Syukur alhamdulillah, dah dapat sepasang! Aktres Tasha Shilla selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 3.19 kilogram menerusi kaedah pembedahan sekitar 10.37 pagi (5 September).
Memetik laporan Metro, menurut suami Tasha iaitu Muhammad Atiq Idris, proses pembedahan yang memakan masa 45 minit itu berjalan lancar. Malah, Tasha dan bayi juga berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah…Tasha selamat melahirkan anak perempuan secara pembedahan. Bayi dan Tasha juga berada dalam keadaan baik.
“Syukur kerana pembedahan selama 45 minit itu juga turut berjalan dengan lancar. Malah, saya juga berada di dalam bilik pembedahan untuk menemani Tasha.
“Saya berterima kasih kepada doktor kerana banyak memberikan penjelasan bagi memudahkan urusan pembedahan,” kata Atiq.
Pilih nama Nyla Kaadira
Terdahulu, Tasha atau pemilik nama penuh Natasha Sheila Abdul Razak, 35, memaklumkan bakal melahirkan cahaya mata kedua secara pembedahan.
Malah, pasangan itu juga sudah memilih nama Nyla Kaadira buat cahaya mata kedua mereka.
Tasha sebelum ini turut berkongsi keterujaan dikurniakan sepasang cahaya mata dan bersifat terbuka berkongsi pemilihan nama buat cahaya mata kedua mereka.
Tasha dan suami, Muhammad Atiq Idris mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 2020.
Selain Nyla, pasangan itu turut dikurniakan cahaya mata Raees Zander yang kini berusia setahun lima bulan.
Kredit: Harian Metro
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)