Keibubapaan

“Penatnya, Letih Jaga 4 Anak Perempuan” Semuanya ‘Anak Ayah’, Bapa Ni Kongsi Tip Jaga Anak Perempuan!

Share

Anak adalah anugerah Allah paling istimewa. Usah kecewa dan berduka bila mana impian untuk punya anak lelaki tidak dimakbulkan Allah. Dianugerahkan dengan kesemuanya anak perempuan memang istimewa. Teramat istimewa.

Namun menjaga anak-anak perempuan yang cukup istimewa ini perlukan pendekatan tersendiri untuk mereka sentiasa jadi lebih baik.

Perkongsian seorang bapa kepada empat anak perempuan, Abu Hurairah Roslan ini banyak benarnya. Jadikan ia sebagai panduan untuk kita sentiasa jadi lebih baik menjaga anugerah Allah ini.


Allah mengurniakan saya dan isteri, kami ada empat orang anak perempuan. Semuanya direzekikan lahir dengan keadaan yang cukup sempurna. Tidak ada cacat celanya.

Malah, setiap seorang yang lahir, selalu mengkagumkan saya, saya melihat wajah dan mata mereka. Saya jatuh hati dengan ciptaan Allah yang bernama anak perempuan.

Dari kecil hingga dewasa, tidak ada yang lebih utama melainkan memberikan mereka Allah dan Rasul, serta mengajar mereka untuk hidup didunia sebagai hamba dan manusia.

Hamba kepada Allah, dan manusia yang berkhidmat dan menghiburkan manusia yang lain.

Ada yang bertanya, “Bagaimana nak mendidik anak perempuan?”. “Apa yang ustaz buat pada mereka? Selain menjaga maruah mereka?”

Baik, ini perkongsian realiti dari saya dan isteri. Walaupun, kami jauh dari sempurna dalam mendidik mereka. Banyak lagi yang kami sedang belajar.

1. Setelah kepenatan bekerja dari awal pagi sampai tengah malam, saya terus masuk bilik dan nak melelapkan mata. Tiba-tiba pintu diketuk dan sorang-sorang anak masuk.

Arwaa, anak kedua paling manja dengan saya mendekati.

“Ayah, kita tak boleh tidurlah”
“Oh. Arwaa nak apa?”
“Boleh bacakan buku cerita kat kita?”

Allahuakhbar. Dengan penat, sakit kepala, tiba-tiba anak meminta itu ini, jujurlah memang berat. Rasa berangin je. Ayat biasa,

“Aduh, nak baca buku apanya. Tido je lah. Mengada-ngada!”

Namun, perlahan-lahan saya bangun, dan temankan dia di katil dan bacakan buku untuknya. Apabila seorang ayah melayan kaum wanita dengan baik dan penuh hormat, anak perempuan juga akan belajar untuk menghargai diri mereka seadanya. Ini yang saya belajar yang pertama.

2. Masuk rumah, tiba-tiba anak pertama diam je. Biasanya, dia akan sambut, salam dan peluk cium ayah dia.

“Ifa, ni ayah ada beli makanan kegemaran ifa. Makanlah”. Dia diam je. Senyap sunyi sepi. Tak cakap walau sepatah.
Biasanya, mendidih rasa dalam ni. Nak meletup rasa. Kurang ajar dan tak hormat ayah!

Tapi saya diam dulu. Saya naik atas mandi semua. Saya turun dan usap belakang badannya. “Ifa, jom makan. Teman ayah”

Perlahan-lahan dia bangun, dan sedang makan dia meluahkan sakit hatinya. Pedihnya. Sedihnya. Masa inilah, kita menjadi hero mendengar. Jika dia mahu penyelesaian, kita nasihatlah. Ini yang saya belajar yang kedua.

3. Pam! Barang jatuh. Bersepah. Aduh! Dalam hati nak menjerit dah. Rasa menggigil tangan nak naik. Hayun bagi rasa sorang-sorang. Bagi takut sikit kat ayah ni.

Namun, panggil Allah banyak kali. Istighfar. Pejam mata lima saat dan buka kembali.

“Takpe sarah. Sini ayah buatkan. Sarah jauh sikit. Bahaya ni. Hati-hati ya lain kali”

Kadang saya terlepas juga. Termarah juga. Tertinggi suara sampai menggeletar anak ketakutan. Namun, lepas reda saya datang peluk dan minta maaf dengan mereka. Cium mereka. Hilangkan ketakutan mereka yang takut sangat pada saya ayahnya.

Apabila anak perempuan semakin membesar, mereka akan cenderung untuk menjadi lebih senyap, kritikal terhadap diri sendiri, dan kurang konfiden terhadap imej diri. Dengan adanya ruang privasi, anak-anak boleh belajar mengawal emosi sambil dipantau oleh ibu bapa. ini saya belajar lagi untuk yang ketiga.

Ini baru tiga. Banyak lagi yang saya belajar dan banyak lagi yang akan saya kongsi. Hanya saya seorang lelaki dalam rumahtangga ini.

Demi Allah, penatnya dan letihnya menjaga empat orang anak perempuan ni, apalagi mereka semua memang “anak ayah”. Semuanya ayah.

Namun, ingatlah. Jadilah lelaki pertama dalam hidup anak perempuan kita.

Jangan biarkan mereka.
Jangan abaikan perasaan mereka. Jangan kecilkan “keperempuanan” mereka.
Jangan biarkan mereka dengan dunia yang merosakkan.

Sebagaimana sayangnya kita pada isteri, begitu juga kasih sayang kita pada anak-anak perempuan kita. Bermula dari makan bersama, solat berjemaah bersama, teman menonton tv bersama, membaca bersama, membuat latihan dan kerja rumah bersama.

Lihatlah bila mereka menjadi isteri dan ibu pula, percayalah mereka akan jadi sebaik ibu bapanya juga.

Tat Abu
Kesayangan isteri dan anak perempuan.

Menarik: Bodygoals Betul, Cantik & Langsing-, Bella Astillah Dipuji Tak Macam Anak Dua

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
SRM