Pembesaran anak tidak normal mungkin salah satunya disebabkan mengalami alahan susu. Susu lembu adalah makanan utama bayi dan sesetengah kanak-kanak. Masalah alahan lebih jelas pada mereka yang bertindak balas terhadapnya.
Biasanya masalah ini lebih ketara bagi anak yang tidak dapat menyusu dengan susu ibu kerana beberapa faktor.
Alahan susu lembu boleh menunjukkan pelbagai petanda. Adalah penting untuk mengenali petanda-petanda tersebut supaya dapat di diagnosis pada peringkat awal.
Bagaimana mengesan alahan tersebut?
Tanda dan gejala akan timbul dalam jangka masa 6 bulan pertama. Terdapat dua jenis tindak balas utama :
- Serangan gejala nafas berbunyi, muntah,gatal ,ruam / bintat (urticaria), bengkak pelupuk mata dan bahagian lain badan(angioedema) dan tindak balas seluruh badan(anaphylaxis) yang cepat dan menyerang secara tiba-tiba.
- Tindak balas yang lewat adalah perkara yang lebih biasa dan ia mengakibatkan gejala termasuk berak cair, najis berdarah, muntah, perut memulas dan pembesaran terbantut (poor growth)
Dapatkan nasihat doktor untuk diagnosa kerana tanda-tanda ini juga biasanya timbul dalam penyakit lain.
Apa kemungkinan masalah yang timbul dari alahan susu lembu?
Masalah yang mungkin timbul termasuk:
- Mempunyai risiko tinggi mengalami alahan seperti asma dan ekzema
- Penyakit usus disebabkan alahan susu lembu menyebabkan anak tidak membesar.
- Kekurangan zat makanan boleh berlaku sekiranya penukaran susu bukan berasaskan susu lembu tidak dilakukan pada peringkat bayi.
- Kemungkinan berlaku kematian akibat serangan teruk (anaphylaxis)
Bagaimana alahan terhadap susu lembu dirawat?
- Bagi kes alahan susu lembu yang teruk, ubatan seperti epinephrine/adrenaline dan antihistamin adalah perlu.
- Elakkan pengambilan semua makanan berasaskan susu lembu.
- Ibu yang menyusukan anak mereka juga dihalang dari mengambil makanan berasaskan susu lembu.
- Bayi yang diberi susu formula disyorkan menukar kepada susu yang berasaskan soya atau yang diproses menjadi separa hadam (chydrolysate based formula). Bagi kes yang teruk tukarkan kepada susu yang berasaskan asid amino dan ini mungkin boleh membantu.
- Vitamin D dan tambahan kalsium mungkin perlu jika anak anda tidak mengambil susu.
- Susu lembu mungkin boleh diberikan semula kepada anak anda dengan pengawasan doktor.
Apakah cara mencegah alahan susu lembu?
- Memberi susu badan sepenuhnya selama 6 bulan adalah digalakkan kepada bayi yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami alahan seperti asma,ekzema untuk melewatkan gejala jika bayi anda ada alahan pada susu lembu.
- Sekiranya bayi anda terpaksa diberi susu formula, susu yang telah diproses menjadi separa hadam (chydrolysate based formula) adalah pilihan yang terbaik.
Sumber: www.myhealth.gov.my