah saya ni. Terus hilang rasa sakit pembedahan tadi,” tulisnya.

Suaminya, Azawan Kombos turut memuat naik foto isterinya sebelum dihusung masuk ke bilik pembedahan.

Selepas selamat menjalani pembedahan tersebut, Ezzaty berkongsi pengalamannya bertarung dengan kesakitan nanah payudara dalam akhbar Berita Harian. Katanya dia belajar banyak perkara daripada kesakitan tersebut.

Oleh itu Ezzaty berpesan kepada semua wanita supaya menambah ilmu berkaitan hal keibubapaan termasuk tentang penyusuan susu ibu jika mahu mempunyai anak. Beliau menasihatkan agar jangan jadi sepertinya bila sudah kena baru hendah tersentak.

Bagaimanapun, Ezzaty mengakui kesakitan yang ditanggung telah membawa hikmah dan pengajaran besar dalam hidupnya.

Mastitis atau bengkak susu merujuk kepada sebarang pembengkakan pada payudara wanita dan ia tidak melibatkan jangkitan kuman. Gejala payudara kemerahan, tidak selesa dan payudara tersumbat akan muncul sekiranya payudara sudah dijangkiti kuman. Kegagalan untuk mengeluarkan susu daripada payudara mungkin menyebabkan berlakunya nanah payudara atau breast abscess yang memerlukan ibu menjalani pembedahan untuk membuang nanah tersebut seperti yang dialami oleh pelakon  Ezzaty

Penjelasan dari Kaunselor Laktasi, Puan Ziela Juzaila mengenai bengkak susu atau Mastitis yang boleh mengakibatkan Breast Abscess sekiranya tidak dirawat.

Puan Ziela Juzaila, Kaunselor Laktasi
Apakah itu masalah mastitis?
Mastitis adalah keradangan yang berlaku pada payudara disebabkan oleh duktus susu tersumbat dan susu kekal tersekat pada bahagian tersebut. Ia dipanggil mastitis tanpa jangkitan. Namun  jika keadan ini dibiarkan rawatan segera, ini  menyebabkan susu yang tersumbat mendapat jangkitan bakteria dan perlu rawatan antibiotik.
Biasanya bila boleh berlaku ke atas ibu menyusu?
Mastitis biasanya berlaku pada 3 bulan pertama usia bayi. Namun begitu, ia boleh berlaku pada semua peringkat umur di atas pelbagai punca.
Apakah puncanya?
Berpunca daripada duktus susu tersumbat menyebabkan mastitis. Punca duktus susu tersumbat adalah:
i. Penyusuan tidak kerap berpunca daripada bayi tidur lama atau ibu yang terlalu sibuk
ii. Pengeluaran susu yang tidak efektif bermaksud susu tidak dikeluarkan sepenuhnya.
iii. Bayi disusukan pada posisi yang sama menyebabkan susu hanya dikeluarkan pada kawasan tertentu saja.
iv. Penyusuan dihentikan sebelum bayi habis menyusu
v. Tekanan pada kawasan payudara akibat pemakaian coli yang tidak sesuai
vi. Posisi ibu tidur menghimpit payudara dalam tempoh yang lama
vii. Jari ibu yang menekan payudara ketika menyusukan anak
Apakah tanda-tanda ibu bukan sekadar kena bengkak susu biasa tetapi dijangkiti mastitis hingga perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah tersebut?

Bengkak susu biasa berlaku disebabkan sesi penyusuan tertangguh dan biasanya kembali normal setelah sesi penyusuan kembali kerap. Namun, mastitis jika tidak dirawat pada peringkat awal  hingga jangkitan melarat akan menyebabkan payudara bernanah dan proses mengeluarkan nanah perlu dilakukan. Tanda-tanda jangkitan telah bernanah adalah:

i. Payudara berasa sangat sakit, kulit berwarna kemerahan dan panas disekitarnya
ii. Ibu mengalami demam pada suhu yang tinggi
iii. Berjumpa dengan doctor dan keputusan imbasan bunyi (ultrasound) mengesahkannya
iv. Gumpalan nanah keluar bersama susu
Apakah penggunaan petua-petua untuk mengurangkan masalah bengkak susu masih relevan digunakan bila ibu mendapat masalah nanah payudara?
Bengkak susu perlu dirawat dan jangan bertangguh untuk meredakannya. Ini kerana susu kita sentiasa dihasilkan dapatkan bantuan segera jika merasakan tidak jelas tentang tindakan yang perlu dilakukan. Apabila bengkak susu berlaku, biasanya ketulan (clogged duct) akan terbentuk dan jika ketulan ini tidak dirawat sebaiknya, mastitis berlaku dan seterusnya melarat hingga bernanah.
Petua masih relevan digunakan namun begitu perlu faham setiap satu tindakan yang diambil. Antara yang boleh dilakukan untuk merawat bengkak susu adalah:
i. Letakkan kobis di payudara. 3 kali sehari dengan tempoh 20 minit setiap sesi boleh melegakan. Perlu elak meletakkannya dalam tempoh yang lama. Ini kerana kobis mempunyai enzim yang boleh mengecutkan kilang susu dan seterusnya menyebabkan susu berkurangan selepas bengkak susu reda.
ii. Menggunakan sikat dengan mengurut payudara bermula dari atas hingga ke hujung puting boleh membantu melancarkan pengaliran susu. Lakukannya semasa mandi dengan air suam membantu melegakan bengkak susu
iii. Mengambil beberapa sudu halba yang direndam air panas dan minum airnya selepas disejukkan  membantu kelancaran pengeluaran susu.
Sebagai kaunselor laktasi, apakah nasihat puan kepada ibu-ibu menyusu terutama yang baru pertama kali bergelar ibu untuk mengelakkan masalah ini daripada terkena?
Mencegah lebih baik daripada merawat. Saluran susu tersumbat dan jangkitan payudara adalah masalah yang boleh dicegah. Ibu perlu faham bahawa penyusuan yang efektif  selepas melahirkan dapat mengelakkan susu terkumpul di dalam payudara.Lekapan dan posisi yang betul dapat mengelakkan puting terluka. Luka pada payudara membuka jalan kepada bakteria memasuki payudara.Kenali tanda-tanda awal susu tersumbat supaya tidak melarat kepada mastitis dan seterusnya bernanah. Dapatkan bantuan dari mereka yang terlatih supaya masalah dapat diatasi segera.
Sumber: Instagram Ezzaty Abdullah & Azwan Kombos
Published by
Hasnita Sawal