Penatnya alahai nak kemas kemas bila anak buat sepah.Mama papa boleh cuba 10 tip ini untuk elak diri jadi singa lapar marah-marah. Pendekatan psikologi & cara menyeronokkan akan membantu.
Menginjak ke usia satu tahun, ia adalah peralihan bayi ke alam kanak-kanak. Mereka malah lebih mudah bergerak kerana sudah merangkak dan berjalan. Ini menyebabkan peluang untuk meneroka dan menyelerakkan ruang kediaman lebih banyak.
Menurut Farahdilla Fadhil, Ketua Jabatan Pembangunan Kandungan, E2L Media Sdn Bhd berkaitan isu ini, ibu bapa perlu faham apabila anak-anak membuat sepah ketika bermain, mereka sebenarnya sedang merangsang sensori deria. Anak berpeluang untuk bereksperimen dengan deria sentuh, hidu, lihat dan dengar.
Selain itu, tangan mereka akan bergerak secara aktif dan secara langsung meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Secara semula jadinya, si kecil gemar bereksperimentasi kerana daya ingin tahu dan meneroka.
SUKA MENYELONGKAR
Fitrah kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap dunia persekitaran mereka. Pada peringkat umur satu hingga dua tahun, mereka sudah mula menguasai konsep yang dinamakan object permanence di mana mereka mula faham bahawa suatu objek itu wujud walaupun tidak kelihatan di depan mata.
Oleh itu, ini adalah sebab kenapa si kecil suka menyelongkar barang pada bahagian yang tersembunyi. Hakikatnya, mereka sebenarnya sedang membuat eskplorasi dengan dunia kecil mereka. Tambahan pula bunyi pintu yang terhasil apabila membuka dan menutup laci atau peti sejuk itu memuaskan seperti suatu pencapaian bagi mereka.
DISIPLIN, ADAKAH TERLALU AWAL?
It’s never too soon to discipline. Tidak terlalu awal untuk ibu bapa mendisiplinkan anak pada usia ini menyimpan barang permainannya selepas bermain. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa yang akan mencorakkannya.
Anda sudah boleh mula mengajar si kecil untuk mengemaskan kembali barang permainan setiap kali sesi bermain tamat. Langkah ini bukan sahaja dapat memberi impak yang positif dalam rutin bermain mereka, malah ianya bagus untuk memupuk amalan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Pada masa yang sama, anda juga sebenarnya mendidik si manja untuk lebih bertanggungjawab terhadap barang kepunyaan mereka sambil merangsang kemahiran hidup mereka.
5 CARA LATIH ANAK TIDAK MEMBUAT SEPAH
Dalam masa yang sama dalam memberi ruang untuk anak-anak membuat sepah, jangan sehingga rumah menjadi tongkang pecah pula. Jadikan tabiat mengemas selepas membuat sepah sebagai satu rutin yang menyeronokkan. Apa yang anda boleh lakukan ialah;
KAWAL DIRI DARIPADA MARAH
Walaupun situasi sebegini biasanya akan memeningkan kepala, ia merupakan suatu memori manis untuk dikongsi bersama keluarga. Ini kerana anak-anak ini tidak akan selamanya kecil, merengek dan membuat sepah.
Selain itu; berdasarkan fakta, si kecil yang membuat sepah lebih cenderung untuk menjadi orang yang kreatif kerana mereka diberi ruang yang secukupnya untuk mengekspresikan idea. Kebanyakan idea ciptaan di dunia, tercetus hasil dari penemuan tidak sengaja antaranya ialah doh mainan yang asalnya bertujuan sebagai pencuci kertas dinding.
Nah, mana tahu suatu hari nanti anak-anak kita mampu mencipta suatu inovasi semasa sedang bermain. Bak kata ahli saintis Inggeris; Carl Edward Sagan, “Somewhere, something incredible is waiting to be known”.
5 TIP ELAK JADI SINGA LAPAR
Oleh itu, mama papa perlu bijak perlulah mengawal diri daripada menjadi ‘singa lapar’ dengan melakukan perkara berikut:
Jika anda tidak boleh menerima situasi rumah yang bersepah, bawa anak-anak ke luar rumah dan beri mereka peluang untuk berekplorasi di luar. Contohnya, melakukan aktiviti seni dan kraf atau membuat eksperimen sains di halaman rumah.
Tetapkan peraturan yang jelas dan mudah untuk dijadikan rutin harian si kecil. Antaranya, anak-anak perlu menggunakan dulang bagi setiap aktiviti seni dan kraf atau membina lego di atas tikar mainan.
Jangan beri denda fizikal. Denda fizikal yang berterusan akan menyebabkan anak-anak hilang rasa tanggungjawab untuk mengemaskan barang-barang kepunyaan mereka. Malah, ia akan membuatkan anak-anak berasa jengkel dan susah untuk mengemas.
Dedikasikan satu bilik atau satu tempat khas untuk anak-anak bermain untuk mengelakkan mereka menyepahkan mainan mereka di tempat lain. Anda juga boleh memberi mainan secara berperingkat supaya anak-anak tidak mempunyai terlalu banyak pilihan untuk membuat sepah.
Mungkin kedengaran agak kelakar tetapi ibu bapa perlulah bermeditasi atau gunakan mantra untuk menenangkan perasaan sendiri. Gunakan tips seperti lagu Chichi & Chacha Jom Sabar “Bila rasa naik marah, ahai sayang. Tarik nafas panjang-panjang, ahai sayang. Kira satu sampai sepuluh, ahai sayang. Baru hati lebih tenang, sabar sayang.”