Penat Kumpul Stok Susu, Akhirnya Rosak. Menangis Teruk Terpaksa Buang Semua Ke Tong Sampah!

Share

Semasa sesi fotografi bersama Instafamous terkenal, Asyallie, Pa&Ma sempat bertanyakan kepadanya pengalaman ketika menyusukan anak keduanya, baby Helena. Asya berkongsi pernah satu masa, dia terpaksa buang semua stok susu badannya kerana rosak.

Menurutnya lagi, ketika itu dia menangis teruk kerana terpaksa membuang kesemua sekali selepas berhempas-pulas mengepam dan simpan semua susu badannya itu. Selepas kejadian itu, Asya lebih berhati-hati ketika mengendalikan susunya dan sempat berkongsi tip untuk menjaga kualiti susu ibu.

 

TIP KENDALI SUSU IBU DARI ASYALLIE:

1. Pastikan tangan dibersihkan sebelum mengendalikan susu ibu
2. Bekas penyimpanan susu juga perlulah bersih
3. Elakkan daripada mencampurkan susu ibu dengan stok simpanan barangan dapur seperti ayam, daging dan sebagainya
4. Simpan susu dengan cermat dan elakkan daripada mengganggu suhu peti beku dengan kerap membuka dan menutupnya
5. Simpan susu di bahagian sejuk beku kecuali jika mahu guna susu, bolehlah diletakkan di dalam peti sejuk bahagian chiller

Haider, anak pertama Asya suka makan sayur. Ketika ditanyakan kepadanya bagaimana melatih anak sulungnya itu makan sayur, Asya memberitahu ketika dia mengandungkan Haider, dia suka makan sayur.

Apabila tiba waktu memperkenalkan makanan pertama kepada anak, Asya mulakan dengan puri sayur seperti brokoli dan lobak merah. Sehingga kini, makanan kegemaran si comel Haider adalah nasi putih bersama sup ayam yang dicampurka dengan sayur-sayuran.

Semoga Haider dan Helena membesar dengan sihat dan Pa&Ma mendoakan agar keluarga Asyallie sentiasa berbahagia selamanya.

Sumber foto: Asyallie

Published by
Emy H