Bayangkan, anda sedang menikmati udara di tepi tasik sambil berlari anak bersama kawan-kawan. Sampai satu ketika, anda mula perasan bahawa badan anda, khususnya bahagian yang terdedah seperti lengan, mula dikerumuni nyamuk.
Lebih menyakitkan hati lagi adalah nyamuk-nyamuk ini dilihat hanya menghinggap pada anda sahaja. Kawan-kawan anda dapat terus berlari dengan tenang dan tidak pula diganggu oleh sebarang nyamuk. Jadi, adakah anda seorang magnet nyamuk?
4 perkara yang menjadikan anda magnet nyamuk;
Kecenderungan untuk menjadi pilihan utama nyamuk bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal atau tidak berasas. Buat mereka yang betul-betul mengalami masalah ini, anda pasti tahu betapa menjengkelkan pengalaman dikerumuni nyamuk sebaik sahaja melangkah ke luar. Walaupun kita suka apabila mempunyai peminat dan pengikut yang ramai, logik yang sama tidak boleh dipakai jika peminat itu adalah nyamuk. Tidak pasti apa yang menjadikan anda cukup menarik buat mereka? Jangan risau, berikut adalah 4 perkara yang mungkin menyebabkan anda nyamuk sukakan anda:
1.Gas karbon dioksida
Nyamuk perlu menghisap darah daripada binatang hidup dan salah satu indikator mudah untuk menentukan sama ada suatu organisma itu masih hidup adalah pelepasan gas karbon dioksida. Terdapat tiga jenis sel pengesan bau pada bahagian mulut nyamuk iaitu Gr1, Gr2 dan juga Gr3.
Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cell pada tahun 2014, saintis telah mengubahsuai gen beberapa nyamuk Aedes aegypti untuk menyahaktifkan sel deria Gr3 mereka. Akibat proses modifikasi ini, nyamuk tersebut dilihat tidak lagi menunjukkan tarikan yang sama terhadap hembusan gas karbon dioksida berbanding dengan nyamuk lain yang mempunyai sel deria yang baik. Kebolehan nyamuk ini untuk mencari manusia dalam ruang besar yang tertutup turut merudum, sebanyak 15% lebih teruk berbanding nyamuk biasa.
Oleh itu, perkara yang menyebabkan anda lebih kerap menghembus nafas juga akan menarik perhatian nyamuk. Selain melakukan aktiviti fizikal, kadar pernafasan yang lebih laju dan hembusan gas karbon dioksida yang lebih banyak turut berlaku dalam wanita yang hamil. Sekarang anda tahu mengapa ketika berbadan dua, seorang wanita itu tiba-tiba menjadi magnet nyamuk.
2.Berpeluh
Kelembapan (akibat berpeluh) sahaja bukanlah faktor penarik untuk nyamuk datang menghinggap. Sebaliknya, nyamuk tertarik dengan bau yang dihasilkan oleh badan anda ketika berpeluh. Setiap orang mempunyai bau yang unik kerana populasi bakteria pada kulit seseorang itu berbeza.Bakteria pada kulit akan meghadam peluh yang dikeluarkan dan akan menghasilkan kompaun sisa yang mudah meruap. Kompaun mudah meruap inilah yang akan memberi bau yang unik kepada badan seseorang. Antara kompaun yang paling menarik untuk nyamuk berbanding kompaun lain adalah asid laktik.
3.Pakaian gelap
Ini mungkin perkara yang paling mudah untuk anda ubah jika tidak ingin menjadi seorang magnet nyamuk. Banyak kajian telah mendapati bahawa nyamuk gemar menghinggap pada permukaan yang gelap. Beberapa siri kajian menunjukkan warna hitam dan warna gelap akan menarik paling banyak nyamuk manakala warna kuning atau putih pula adalah yang paling tidak popular. Dari sudut pandang nyamuk, warna yang paling banyak memantul semula cahaya (seperti warna terang) adalah warna yang tidak digemari nyamuk.
4.Minuman beralkohol
Ini mungkin satu berita buruk untuk mereka yang ingin menikmati minuman beralkohol di luar rumah ketika musim panas. Kajian mendapati nyamuk lebih cenderung untuk menghinggap pada seseorang selepas mereka mengambil minuman beralkohol berbanding sebelum pengambilannya. Walaupun tidak jelas apa yang menyebabkan golongan ini menjadi lebih menarik, teori yang dicadangkan oleh kajian pada tahun 2010 adalah metabolisma alkohol menyebabkan nafas dan/atau peluh seseorang itu lebih menarik (untuk nyamuk).
Walaupun sedikit lucu apabila melihat kawan tertentu asyik menjadi mangsa nyamuk, perlu diingati bahawa serangga ini adalah vektor penyakit berbahaya. Nyamuk cukup dikenali sebagai ejen penyebaran penyakit seperti malaria, dengi, JE dan juga zika. Untuk itu, pastikan anda menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk di sekeliling rumah anda. Sebagai langkah tambahan, bolehlah anda manfaatkan 4 perkara di atas untuk mengelakkan diri anda daripada terus menjadi magnet nyamuk.
Sumber: Hello Health Group
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI