Kehamilan

Pemakanan Ibu Hamil Diabetes Bantu Kehamilan Selamat

Share

Pemakanan ibu hamil diabetes perlu diberi perhatian bagi membantu kehamilan ibu selamat untuk diri sendiri dan bayi dalam kandungan.

Menurut Asst. Prof. Dr. Mohammad Hj. Che’ Man, Pensyarah Perubatan Klinikal, Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan, kawalan glukosa/gula semasa hamil adalah sangat penting untuk kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Ianya sangat penting untuk setiap trimester kehamilan bagi ibu mengandung yang mempunyai penyakit kencing manis. Ianya dapat dicapai dengan pemilihan makanan yang sesuai dan pengawalan berat ibu semasa mengandung.

Mengikut kajian yang dijalankan, sesi kaunseling pemakanan dalam kumpulan yang kecil (seramai 2 hingga 4 orang) adalah sama berjaya dengan kaunseling individu untuk pencapaian paras glukosa yang baik.

Gabungan antara penjagaan diet yang baik dan aktiviti fizikal telah menurunkan komplikasi kencing manis semasa mengandung sebanyak 18% berbanding dengan penjagaan yang ‘standard’.

Mengikut kajian, pesakit kencing manis yang hamil yang menerima kaunseling diet sebelum mengandung dan mempunyai kawalan gula yang baik menunjukkan bahawa kadar komplikasi akibat kencing manis adalah rendah.

Pemakanan ibu hamil diabetes

Makanan-makanan yang perlu dijaga bagi ibu hamil yang mempunyai kencing manis:

Makanan yang perlu dielakkan:

Mengandungi gula ringkas yang meningkatkan aras gula/glukosa dalam darah secara cepat. Contohnya adalah seperti:

  • Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu dan glukosa.
  • Madu, jem, kaya, halwa, susu pekat manis, sirap, minuman kordial, minuman ringan (karbonat).
  • Biskut manis, roti manis, kuih yang manis, kek, aiskrim, coklat.
  • Air tebu, air kelapa muda dan air nira.
  • Minuman dan makanan yang ditambah atau disalut dengan gula. Contohnya, jeruk buah-buahan dalam tin.

Makanan yang perlu dikawal:

Mengandungi gula kompleks yang diperlukan sebagai sumber tenaga untuk tubuh, diceraikan secara perlahan-lahan, makan tidak akan meningkatkan aras glukosa darah dengan mendadak. Diambil mengikut nasihat pegawai dietetik atau pegawai sains pemakanan. Contohnya,

  • Bijirin dan hasilnya seperti roti, nasi, biskut, oat, kueh teow, capati, tosai, putu mayam, makaroni, iddli dan spageti.
  • Sayuran berkanji.
  • Ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek, keladi, labu, jagung, kacang peas, kacang panggang dan dhal.
  • Susu tepung, susu segar, susu sejat dan yogurt.
  • Semua jenis buah-buahan.

*Buah-buahan dan susu hendaklah diambil selepas atau semasa makan utama dan   elakkan diambil semasa perut kosong. Elak ambil jus buah tetapi ambil buah!

Makanan bebas dimakan:

Tidak mengandungi gula ringkas, maka ia tidak mempengaruhi aras glukosa darah. Contohnya:

  • Minuman seperti air (panas atau sejuk), kopi atau teh o tanpa gula, teh herba, air mineral, air limau tanpa gula dan sup cair.
  • Sayuran atau ulam (kecuali sayur berkanji) seperti sawi, kubis, bayam, kalian, kangkung, kacang panjang, bendi, daun salad, bunga kubis, peria, pucuk paku, tomato, taugeh, cendawan dan terung.
  • Perasa dan perencah seperti bawang putih/merah, halia, cuka, serai, daun pandan, serbuk kari, cili, herba, akar kayu dan kunyit.
Photo by SHVETS production from Pexels

Contoh menu yang disarankan untuk ibu hamil yang mempunyai penyakit kencing manis:

Bersamaan 2000kcal

Sarapan pagi:

  • 2 keping roti bijirin penuh
  • 1 biji telur rebus
  • 1 gelas susu rendah lemak

Minum pagi:

  • 1 keping karipap
  • 1 gelas air kosong

Makan tengahari:

  • 1 ½ cawan nasi
  • 1 ketul dada ayam masak sup
  • ½ cawan bayam goreng
  • ½ biji jambu batu
  • 1 gelas air kosong

Petang:

  • 3 keping biskut berlemak
  • 1 gelas air kosong

Makan malam:

  • 1 ½ cawan nasi
  • 1 ekor ikan kembung asam pedas
  • ½ cawan sawi goreng
  • 1 potong tembikai susu
  • 1 gelas ais kosong

Minum malam:

1 gelas susu rendah lemak

Sumber: The Malaysian Medical Gazette

WEBINAR SAYANG ANAK KETAT-KETAT

Sertai Webinar Keibubapaan PERCUMA tahun ini secara virtual. Pastikan setiap ibu bapa join webinar ini kerana anda bukan sahaja dapat belajar pelbagai ilmu keibubapaan daripada speaker-speaker jemputan tetapi juga berpeluang menang hadiah cabutan bertuah.

Webinar ini menjemput speaker-speaker hebat dalam bidang keibubapaan termasuk Prof Madya Dr Nik Salida, Ibu Rose, Dr Ahmad Rostam, Puan Maryam Jamadi dan Puan Azlina Roszly. Mereka akan membincangkan pelbagai topik berkenaan perkembangan anak, menjadi ibu bapa hebat, tip mendidik anak dan bermacam lagi.

Daftar nama sebagai peserta webinar di WEBINAR SAYANG ANAK KETAT-KETAT

Published by
Hasnita Sawal