Pemakaian Barut Baby PENTING! Ketahui Manfaatnya Buat Baby

Share

Kenapa ya ibu-ibu disarankan untuk barut perut baby? Ada apa-apa kelebihan ke? Sampai bila agaknya perlu dipakaikan barut baby ini?

Segala persoalan anda mengenai barut untuk si kecil akan terjawab dalam perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!

Amalan barut perut baby
Anda mungkin menganggap bahawa berbarut untuk bayi ini adalah amalan tradisional masyarakat Melayu sahaja, betul tak?

Sebenarnya anda silap! Amalan ini juga turut diamalkan oleh masyarakat di Filipina, Amerika Syarikat dan juga Eropah. Di Filipina menggelarkan barut ini sebagai bigkis, manakala di negara Barat dikenali sebagai baby binder atau belly banding.

Tujuan pemakaiannya adalah sama, iaitu bagi menghindari bayi daripada mengalami ketidakselesaan perut seperti perut kembung atau berangin mahupun sakit perut, dengan hanya membalut kain atau mengikat kain pada bahagian pinggang dan perut si kecil.

Mesti akan ada yang bertanya, “Barut baby pakai sampai bila, ya?”

Kebiasaannya barut akan dipakaikan pada bayi yang berusia sehari – selepas dilahirkan – hingga mencecah usia 4 bulan, bergantung kepada kesesuaian serta keadaan bayi.

Kini terdapat banyak jenis barut yang boleh dijadikan pilihan. Ada yang jenis tradisional, jenis sarung mahupun jenis pelekat velcro sahaja.

Selalunya barut ini dihasilkan daripada kain kapas jenis flannel yang lembut dan tidak sensitif pada kulit bayi. Materialnya juga tidak terlalu tebal sehingga boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa kerana kepanasan.

Jom ketahui lebih lanjut mengenai kebaikan pemakaian barut perut baby ini.

Manfaat barut baby
Kegunaan utama barut adalah untuk memastikan perut bayi sentiasa hangat dan mampat (compressed).

Walaupun tampak seperti tidak menyelesakan, tetapi bagi si manja balutan barut itu memberikan ketenangan dan kehangatan.

 

Berikut kelebihan lain pemakaian barut yang patut anda ketahui:

Hindari masalah kembung perut
Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, tujuan berbarut bayi adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan perut. Ini kerana si kecil amat terdedah kepada masalah perut berangin.

Elakkan bayi menyusu secara berlebihan
Pemakaian barut boleh mengelakkan si kecil daripada menyusu secara berlebihan. Eh, baguslah kalau bayi menyusu lebih, cepat besar. Itu mungkin secara teorinya, ‘lebih banyak makan, lebih cepat besar’.

Tetapi hakikatnya jika bayi terlebih menyusu ia boleh menyebabkan tekanan pada perut mereka. Ini kerana sistem pencernaan si kecil masih belum mampu menampung jumlah nutrisi yang terlalu banyak.

Melindungi tali pusat bayi
Biasanya dalam tempoh 1-2 minggu selepas dilahirkan, tali pusat bayi akan tertanggal. Keadaan itu boleh menyebabkan bahagian pusat mereka menjadi lebih sensitif apabila terkena pakaian atau sebarang sentuhan.

Jadi dengan memakaikan barut baby, bahagian tersebut akan dapat dilindungi dan dijaga daripada sebarang kecederaan atau perkara yang tidak diingini.

Kredit: Hello Doktor

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa