Pendarahan dari faraj ketika mengandung boleh jadi petanda sesuatu yang serius pada ibu atau janin. Berhati-hatilah ibu-ibu semua, walau pun secalit. Jangan ambil mudah dan hanya berteka-teki sendiri.
Pendarahan atau bleeding masa hamil perlu dirujuk ke hospital dengan segera. Ia bukan perkara yang boleh dipandang ringan, tidak kira sebanyak mana pun kuantitinya. Dr Rusyainie Ramli berkongsi info mengenai perkara ini.
PENDARAHAN DARI FARAJ KETIKA MENGANDUNG?
Apa juga pendarahan yang keluar dari faraj semasa mengandung wajib pergi jumpa doktor.
Kalau dah jumpa doktor, tapi tak berapa nak faham dengan penerangan dia, tanyalah sampai puas hati. Balik ke rumah mesti dengan pengetahuan yang penuh pasal apa berlaku pada kalian. Dan tak payah lah nak tanya serata alam pasal masalah kalian.
Kalau masih macam ada benda kurang dengan apa yang doktor cakap tu, pergi cari doktor lain. Dan lain doktor sampai dapat jawapan yang meyakinkan.
Tolonglah. Saya merayu jangan jadikan media sosial sebagai tempat rujukan. Ramai sangat makcik, kakak, nenek dan adik bawang yang hujungnya bagi ajaran sesat kang.
Pendarahan melalui faraj pada usia kandungan kurang dari 12 minggu berlaku dalam anggaran ¼ daripada wanita yang hamil. Maka ia dianggap perkara yang biasa namun masih tak boleh dipandang ringan.
PUNCA PENDARAHAN PADA TRIMESTER PERTAMA
Pendarahan dari faraj pada semester pertama kehamilan berpunca dari:
#1. PENEMPELAN EMBRIO
Pendarahan disebabkan penempelan embrio di dinding rahim – biasanya sangat sedikit, tapi berlaku di antara hari 6 – 12 selepas persenyawaan berlaku. Kerana ia berlaku sekitar kitaran haid patut bermula, ramai menganggap ianya haid, sedangkan sebenarnya dia mengandung.
#2. KEGUGURAN
Keguguran – ½ dari wanita yang mengalami pendarahan melalui faraj pada semester pertama kehamilan, benar-benar keguguran. Yang selebihnya, kandungan masih berterusan dan ia boleh dikenalpasti melalui ultrasonografi. 1/5 wanita hamil boleh mengalami keguguran dan biasanya ia dikaitkan dengan kandungan itu tidak normal tetapi ia tidak bermakna wanita itu tidak boleh mendapatkan fetus yang sihat pada kandungan seterusnya.
Ads
#3. KANDUNGAN LUAR RAHIM
1 dalam 60 wanita hamil boleh mengalami keadaan begini. Embrio sepatutnya menempel di dalam rahim. Malangnya, ia terjadi di luar rahim, biasanya di dalam tiub Fallopio. Tiub Fallopio tidak dapat menampung fetus yang semakin membesar disebabkan tidak cukup nutrisi, tiub Fallopio pecah dan seterusnya berlaku pendarahan dalam ruang abdomen. Ini adalah KES KECEMASAN dan ia mesti ditangani segera di hospital. Simptom biasanya bermula dengan sakit di bawah abdomen, pendarahan melalui faraj dan sekiranya lambat mendapatkan rawatan, ia boleh mengancam nyawa.
#4. KANDUNGAN MOLAR
Kandungan molar juga dikenali sebagai kandungan anggur. Dalam bahasa perubatan dipanggil Molar Pregnancy atau Gestational Trophoblastic Disease. Ia boleh dikesan melalui ultrasonografi.
#5. KEADAAN PANGKAL RAHIM
Disebabkan pangkal rahim menjadi lebih lembut dan lebih sensitif ketika mengandung, ia lebih mudah mengalami sedikit pendarahan ketika hubungan intim.
#6. JANGKITAN
Jangkitan pada faraj, pangkal rahim dan rahim juga boleh menyebabkan pendarahan melalui faraj.
Ads
PUNCA PENDARAHAN PADA TRIMESTER PERTAMA & KEDUA
Pendarahan melalui faraj pada trimester kedua dan ketiga adalah tidak normal dan mesti mendapatkan rawatan segera di hospital. Ia biasanya berkaitan dengan masalah pada uri.
#1. Placenta praevia
Placenta praevia – apabila uri melekat secara separa atau pun sepenuhnya menutup bukaan pangkal rahim. Ia merupakan 1/5 daripada pendarahan melalui faraj pada semester ketiga. Risiko nak mengalami masalah ni meningkat apabila wanita pernah menjalani pembedahan Caesarean, mengandung lebih dari 1 janin dan sebelum ni pernah ada keadaan yang sama.
#2. Placenta abruptio
Placenta abruptio – terjadi apabila uri lekang dari dinding rahim secara pramatang dan menyebabkan darah berkumpul dengan banyak di antara dinding rahim dan uri. Wanita lebih mudah mengalami uri lekang sekiranya mengalami darah tinggi yang tidak terkawal, merokok dan kemalangan atau trauma pada abdomen. Sekiranya dia pernah mengalami placental abruption sebelum ini, risikonya lebih tinggi untuk ianya berulang.
#3. Rahim pecah
Rahim pecah – menyebabkan bayi berada dalam ruang abdomen, sepenuhnya atau sebahagian. Sebab risiko nilah, wanita yang pernah bersalin melalui Caesarean dinasihatkan untuk menjarakkan kehamilan dan penggunaan ubat untuk membantu kontraksi digunakan dengan sangat berhati-hati. Wanita yang mengandung lebih dari 4 kali dan rapat-rapat juga berisiko untuk mengalami rahim pecah.
Ads
#4. BERSALIN PRAMATANG
Bersalin pramatang – pendarahan yang datang sekali dengan lendir dari faraj, dalam bahasa perubatan dipanggil show, yang disertai dengan tanda-tanda untuk bersalin.
Pendarahan melalui faraj boleh terjadi dengan setakat hanya sedikit atau menjadi banyak sehingga mengancam nyawa wanita dan bayi dalam kandungan. Pendarahan biasanya disertai dengan sakit di bahagian abdomen yang boleh menjadi terlalu teruk. Sekiranya pendarahan tu banyak, wanita itu boleh mengalami simptom seperti jantung berdenyut laju, susah bernafas, pening kepala dan rasa seperti mahu pengsan.
PERLU TAHU JUMLAH DARAH HILANG & SIMPAN TISU/JANIN YANG TERKELUAR
Penting untuk wanita yang yang mengalami pendarahan melalui faraj ketika hamil untuk mengetahui jumlah sebenar darah yang mereka hilang. Bagaimana?
Dengan menggunakan tuala wanita. Bukan tampon. Kira berapa banyak tuala wanita yang dah digunakan.
Kalau ada ketulan tisu atau janin yang keluar dari faraj, bungkus baik-baik dalam kain dan bawa ke hospital.
PERLU CEPAT KE HOSPITAL JIKA BERLAKU PENDARAHAN
Kalau berlakunya keadaan begini, apa yang mesti kena buat?
Pergi hospital!
Tak adanya nak tunggu-tunggu. Ini termasuk dalam kategori kes kecemasan terutamanya kalau pendarahan berlaku selepas kandungan mencecah 28 minggu.
Kalau pendarahan tu banyak dan sakit abdomen yang tak dapat ditahan lagi, dan tak ada siapa nak bawa ke hospital, telefon saja 999.
Untuk hamil, sebaik-baiknya ibu-ibu perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Sekiranya baru bersalin, pastikan tubuh pulih sepenuhnya dan menyusukan bayi. Dr Muhammad Izzat menerangkan mengenai menggunakan kaedah perancangan keluarga untuk menjarakkan kehamilan dan jenis-jenisnya.
Apabila seorang ibu hamil, ia bermakna tubuhnya akan bekerja keras untuk menyokong perkembangan janin. Sekiranya tidak bersedia dari segi mental dan fizikal, maka ia mungkin boleh menggugat proses kehamilan dan meningkatkan risiko pelbagai komplikasi.
Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan berkongsi info mengenai kaedah merancang keluarga yang boleh digunakan untuk menjarakkan kehamilan.
Perancangan keluarga perlu bagi setiap pasangan supaya setiap kehamilan itu dihargai. Perancangan keluarga perlu untuk menjarakkan anak, supaya ibu dapat pulih sepenuhnya.
SEBAB PERANCANG KELUARGA PERLU
Sekiranya ada luka jahit sewaktu bersalin, luka dapat pulih dengan sempurna. Ia juga dapat menggalakkan penyusuan susu ibu yang lebih lama dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk hamil lagi, bukannya hamil secara ‘tidak sengaja’
Kebanyakan wanita keliru dengan kaedah untuk merancang keluarga. Sekiranya ujian air kencing menunjukkan positif hamil, sudah terlambat untuk melakukan kaedah perancangan keluarga.
Setiap keluarga berhak mempunyai bilangan anak yang mereka idamkan, tetapi jarak diantara satu anak dengan anak yang lain boleh dirancang dengan menggunakan kaedah-kaedah perancang keluarga
JENIS KAEDAH PERANCANG KELUARGA
Berikut, merupakan antara kaedah yang boleh digunakan. Sila pastikan anda memahami setiap kaedah dan risikonya sebelum membuat keputusan.
Anda boleh gunakan kaedah-kaedah pencegah kehamilan berikut ketika anda masih menyusukan bayi:
Kondom untuk lelaki atau wanita;
Pil mini;
Suntikan;
Implan;
Alat intrauterine (IUD)
#1 KONDOM
Kondom adalah kaedah yang paling mudah digunakan, samada anda masih menyusu badan ataupun tidak. Kondom untuk wanita diletakkan di dalam faraj sebelum melakukan hubungan kelamin. Kondom untuk wanita mungkin tidak begitu selesa berbanding kondom untuk lelaki. Jika digunakan dengan betul, kondom untuk lelaki adalah 98 peratus berkesan dan kondom untuk wanita 95 peratus berkesan.
Anda mungkin dapati faraj anda sedikit kering selepas bersalin. Jika anda mahu bersama suami tetapi rasa kurang selesa kerana kekeringan, cuba gunakan jel pelincir. Jeli ini haruslah larut air (water-based) supaya ia tidak membocorkan kondom.
#2 PIL MINI (MINI PILL)
Anda boleh guna pil mini jika anda masih menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu bekalan susu anda. Anda boleh mula mengambilnya 21 hari selepas bersalin.
Pil mini juga dikenali sebagai pil progestin (progestogen-only pill – POP). Ia mengandungi hormon progesterone sintetik . Pil mini adalah lebih daripada 99 peratus berkesan. Namun untuk ia memberi kesan seperti ini, anda perlu mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari. Ini boleh jadi sukar jika anda sibuk menjaga bayi yang baru lahir. Mungkin tidak sesuai untuk wanita yang pelupa dan seumpama denganya.
#3 SUNTIKAN
Suntikan berkesan selama beberapa minggu. Terdapat dua jenis suntikan:
Depo-Provera, yang berkesan selama 12 minggu
Norethisterone – yang berkesan selama 8 minggu
Jika anda aktif menyusu badan, sebahagian kecil progestogen akan dirembeskan ke dalam susu ibu. Walaubagaimanapun kuantiti yang sedikit ini tidak akan membahayakan bayi anda.
Adalah lebih baik untuk menunggu sehingga 6 minggu selepas bersalin sebelum mula mengambil suntikan. Ini bagi mengurangkan kemungkinan haid anda jadi tidak menentu dan darah keluar dengan banyak. Masalah pendarahan adalah salah satu keburukan kaedah ini.
Kaedah suntikan semakin popular kebelakangan ini kerana keberkesanannya yang tinggi (lebih daripada 99 peratus) dan mudah untuk didapati. Tetapi jika anda mahu hamil lagi dengan segera selepas berhenti menggunakan pencegah kehamilan, kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Hal yang demikian kerana kesuburan anda akan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali sediakala.
#4 IMPLAN
Kaedah implan kekal selama tiga tahun, jadi anda perlu fikir masak-masak samada ini adalah kaedah yang sesuai untuk anda. Dalam kaedah implan, Nexplanon yang berupa tiub plastik fleksibel yang kecil dan nipis bersaiz kira-kira 4 cm panjang dan berdiameter 2mm akan dimasukkan ke bawah lengan.
Tiub ini mengandungi hormone progestogen. Anda boleh mengambil implan 21 hari selepas bersalin. Anda masih boleh menyusu badan kerana hanya sedikit sahaja progestogen yang masuk ke dalam susu anda, dan selamat untuk bayi
Doktor akan memasukkan implan ini ke bawah lengan anda. Ia boleh dikeluarkan apabila anda mengambil keputusan untuk menukar kaedah mencegah kehamilan atau apabila anda mahu cuba untuk hamil lagi. Kaedah implan berkesan lebih daripada 99 peratus.
#5 ALAT DALAM RAHIM
Alat dalam Rahim (intrauterine device) atau IUD boleh digunakan selama 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis yang digunakan.
Anda boleh mula menggunakan IUD pada bila-bila masa daripada empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan memasukkannya untuk anda. Anda boleh menggunakan IUD samada anda bersalin secara normal atau caesarean. Keberkesanan IUD adalah lebih daripada 99 %
Jangan Terlalu AWAL
Jangan Terlalu LEWAT
Jangan Terlalu RAPAT
PESANAN DOKTOR
Setiap Anak…..
Yang dianugerahkan oleh Allah adalah anak yang diingini dan ditunggu-tunggu oleh kedua ibu bapanya
Setiap Anak….
Berhak menikmati kehidupan berkeluarga yang aman dan bahagia
Setiap Anak….
Adalah anak yang dikehendaki dan disayangi
Setiap Kehamilan…
Adalah kehamilan yang dirancang, bukannya kehamilan secara ‘accident’
Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sentiasa menjadi perhatian ramai terutama dalam mendidik anak-anaknya. Malah khabar gembira mengenai kehamilan ketujuh Dr Halina juga buatkan semua orang kagum dengan pasangan suami isteri ini.
Terkini menerusi satu video yang dikongsikan di instagram Dr Sheikh Muszaphar, beliau menunjukkan momen isterinya sedang membuat pemeriksaan kehamilan bersama Pakar Obstetrik, Dr Imelda Balchin.
Menurut Dr sheikh Muszaphar, usia kandungan Dr Halina dah memasuki 10 minggu. Namun memandangkan Dr Halina kini mengandung di usia 42 tahun, risiko dan komplikasi lebih tinggi untuk ibu dan bayi.
Disebabkan itu, Dr Sheikh dan Dr Halina bersepakat untuk membuat pemeriksaan dengan Dr Imelda yang sememangnya dikenali antara pakar terbaik.
“Pemantauan secara terperinci perlu dilakukan selain untuk mengetahui apa perkara yang boleh dan tak boleh dilakukan sepanjang kehamilan di usia 40-an ini.
“Penjagaan pemakanan sangat penting untuk pastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan baik. Selain itu, senaman semasa hamil juga satu kemestian dan perlu dijadikan rutin.
“Ini kerana kebanyakan ibu hamil, masalah diabetes dan hipertensi adalah komplikasi yang biasa berlaku dan memerlukan penjagaan rapi untuk mengelakkan masalah lain,” kongsinya.
Tambah Dr Sheikh Muszaphar lagi, melalui hasil pemeriksaan kandungan, bayi berada dalam keadaan baik dan jantungnya juga kuat.
“Mommy perlu kuat dan daddy juga akan kuat untuk bantu apa yang patut terutama dalam menguruskan enam anak.
“Awak rehat ye sayang, masih jauh lagi perjalanan kerana kalau ikutkan due date pada 22 Julai. Sekarang rehat secukupnya. Segala alahan pasti akan jadi lebih baik. Nanti loya dan muntah akan beransur hilang.
“Di kesempatan ini nak ucapakan juga Selamat Hari Lahir buat Dr Halina hari ini (28 Disember).
“Ibu kepada anak-anak saya, tonggak kekuatan saya. Segala-galanya bagiku, semoga kita tua bersama. Till Jannah,” titipnya.
Dalam pada itu, Dr Sheikh juga turut memberitahu setakat ini hasil scan yang dilakukan, bayi dalam kandungan Dr Halina bukan kembar. Belia juga sempat berseloroh mungkin akan dapat anak kembar pada masa akan datang.
Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010 dan telah dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, kembar lelaki, Sheikh Adam dan Sheikh Noah, serta sepasang kembar, Eusoff dan Emilia.
Kehamilan boleh menjadi suatu yang membebankan bagi sebahagian wanita kerana pelbagai perubahan yang dirasai pada tubuh. Buasir adalah antara masalah yang menyukarkan, mengakibatkan bengkakan dan kesakitan di bahagian faraj.
APAKAH ITU BUASIR?
Ia adalah saluran darah yang membengkak di bahagian rektum. Ia boleh menjadi sebesar saiz kacang atau anggur. Buasir ini boleh membesar di dalam faraj atau tersembul keluar melalui dubur. Ia adalah biasa ketika hamil.
Pembesaran saiz rahim membuatkan urat di bahagian pelvis dan vena cava inferior tertekan, mengakibatkan pengaliran kembali darah dari bahagian bawah tubuh menjadi perlahan. Urat-urat di bawah kawasan rahim akan tertekan dan mula membengkak.
Tambahan pula, pertambahan progesteron ketika kehamilan menyebabkan dinding urat menjadi lembut, memudahkan ia untuk membengkak.
Buasir adalah sangat biasa berlaku ketika trimester ke tiga kehamilan atau ketika bersalin pada tahap kedua.
5 TIP ELAKKAN BUASIR KETIKA HAMIL
Kebiasaannya, buasir menyebabkan kesakitan dan pendarahan ketika hamil. Bagaimanapun, ia akan berlalu selepas anda bersalin asalkan anda tidak sembelit. Bagaimanakah untuk mengelakkan buasir? Pertama sekali, anda boleh cuba untuk mengelakkan masalah sembelit dengan cara:
Ambil makanan yang tinggi kandungan serat atau fiber.
Minum banyak cecair dan jus buah prun
Makan buah-buahan dan sayur-sayuran
Jangan menahan air besar
Minum banyak air.
3 PERKARA DIELAKKAN BAGI WANITA HAMIL YANG MENGALAMI BUASIR
a)Elakkan daripada duduk terlalu lamadi dalam tandas kerana kawasan rektum mungkin akan mengalami tekanan.
b)Amalkan senaman kegel setiap hari. Senaman jenis ini akan membantu meningkatkan pengaliran darah ke bahagian rektum dan menguatkan otot punggung, maka mengurangkan risiko masalah buasir. Otot-otot di bahagian faraj dan uretra juga akan menjadi semakin kuat, membantu proses pemulihan selepas bersalin.
c)Elakkan berdiri atau duduk diam untuk tempoh terlalu lama. Sebaliknya, cuba untuk bergerak beberapa minit dalam setiap jam. Ketika tidur atau menonton TV, cuba berbaring di sisi kiri untuk mengurangkan tekanan pada urat-urat di bahagian rektum dan meningkatkan peredaran kembali darah dari bahagian bawah tubuh.
3 TIP HADAPI BUASIR SEMASA HAMIL
#1: Terapi sejuk: Letakkan pek ais dengan lapik yang lembut di bahagian yang sakit beberapa kali sehari.
#2: Terapi panas: Rendamkan bahagian bawah tubuh dalam tab yang dipenuhi air suam selama 10 ke 15 minit, beberapa kali sehari.
#3: Pastikan kawasan yang berdarah tersebut bersih selepas setiap kali membuang air dengan menggunakan tisu tandas yang lembut dan tiada pewangi (tisu jenis ini kurang kerengsaan berbanding tisu biasa)
Anda boleh meminta daripada pakar kesihatan anda ubat anestetik topikal atau suppositori yang boleh digunakan ketika hamil.
Selepas insiden membawa dua lelaki ke dalam rumah, kali ini pempengaruh doctor selebriti, Dr Say diuji sekali lagi bila mana pembantu rumahnya mengasari anak ketiganya yang baru berusia 10 bulan.