Meriah dan penuh gaya! Begitulah gambaran yang dipaparkan melalui pencarian comel bergaya yang telah berlangsung di Pameran Sukan dan Kecergasan Antarabangsa (Misfit 2018), Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC pada 5 Ogos 2018 yang lalu.
Objektif utama pencarian ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru bagi mengisi pelbagai ruangan di dalam majalah seperti segmen fesyen dan lain-lain termasuklah Penghias Kulit.
Bagi peserta prasekolah sudah tentu tampil bergaya dengan pelbagai fesyen tersendiri. Langkah penuh gaya dengan memberikan senyuman manis bak super mode.
Namun bagi peserta yang masih kecil sudah tentu ada karenah diluar dugaan seperti menangis, tidak mahu duduk dan ada yang berlari ke sana sini. Kedengaran ibu-ibu memujuk anak supaya meneruskan sesi bergambar. Begitulah suasana di studio mini gamat dengan pelbagai telatah si manja di hadapan lensa kamera.
Apa yang pasti, ibu bapa peserta tetap memberikan sokongan dan galakan seperti menyediakan pakaian yang menarik, menunjuk ajar pose yang bersesuaian di samping membantu juru foto mendapatkan perhatian si manja kepada kamera semasa aksi dirakamkan.
Penyertaan pencarian ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pencarian ini terbuka kepada si manja yang berusia 0 hingga 6 tahun. Kelihatan ibu bapa begitu teruja membawa anak-anak untuk pencarian.
Semoga pencarian ini juga memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan potensi diri, yakin dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Dekat Nak Bersalin, Lagi Kuat Doa” Throwback Usaha Dapatkan Anak Perempuan, Saharul Ridzwan Kongsi Amalan Masa Isteri Hamil!
Bergelar seorang bapa bukan hanya sekadar punya tanggungjawab menyediakan makan dan pakai anak bahkan bagi pelakon, Saharul Ridzwan ia menjadi titik tolak hidupnya merubah menjadi bapa yang lebih baik.
Malah menurut kata Saharul yang dipilih sebagai penerima Anugerah Best Papa Mellinial 2022, kehadiran dua cahaya mata dalam hidupnya banyak merubah hidupnya ke jalan Allah.
Berkongsi kisahnya bergelar bapa kira-kira lima tahun yang lalu, kelahiran anak sulungnya, Muhammad Luth Ali pada 6 Jun 2017 merubah hidupnya. Begitu juga nalurinya semakin bertambah lengkap dan bahagia sejak punya anak keduanya, Fateema Azzahra.
“Bila dah ada anak pertama ni banyak benda nak kena explore dan belajar. Belajar macam mana nak tukar pampers, nak buat susu dan sebagainya tapi bila datangnya anak kedua ni lebih kepada macam mana nak susun pendidikan anak sekaligus belajar macam mana nak kendalikan emosi anak-anak.
“Anak pertama macam mana, anak kedua macam mana pulak. Kalau bercerita pasal momen sejak ada anak ni macam-macam cerita.
“Macam mana kita kena tahan bila anak makan bersepah dekat kedai makan, tumpahkan air dan sebagainya. Semua itu momen yang menjadikan kita lebih matang dalam menjadi seorang pendidik,” kongsinya memulakan bicara.
Kongsi doa & amalan untuk dapat anak perempuan
Berkongsi kisah kehamilan dua anaknya, akuinya Saharul dia sememangnya begitu menginginkan anak perempuan bila isterinya, Qabilla Deena Emir Mohammed disahkan hamil anak kedua.
Tidak mahu melakukan pemeriksaan jantina, sebaliknya Saharul dan isterinya memilih untuk berdoa saban hari demi memperoleh anak perempuan.
“Masa isteri saya mengandung kali kedua ni, saya sebenarnya nak sangat-sangat anak perempuan. Saya cakap dekat wife, saya nak anak perempuan tapi saya tak nak buat test untuk check jantina anak.
“Saya cakap saya hanya nak amalkan doa dan saya dan isteri amalkan doa bersungguh-sungguh setiap masa demi untuk dapatkan anak perempuan.
“Kalau orang lain dah excited sebab tahu nak dapat anak apa, lain pula kisahnya saya dan isteri yang sentiasa teruja berdoa untuk dapatkan anak perempuan. Rasa terujanya lain macam sebab kita sentiasa nak doa.
“Lagi nak dekat bersalin lagi rasa nak kuat doa pada Allah. Dan bila Allah makbulkan doa kami berdua, rasa seronok sangat,”luahkan lagi.
Tidak hanya isterinya, bahkan kata Saharul lagi dia turut mengamalkan amalan tertentu dalam usahanya untuk berdoa pada Allah.
“Apa yang saya amalkan adalah dengan baca selawat, istiqomah dan sentiasa minta dengan Allah setiap hari. Saya juga sentiasa baca Quran dan banyakkan bangun solat malam. Isteri saya pula sentiasa amalkan doa-doa khususnya setiap hari.
“Kami juga dan merancang untuk menambah anak namun semuanya bergantung kepada rezeki Allah. Sebolehnya tidaklah terlalu lambat memandangkan usia saya juga semakin meningkat,” kongsinya lagi.
Punya anak lelaki dan perempuan, akui Saharul Ridzwan dia terpaksa menggunakan pendekatan berbeza dalam mendidik mereka.
“Untuk ajar anak-anak ni kita di rumah mak ayah perlu kuat. Kita as parent kena tunjukkan pada anak-anak.
“Kalau kita suruh anak baca Quran tapi dia tak pernah nampak kita baca Quran, tak jadilah. Kita kenalah mulakan dulu, biar anak nampak dan barulah anak akan ikut,” katanya lagi.
Berhijrah demi cinta hati
Berkongsi kisah penghijrahan dan momen berharga sejak bergelar bapa, Saharul mengakui dia berubah ke jalan yang lebih baik semuanya demi anak-anak dan keluarga.
“Datangnya satu rasa tu bila ustaz bagitau saya, kita sebagai seorang bapa memang kita kena sediakan tempat tinggal, nafkah dan pendidikan tapi adakah kita perkenalkan pencipta kita pada anak-anak.
“Sejak itulah saya start ajar Ali, bukan saya yang bagi Ali makan tapi Allah. Benda yang kita rasa simple tapi perlu diterapkan buat anak-anak. Pergantungan rezeki pada Allah,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Saharul dan isterinya Qaabila Deena Emir Mohammed mendirikan rumah tangga pada 16 September 2016 di Putrajaya. Pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad Luth Ali dan Fateema Azzahra.
Menarik: 6 Bulan Ni, Sayalah Paling Bahagia, Rutin Urus Bilal Mencabar Tapi Membahagiakan PU Riz!
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat!
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tahniah Adik Madihah! Pergi Karnival Pendidikan Bestari Suka-Suka, Rezeki Menang Wang Tunai RM350
Tiada apa yang membanggakan ibu ayah apabila anak mereka mencapai sesuatu kejayaan. Apatah lagi apabila ia dapat dikongsikan dengan ramai orang yang sama-sama memberi sokongan. Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu.
Murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM, Madihah Nur Safiyyah Hanif Omar berkunjung ke Karnival Pendidikan Bestari hanya sekadar untuk suka-suka bersama famili, tetapi akhirnya pulang dengan kemenangan besar apabila dinobatkan sebagai juara Who Wants To Be A Genius Star pada Ahad lepas!
Kemenangan dalam pertandingan uji minda anjuran Nu Ideaktiv Sdn Bhd itu, menyaksikan murid terbabit layak memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM350 hasil kemenangan di pusingan awal dan akhir.
Madihah berkata, kemenangan tersebut adalah pencapaian dan hadiah terbesar bagi dirinya sejak dia mula aktif menyertai pelbagai pertandingan seumpama itu sejak tahun lalu.
Menurutnya, minat yang mendalam terhadap pengetahuan am selain apa yang dipelajari di sekolah membantunya untuk lebih yakin dalam menjawab soalan. Madihah turut berkongsi rasa gementar apabila menjadi tumpuan di pentas utama semasa pusingan akhir pertandingan itu.
Katanya lagi, sejak soalan pertama dia sangat yakin tetapi apabila tiba ke soalan kedua terakhir bernilai RM200 dia mulai gementar tetapi tetap memberikan jawapan tepat tanpa menggunakan talian hayat yang ada.
“Alhamdulillah saya jawab dengan betul sampai soalan terakhir bernilai RM300…dan saya rasa sangat gembira dan teruja.”
Madihah berkata, dia tidak berhasrat membelanjakan wang kemenangan itu sebaliknya mahu menyimpan hadiah yang disifatkan terbesar pernah dimenanginya.
Sebelum itu, Madihah menyertai pertandingan peringkat awal bersama beberapa lagi peserta lain di booth Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan memenangi wang tunai RM50 sekali gus melayakkannya ke pusingan akhir.
Acara pusingan akhir yang dibuat di pentas utama karnival menyaksikan kemeriahan daripada ratusan pengunjung yang memberi sokongan terhadap Madihah.
Madihah perlu menjawab sepuluh soalan dengan betul dan setiap soalan mempunyai nilai wang tunai sama seperti format rancangan Who Wants To Be A Millionaire yang pernah popular satu ketika dahulu di mana Dato’ Jalaluddin Hassan menjadi pengacaranya.
Dua talian hayat yang diberikan, iaitu bantuan awam dan panggilan telefon, namun Madihah hanya menggunakan satu talian hayat iaitu bantuan awam membuatkan suasana bertambah gamat.
Tahniah kepada Madihah! Semoga dengan lebih banyak penganjuran pertandingan berkualiti seperti ini dapat melahirkan lebih ramai murid berkualiti dan genius pada masa akan datang.
Sumber: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Susahnya Nak Cari Rancangan Kegemaran Di Netflix? Douglas Lim Boleh Ajarkan Caranya!
Kadang-kadang sampai setengah jam di depan kaca televisyen sambil mencari filem atau siri yang ada dalam Netflix untuk ditonton, tapi masih buntu tiada lagi pilihan yang dapat memenuhi citarasa dalam menonton.
baru-baru ini Netflix telah meminta pelawak terkenal Malaysia, Douglas Lim untuk menjawab beberapa persoalan yang sering dikirim terus kepada mereka bertanyakan perihal yang sama, ia mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi anda setiap kali membuat pilihan rancangan kegemaran.
Ini adalah cara yang boleh anda ikuti untuk mencari rancangan kegemaran anda di Netflix!
1. Apa itu Netflix dan peranti apa yang boleh saya gunakan untuk menontonnya?
Netflix adalah sebuah platform penstriman di mana anda boleh menonton pelbagai rancangan hiburan daripada filem hinggalah drama bersiri, rancangan varieti, dokumentari dan banyak lagi merangkumi pelbagai genre serta bahasa yang berbeza. Apa yang menariknya ialah anda boleh menonton Netflix pada SEBARANG peranti! Telefon pintar, tablet atau TV, semua pun boleh!
- Bagaimana saya mendaftar untuk melanggan Netflix dan bolehkah saya membuat pembayaran tanpa kad kredit?
Untuk mendaftar, anda cuma perlu pergi ke www.netflix.com dan mengisi butiran maklumat anda, pilih pelan langganan anda dan siap, anda sedia untuk menonton! Senang je. Oh ya, anda boleh membayar tanpa kad kredit atau kad debit. Apa yang anda perlu lakukan ialah sama ada memilih untuk memasukkan bil anda ke dalam bil penyedia perkhidmatan mudah alih anda atau membayar menerusi bil pasca bayar anda. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk melakukannya, anda boleh menghubungi talian khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi anda untuk mendapatkan bantuan. Anda juga boleh membeli kad hadiah di kedai serbaneka yang berdekatan dan masukkan kod dengan pergi ke Akaun>Tebus kad hadiah atau kod promo.
- Adakah perbezaan besar di antara pelan-pelan yang ditawarkan?
Pelan-pelan yang berbeza ditawarkan bagi memenuhi keperluan berbeza. Jika anda malas nak melihat dan menyemak apa yang ditawarkan oleh setiap pelan, jangan bimbang, kami akan ringkaskan untuk anda:
Pelan Mudah Alih: Pelan yang terbaik untuk mereka yang sentiasa dalam perjalanan, pelan mudah alih ini membolehkan anda menstrim SEMUA yang ada di dalam katalog Netflix menggunakan telefon mudah alih atau tablet anda. Anda boleh menstrim video pada Definisi Standard (yang sesuai untuk peranti mudah alih). Anda hanya boleh menstrim dengan menggunakan sebuah peranti pada satu masa dan ciri-ciri seperti ‘muat turun pintar’.
Pelan Standard: Pelan ini membolehkan anda menstrim menggunakan mana-mana telefon, tablet, komputer atau TV dalam Definisi Tinggi (HD). Anda boleh menstrim menggunakan dua peranti pada satu-satu masa, bermakna anda tidak lagi perlu berebut untuk menonton rancangan kegemaran anda.
Pelan Premium: Jika dua skrin tidak mencukupi (terutama sekali jika anda berkongsi dengan keluarga besar), maka pelan premium adalah pilihan yang terbaik untuk anda kerana ia membolehkan anda menonton di empat skrin berbeza pada satu masa, semuanya dalam Definisi Ultra Tinggi/4K! Sesuai jika anda menginginkan pengalaman menonton yang memuaskan!
- Adakah cara untuk mengawal apa yang anak-anak saya tonton?
Salah satu ciri-ciri terbaik perkhidmatan kami ialah anda boleh menetapkan profil berbeza. Ini bermakna, anda bukan sahaja boleh memastikan pengesyoran rancangan disesuaikan mengikut kegemaran anda, tetapi anda juga boleh menetapkan profil berbeza untuk anak-anak (menerusi Pengurusan Profil) yang sesuai dengan mereka. Anda juga boleh menghalang anak-anak daripada mengakses ke dalam profil anda dengan menggunakan PIN Profil yang terdiri daripada nombor 4 digit yang boleh anda aktifkan supaya anak-anak anda tidak mendapat akses ke profil anda.
5. Bagaimana untuk mendapatkan rancangan kegemaran saya di dalam Netflix?
Ya, kami memahami kekecewaan yang anda alami apabila anda pergi ke Netflix untuk mencari rancangan kegemaran anda dan mendapati ia masih belum ada di dalam platform ini! Anda hanya mahu menonton sepuas-puasnya rancangan kegemaran anda itu. Kami faham. Sakit hati dibuatnya. Jika anda fikir ada rancangan yang sememangnya perlu ditayangkan di Netflix, sila pergi ke www.help.netflix.com/titlerequest dan minta kami dapatkan rancangan kegemaran anda. Macam biasa, anda tidak semestinya dapat apa yang diminta, tetapi tidak salah kalau mencuba, mana tahu nasib anda baik!
Kini anda telah mengetahui apa yang berlaku di dalam DM kami. Saksikan bagaimana Douglas Lim membantu menjawab segala persoalan anda DI SINI serta ikuti kami di @netflixmy dan beritahu kami sama ada dia patut kekal sebagai Ketua Bahagian Pertanyaan (CHOI) kami, boleh?
Psst: Jangan percaya cakapnya yang kononnya dia akan mendapat rancangan istimewanya sendiri, ingat tu?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI