Walaupun seharian penat bekerja dan berkorban banyak demi tiket anak-anak, jangan pernah rasa penat untuk luangkan masa dengan anak-anak.
Pengorbanan ibu ayah bekerja siang malam memang biasa tetapi adakalanya kita terlepas untuk mengenang pengorbanan anak.
Tanpa sedar si kecil turut berkorban perasaan untuk dibelai dan dimanja oleh ibu ayah yang berkorban masa dan tenaga mencari nafkah keluarga.
Tanpa sedar mereka memendam rasa dan keinginan yang tak reti diluahkan kerana tak berpeluang melakukannya.
Coretan dari ayah ini, Andy Sulaiman kalau direnungi memang wajar yang bergelar ibu ayah memahami pula perasaan anak-anak kecil.
Pernah satu malam tu, ada sebuah keluarga datang makan di Brojak. Sepasang suami isteri bersama dua anak.
Si suami masih lagi memakai pakaian kerja, jelas nampak nama tempat kerja di bajunya, kasut pun memang kasut kerja.
Si isteri pula memakai seragam jururawat. Muka keduanya nampak keletihan.
Anak-anak pula, memakai baju tidur, berpimpin tangan dengan ibu mereka. Duduk lah mereka di satu sudut.
Terdengar si ibu bertanya macam mana keadaan anaknya di sekolah. Dijawab oleh anak mereka dengan setenangnya.
Selepas itu, bagaimana pula di rumah mak cik apa entah, aku nampak anaknya hanya menggelengkan kepala.
Mungkin soalan “Ada nakal tak rumah mak cik (pengasuh)?” Macam tu lah kot aku agak.
Mereka memesan makanan. Hanya lah set A, RM67. Cukup lah, yang dewasa hanya sepasang suami isteri itu. Dua lagi kanak-kanak, tidak banyak makannya.
Pesanan itu disiapkan. Malangnya, sebelum sempat dimakan, anak mereka tertidur di meja makan.
Si ibu kejutkan namun tidak dihiraukan.
Si ayah juga cuba kejutkan untuk suapkan makanan, si anak hanya mencelik mata seketika namun kepala kembali diletakkan di tepi meja, beralaskan lengan.
Aku perhati sahaja. Dan terlintas satu perkara.
Ya, tiada salahnya. Benar dan sebenar-benarnya. Tak salah langsung. Apa yang kita kerjakan hari ini semua demi membesarkan mereka.
Cuma, adakala kita terlepas masa untuk mengenang pengorbanan anak.
Rata-rata mereka ini sebelum kita keluar ke tempat kerja, mereka sudah berada di sekolah. Ini biasa. Kita dahulu juga macam tu.
Ada antara mereka habis sekolah, terpaksa menumpang di rumah pengasuh. Biarpun di dalam hati begitu teringin untuk pulang ke rumah.
Tapi, apa boleh buat, ibu dan ayah bekerja dan mencari rezeki untuk mereka juga.
Tiada salah situasi di atas. Keadaannya begitu. Tiada yang menganiaya dan tiada yang teraniaya. Tiada pemangsa dan juga tiada mangsa.
Tetapi,
timbul kekesalan juga di hati, bila aku fikir anak-anak seharian tak memandang wajah kita dan menanti kepulangan kita.
Segalanya dipendam, ditahan sehingga pulangnya kita di rumah.
Namun kadangkala apa yang berlaku?
Kita kepenatan. Masuk ke rumah, disambut anak-anak yang teruja, lalu mereka terus membuka cerita.
Kita hanya mendengar tanpa rasa. Datang lagi seorang, juga ingin bercerita. Kita dengar juga 2 cerita dalam satu masa.
Sehingga, sampai satu tahap, kesabaran hilang. Kita lantas hentikan segala penceritaan anak-anak dengan alasan kepenatan dan tunggu malam nanti baru ceritakan.
Anak-anak akur. Mereka diam. Kita ke bilik, rebahkan badan. Dan, terlena. Sedar dari tidur kita bersihkan diri dan lakukan apa yang sepatutnya.
Anak-anak sudah tidur. Cerita mereka tidak kesampaian. Kegembiraan mereka tidak diraikan. Luahan mereka tidak dapat diselesaikan.
Dan kita tidak rasa apa-apa. Mereka tidur ikut waktu yang ditetapkan, ok lah tu kan. Itu sahaja dari kita.
Cari lah masa, raikan mereka. Kita lakukan pengorbanan demi mereka, mereka juga korbankan rasa ingin bermesra dan bermanja dengan kita.
Walau tidak kaya, tapi aku kaya masa dengan keluarga,
Andy Sulaiman
Puaka Bersekutu
Brojak Udang Galah Bakar Madu