Berpantang sememangnya momen indah setiap ibu. Begitu juga yang dilalui oleh selebriti yang satu ini, Shakilla Khoriri yang masih berpantang, selepas melahirkan anak sulungnya, Ameena Sofea pada 15 Mac lalu.
Shakilla sempat berkongsi rasa penatnya ketika menjaga Ameena sepanjang berpantang namun tidak dapat menzahirkan rasa nikmatnya kepenatan bergelar ibu. Tak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Masa tengah pregnant duduk berkurung dalam rumah. Konon takut terlebih guna tenaga, takut terberanak kat luar, takut kesian baby.
Bila dah beranak dan dalam pantang, nah! Langsung duduk rumah tak boleh curi keluar langsung. Dapat keluar depan pintu rumah pun rasa nikmatnya lah Ya Allah.
Tapi bestnya ada Ameena. Boleh sembang. Walaupun aku tanya, aku jawab. Aku buat lawak, aku gelak. Dia tidur aku jaga, dia nak susu aku buatkan, dia tak selesa pampers dia aku tukarkan.PENAT !
Tapi nikmat yang tak boleh aku nak share. Maybe Mak-mak je tau feeling ni.
Segalanya sekarang ni pasal DIA walaupun dia nampak aku cuma bayang-bayang hitam.
Ads
Kadang bila Cik Meena tidur aku tengok je. Even tengah malam tu terjaga aku tengok muka dia. Aku fikir. Anak aku ke?
Satu kejadian yang aku boleh kata cepatnya masa berlalu, depan mata aku sekarang anak aku, yang aku gendong dalam perut 40 minggu ?
Aku tenung dia lagi aku tak henti tanya diri sendiri, anak aku ke?
Hmm..betul lah anak aku. Anak yang aku sama2 ajak pi badminton, jogging , hiking , Shooting, berlari , shopping, buat kerja itu ini.
Anak aku lah. Dah keluar pun.
Ads
Tapi satu perkara yang yang aku tak habis fikir sampai sekarang ni, tanggungjawab besar aku dengan Fizi kena pikul untuk besarkan Cik Ameena ni.
Seram.
Takut.
Tapi macam aku pesan kat Ameena masa dia tak nak keluar perut,
“Keluar lah nak, ini takdir kita. Walaupun dunia ni memang tak adil, kejam dan banyak benda yang tak baik, kita kena tempuh juga sebab Allah dah tulis setiap jalan cerita kita semua termasuk lah awak.”
Ads
Takpa lah, kalau aku tak boleh jadi Mak yang baik pada @ameenasofia_ , mungkin aku boleh jadi kawan baik dia.
Sweet je luah Shakila ni. Peminat tak kurang juga mengucapkan tahniah, berkongsi tip dan semangat buat Shakilla ketika berpantang.
Kredit: @shakillakhoriri
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Paracetamol adalah ubat yang dapat menurunkan suhu badan ketika demam dengan selamat. Ia boleh diambil oleh kanak-kanak, orang dewasa, ibu yang hamil dan ibu yang menyusukan anak, mengikut dos yang diberikan.
BOLEHKAH SAYA MENGAMBIL PARACETAMOL SEMASA MENYUSUKAN ANAK?
“Adakah ibu demam yang menyusu anak mengambil paracetamol untuk redakan demam? Berapa biji yang selamat diambil ya doktor. Mohon pencerahan doktor sebab penerangan sebelum ini tidak cukup meyakinkan?”
Nasihat saya adalah ambil paracetamol bila perlu, mengikut dos yang ditetapkan dan untuk jangka masa yang pendek saja. Dos yang biasa diberikan untuk orang dewasa sama ada hamil, menyusukan anak atau tidak ialah satu atau dua biji tablet 500mg, setiap 4-6 jam.
Dos maksima yang dibenarkan untuk orang dewasa adalah 8 biji tablet 500mg (jadi jumlah dos 6 g) dalam 24 jam. Dos yang berlebihan memberikan kesan buruk pada hati dan ginjal.
Walau bagaimana pun sedikit dos yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak akan masuk ke dalam air susu ibu, tetapi masih dalam kuantiti yang selamat.
Walau bagaimana pun, saya menasihatkan agar lebih berhati jika:
1. bayi lahir secara pramatang 2. bayi lahir tidak cukup berat (kurang 2.5kg) 3. bayi lahir dengan masalah kesihatan yang serius 4. Mengambil paracetamol bersama ubat lain kerana gabungan ubat-ubatan ini masuk ke dalam susu ibu dan memberikan kesan pada bayi yang menyusu.
Boleh rujuk pada doctor atau farmasis bagi mengetahui dos yang lebih tepat, jika ada masalah kesihatan yang menghalang pengambilan ubat.
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila kita berada dalam kesakitan melampau, terkadang kita hilang pertimbangan dan meminta untuk diperlakukan apa sahaja tanpa memikir baik buruk sesuatu keputusan itu.
“Saya tak tahan dah sakit nak bersalin ni doktor. Operate je lah! Senang, abes cerita! Nak tunggu apa lagi?”
Walau bagaimanapun jika terdapat indikasi pembedahan caeserean perlu dilakukan, kami tanpa berlengah lagi akan memastikan ianya dilakukan dengan sepantas kilat untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi dalam kandungan.
Yang menjadi perhatian saya adalah ibu-ibu yang meminta agar dilakukan pembedahan caeserean ke atasnya tanpa sebab musabab yang difikirkan perlu secara perubatannya. Pembedahan caeserean bukannya benda main-main, silap haribulan segala macam komplikasi boleh timbul. Maka, kedua-dua pesakit dan suami perlu ambil tahu mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.
Apakah risiko-risiko utama pembedahan caesarean?
Kesakitan
Selepas pembedahan anda bukannya boleh berjalan segera seperti sediakala. Ada kalanya memerlukan bantuan untuk bergerak berhari-hari lamanya. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.
Anda akan diberi ubat tahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika.
Jangkitan kuman
Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, kira-kira 8 % daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan. Terdapat tiga jenis jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:
1) Jangkitan pada bahagian luka pembedahan – Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut. Ada kala ianya mengeluarkan nanah.
2) Jangkitan pada rahim. Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan darah nifas berbau busuk dan juga demam ketika berpantang.
3) Jangkitan salur kencing. Semasa pembedahan, sejenis tiub kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.
Darah beku
Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku. Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:
– batuk;
– sesak nafas;
– kesakitan atau bengkak pada bahagian betis
– sakit dada
Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan sejenis stokin khas untuk memastikan peredaran darah menjadi lancar pada kaki anda. Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.
Perlekatan organ dalaman
Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Perlekatan yang saya maksudkan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut. Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami perlekatan ini dan jumlah ini meningkat kepada 83 % selepas tiga kali pembedahan caesarean.
Kadang kala perlekatan boleh menyebabkan kesakitan (adhesion colic) kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman.
Pembiusan
Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan penuh (general anaesthetia), yang membuatkan anda tidur. Sebaliknya, anda akan diberi spinal atau epidural yang akan menyebabkan bahagian perut dan kaki berasa kebas supaya pembedahan boleh dilakukan. Epidural/spinal lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am. Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko.
Apakah komplikasi lain?
Komplikasi yang serius sangat jarang berlaku, iaitu kurang daripada 1 %. Komplikasi serius yang dimaksudkan:
-Kecederaan kepada pundi kencing, tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kencing ( ureter ), atau kepada usus.
-Doktor mungkin perlu menjalankan pembedahan membuang rahim (hysterectomy) sebagai langkah menyelamatkan nyawa jika berlaku tumpah darah yang serius yang boleh mengancam nyawa ibu.
Anda mungkin perlu menjalani pembedahan caeserean pada masa akan datang. Perkara ini akan dibincangkan semula dalam kehamilan berikutnya.
Ada juga bayi yang terluka sedikit akibat terkena pisau bedah. 2% bayi mengalami luka kecil semasa pembedahan caeserean.
Akhir kata,
Buat keputusan yang sewajarnya, jangan membabi buta. Jangan ambil bulat-bulat ‘cakap-cakap’ orang. Banyakkan bertanya pada mereka yang berilmu dan bertauliah.
Takde nye saya potong orang sesuka hati, tanpa sebab yg munasabah
Anak yang dilahirkan sihat, tiba-tiba diuji dengan sakit yang kronik pada usianya 4 tahun dan telah pergi meninggalkan kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu cukup menyedihkan.
Menurut ibunya Saidah Malihah, arwah Ahmad Sayyid meninggal kerana Kanser Ganglioneuroblastoma selepas dikesan pada November tahun lalu selepas demam panas dan suhu sentiasa panas setiap malam selama dua minggu berturut-turut. Walaupun dah bawa ke klinik demamnya masih tak kebah.
Selepas itu perutnya juga semakin membesar sehinggalah dia mengadu sakit dan terus di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Selepas di scan Sayyid di rujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan bermula dari situlah kehidupannya berubah sehingga pergi menghadap ilahi pada Aidiladha lalu.
Berikut perkongsian ibunya di Facebook mengenai perjuangan Sayyid melalui hari-hari terakhir sebelum dijemput Allah.
Mimpi Sayyid bangun dari tidur
Bismillahirahmanirahim. Hari ini baru ada masa untuk mencoret kenangan buat Ahmad Sayyid. Nama Sayyid diberi kerana mimpi ada tangan yang menulis nama tu masa tengah mengandungkan dia. Masa tu belum tahu jantina dia lagi.
Mami nekad mahukan nama Sayyid yang bererti Penghulu/ Ketua walaupun abahnya nak nama lain. Sesuai la Penghulu untuk anak sulung kan. Lahirnya secara induce pada 12 Ogos 2014 kerana kurang gerak. Membesar sebagai anak yang disayangi ramai. Petuanya masa mengandung bacalah surah Luqman & Ar-Rahman setiap hari dan niatkan khusus untuk anak dalam kandungan.
8 Ogos 2019, Khamis. Abah Sayyid mimpi Sayyid bangun dari tidur, jalan keluar dari bilik (Sayyid dah tak boleh jalan sebenarnya sebab kaki sakit) untuk cium adiknya yang sedang tidur. Dan cakap dengan abahnya, dia nak pergi keluar, tapi ada benda yang halang dia. Tapi takpelah, lain kali je lah. Nanti abah tolong.
9 Ogos 2019, Jumaat. Siang harinya, banyak kali dia tanya, Abah dah balik ke? Setiap kali bunyi kereta lalu depan rumah. Dia banyak cakap juga, tak seperti hari biasa yang banyak tidur sebab penat.
Malamnya, Sayyid tidur kat sebelah mami macam biasa. Mami dengar Sayyid bercakap sambil tidur (dengan anggapan Sayyid mengigau). “Sekejap lagi Sayyid sampai, tak jauh dah” diulangnya 2 kali. Mami kejutkan Sayyid dan Sayyid kembali tidur.
Mata Sayyid dah ke atas
10 Ogos 2019. Seperti biasa Sayyid kurang berselera untuk makan. Oleh kerana satu hari suntuk tak makan, mami bagi Sayyid susu sedikit ikut Ryles tube. Sayyid cakap Sayyid dah tak nak masuk wad. Maghrib tu Sayyid cakap rasa macam nak sendawa tapi tak lepas. Disuruhnya gosok dibelakang dia sehinggalah malam. Pukul 11 malam Sayyid cakap macam nak muntah. Tapi tak muntah pun, dia cuma keluarkan sedikit air liur. Mami nak sedapkan hati Sayyid dan cakap kat Sayyid ni sebab Sayyid tak makan, ada angin la.
Pukul 11.30 malam, mami ajak Sayyid tidur sebab mami dah penat. Mami peluk Sayyid dan tidur. Pukul 1 lebih, Sayyid kejutkan Mami, Sayyid cakap rasa macam nak muntah lagi. Nak tinggikan bantal. Mami ambil bantal mami untuk tinggikan bantal Sayyid. Bila mami nak sandarkan Sayyid pada bantal, mami nampak Sayyid dah nak pergi. Sayyid cuba cakap-cakap, tapi percakapan Sayyid sudah tidak jelas kedengaran. Mami suruh Sayyid pegang tangan mami, Sayyid genggam tangan Mami. Mami panggil Abah juga. Mami mengucap tanpa henti, Lailahaillah.
Mami tengok mata Sayyid dah ke atas, Mami terus doakan pada Allah semoga mudahkan urusan Sayyid. Genggaman tangan Sayyid makin lemah dan mami tahu Sayyid dah pergi. Mami tengok jam, pukul 1.17am. Mami terus cakap pada Sayyid, mami tahu roh Sayyid ada kat sini lagi. Pergilah cari adik (Sayyid ada adik yang meninggal dalam perut masa 8 bulan mengandung) kat sana. Main sama-sama. Mami sayang Sayyid.
Mami suruh abah call 999 untuk panggil doktor datang buat pengesahan. Mami tulis kat Whatsapp family, Sayyid dah takde. Mami call nani bagitau Sayyid dah takde. Doktor dari HTAR sampai dengan ambulans untuk buat pengesahan. Keluarga-keluarga terdekat juga datang ke rumah. Pagi, takbir Aidiladha berkumandang. Mami senyum sebab mami gembira Sayyid pergi di hari yang baik.
Mami redha Sayyid pergi sehari sebelum hari jadi Sayyid yang ke-5. Tiada lagi sakit padamu sayang dan Sayyid terpilih ke “boarding school” untuk jadi anak asuhan Nabi Ibrahim A.S. Mami bangga dengan Sayyid.
Al-Fatihah buat Sayyid
Alfatihah buat Sayyid. 12082014 – 11082019. Buat ibu-ibu lain yang juga punya anak kecil meninggal sebelum baligh, redha lah kerana anak kita akan menjadi saham akhirat kita yang akan memimpin tangan kita ke syurga.
Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud: ” Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya: ” Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril menjawab: Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang” (HR. Abu Daud)
Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya”