Pemakanan Sihat, Cukup Nutrisi Penentu Perkembangan Fizikal & Mental Anak

Share

Kepentingan menjaga pemakanan sejak dari awal adalah asas yang penting terutamanya untuk anak agar dapat membesar dengan sihat. Ibu bapa kena pastikan setiap pengambilan makanan si kecil perlu mempunya nutrisi yang lengkap dan seimbang bagi mengelakkan anak mengalami masalah obesiti di usia yang masih muda.

Menurut Pakar Kanak-Kanak Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital, Dr Sherina Shereen Rizlan Ross, ibu bapa tak boleh ambil mudah bab pemakanan anak. Ini kerana kekurangan nutrisi boleh menyebabkan anak tak cukup zat dan tidak dapat membesar dengan sempurna.

“Perlu diingatkan juga seawal anak mula belajar makan iaitu diperingkat usia 6 bulan pertama lagi ibu bapa harus memastikan bayi mendapat set makanan yang tinggi khasiat dan seimbang.

“Pentingnya pengambilan makanan yang berkarbohidrat dan berprotein tinggi untuk memberi kelebihan kalori bagi keperluan badan anak.

“Sekiranya tak cukup karbohidrat secara tak langsung badan anak akan memecahkan sel-sel muscle untuk menambah kalori bagi pertumbuhan fizikal dan metabolisma badan,” ujarnya.

Obesiti Sindrom Baru

Sementara itu, Dr Sherina turut berkongsi pemakanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan masalah obesiti di peringkat awal kanak-kanak.

“Obesiti ini di anggap sindrom baru sebab kanak-kanak berusia 5 atau 6 tahun pun dah ada yang mencecah berat sehingga 60 kilogram melebihi dari graf pertumbuhan yang normal.

“Keadaan ini jika tak dikawal akan menyebabkan perkembangan anak terganggu dan biasanya berisiko menjadi obes atau gemuk sehingga dewasa” katanya.

Ibu Bapa Mesti Kreatif

Bila anak cerewet makan atau pun susah nak makan seperti anak orang lain, ibu bapa jangan cepat nak marah atau memaksa sehingga anak rasa tak gembira bila tiba waktu makan.

Biasanya antara umur 2-3 tahun antara tempoh yang cukup mencabar kerana waktu itu anak dah ada pemikiran sendiri atau pandai buat pilihan berbanding usia setahun ke bawah.

Apa yang boleh ibu bapa buat untuk ambil hati anak mesti kena kreatif dalam penyediaan makanan. Makanan yang berwarna-warni dengan bentuk yang menarik semestinya buat anak teruja nak makan.

Pelbagaikan pilihan snek yang sihat dari buah-buahan dan kudapan berkhasiat supaya anak tak jemu.

Jika cara ini masih tak mampu tarik perhatian anak, ibu bapa kena banyak sabar dan cubalah cari jalan yang terbaik. Jangan ada sikap putus asa kerana inilah yang akan buat anak lagi cerewet makan.

Banyak Makan Pisang Boleh Buat Anak Sembelit

Memandangkan ramai ibu bapa yang sering mengajukan persoalan anak kerap sembelit, Dr Sherina turut berkongsi salah satu punca anak selalu sembelit kerana pengambilan pisang yang berlebihan.

“Sebenarnya pisang adalah buah yang berkhasiat. Bagaimanapun jika di ambil berlebihan boleh jadi punca pada masalah sembelit. Sebab itulah anak yang sememangnya jenis mudah sembelit jika diberi makan pisang akan lebih teruk lagi kerana pisang mengandungi kanji yang tinggi.

“Pisang yang belum cukup masak tak boleh nak hadam dengan elok. Jadi disebabkan kanji yang tinggi ini menyebabkannya tertinggal dalam usus dan menyebabkan anak makin kerap sembelit,” jelasnya.

Sebagai penyelesaiannya, beri anak minum susu tepung sebab ia mempunyai keseimbangan kalsium dan zat besi yang kurang dalam pemakanan kita secara natural dan susah untuk diserap. Lebih dua tahun bolehlah pilih susu formula yang sesuai dengan anak.

Dr Sherina menasihatkan ibu bapa jika nak anak makan makanan yang sihat ibu bapa mesti jadi contoh yang baik. Apa yang ibu bapa makan mestilah yang mempunyai nutrisi. Jika kita makan makanan yang kurang nutrisi anak pun akan makan makanan yang sama.

Published by
Wan Amy