Penat Susukan Anak Berbaloi, Ibu Kurang Risiko Dapat Kanser Payudara, Anak Pun Kenyang!

Share

Selain kanser serviks, kanser payudara juga merupakan kanser yang begitu ditakuti oleh semua wanita. Penyakit ini boleh dihidapi oleh mana-mana wanita tanpa diketahui punca dan penyebabnya.

Namun kenyataan daripada doktor pakar ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada wanita, lebih-lebih yang menyusukan anak. Menurut Dr Sarinah Basro, Consultant Breast & Endocrine Surgeon, Avisena Specialist Hospital, memberi susu badan kepada bayi sekurang-kurangnya enam bulan dapat mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.

Lebih lama seseorang wanita memberi susu badan, lebih kecillah risikonya untuk mendapat kanser payudara. Menyusu badan mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 4.3 peratus setiap tahun penyusuan.

Walaubagaimanapun, pengurangan risiko ini tidak terjadi kepada semua wanita, malahan ada wanita yang menyusu bayi lebih dari setahun pun tetap mendapat kanser payudara.

Malah Dr Sarinah Basro turut merungkai permasalahan kanser payudaya yang turut berlaku kepada ibu hamil.

“Secara umum, faktor sebenar penyebab kanser payudara tidak diketahui. Semua wanita berisiko mendapat kanser payudara, tetapi sesetengah wanita lebih berisiko daripada yang lain. Faktor- faktor yang meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara adalah:

• Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara (terutamanya ibu atau adik-beradik perempuan)

• Sejarah telah mendapat kanser pada satu payudara.

• Terdedah kepada kesan hormon estrogen yang berpanjangan seperti
– peningkatan usia
– mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)
– tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.
– pengambilan pil hormon gantian yang berpanjangan di kalangan wanita- wanita keputusan haid ( menopause)

• Obesiti atau kegemukan
Walaubagaimanapun, faktor risiko ini tidak terjadi kepada semua wanita, malahan mereka yang tidak punya faktor risiko juga boleh mendapat kanser payudara.

Wanita yang menghidap kanser ketika hamil adalah insiden atau satu kebetulan. Tiada punca dan kesan yang jelas yang dapat dikaitkan antara kanser dengan kehamilan. Beberapa kajian kanser payudara mendapati majoriti kanser payudara yang didiagnosis ketika hamil adalah reseptor hormon yang negatif. Ini bermaksud, ia tidak bergantung pada kadar tinggi hormon wanita yang hadir ketika mengandung.

Oleh itu, tiada bukti menunjukkan bahawa terdapat perubahan dalam wanita mengandung yang mendedahkan mereka kepada pembentukan kanser.

Risiko Rawatan Kanser Pada Ibu Hamil
Adalah berbahaya bagi ibu hamil untuk menjalani setiap rawatan kimoterapi dan sebagainya namun menurut Dr Sarinah lagi, setiap pesakit perlu menjalani rawatan yang sama seperti pesakit kanser yang lain.

Ibu hamil yang disahkan mengidap kanser payudara perlu mendapat rawatan sepertimana pesakit-pesakit yang lain. Rawatan yang diberikan adalah bergantung kepada tahap kanser payu dara itu. Walaubagaimanapu ia perlu disesuaikan dengan peringkat kehamilan untuk mengurangkan risiko terhadap bayi dan kandungan.

Antara risiko kemoterapi kepada janin adalah keguguran, kematian bayi dalam kandungan, kecacatan dan merencat perkembangan bayi atau kurang berat badan.

Oleh itu, rawatan kemoterapi ketika trimester pertama (< 12 minggu) cuba dielakkan kerana ia tempoh penting untuk pembentukan organ dalaman bayi dalam kandungan. Kemoterapi yang dilakukan ketika trimester kedua (12-24 minggu) dilaporkan selamat untuk pesakit hamil.

Doktor juga akan cuba tidak melakukan rawatan kemoterapi pada penghujung trimester ketiga supaya tidak timbul komplikasi ketika hampir waktu kelahiran.

Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!

Artikel berkaitan: Wanita Yang Menyusu Kurang Risiko Dapat Kanser Payudara Sebab Kitaran Haid Lebih Sikit Sepanjang Hidup Mereka!

Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents

Published by
SRM