Akhirnya selepas beberapa hari berada di wad untuk melahirkan bayi keenamnya, Yatt Hamzah selamat melahirkan bayi lelaki pertamanya pada Sabtu lalu.
Berkongsi cerita mengenai kelahiran anak keenamnya, Yatt terpaksa dikejar ke hospital dan di induce bagi memudahkan kelahirannya gara-gara air ketubannya yang semakin berkurang.
Hampir tiga hari berada di wad, akhirnya pada Sabtu lalu, Yatt selamat melahirkan bayi lelaki pertamanya. Menariknya kata Yatt, dia hampir-hampir terpaksa di bedah namun doanya tak pernah putus pada Allah dan dia bersyukur dapat bersalin secara normal.
“Jam 11 malam semalam hampir-hampir masuk ke OT untuk dibedah (caesarean), dengan kuasa YG MAHA BESAR, pada saat-saat akhir, dapat juga melahirkan secara normal genap jam 11.16 malam, 3 July 2021 (Sabtu), setelah hampir 3 hari di wad. Pengalaman yang luar biasa, hebatnya kuasa doa. Allahuakhbar,” kongsi Yatt menerusi Instagramnya.
Malah kata Yatt lagi, dia amat bersyukur kerana akhirnya Allah mengurniakannya rezeki untuk punya anak lelaki.
Ads
“Alhamdulillah Bonda ini telah selamat melahirkan anak ke 6 (1 di Syurga), inilah anak lelaki pertama Bonda.
“Satu-satunya anak lelaki. Terima kasih semua keluarga, sahabat-sahabat dan followers Bonda yang baik hati telah mendoakan keselamatan baby dan Bonda. Allah sahaja yang tahu betapa bersyukur dan leganya hati ini.
Paling utama doa suami @zulfadhli_khiruddin.
Genap 1 hari usia Baby Boy Bonda ni pada jam 11.16 malam ini. Alhamdulillah.. Syukur Alhamdulillah. Doakan juga Baby terus sihat dan jadi anak yang Soleh, Pejuang Agama.
Ads
In shaa Allah nanti Bonda akan share perjalanan di Labour Room dan betapa besarnya KUASA DOA. Tapi sekarang Bonda dan baby nak rehat dulu ya.
Terdahulu, Yatt mendirikan rumah tangga bersama juruvideo, Mohammad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016. Pasangan ini dikurniakan dengan empat orang cahaya mata, Suci Humaira Iqima, Suci Hayfa Medina, Suci Hawa Zulaikha serta seorang bayi lelaki.
Melalui perkahwinan terdahulunya, Yatt turut mempunyai seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @yatthamzah_suci
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu bapa perlu tahu cara yang betul ketika menjaga tali pusat anak sebelum tertanggal. Penjagaan yang betul amat penting untuk mengelakkan tali pusat anak terkena jangkitan kuman.
Doktor Taufiq Razif berkongsi tentang cara-cara menjaga saki baki tali pusat anak dengan cara yang betul dan kenal pasti jangkitan yang berlaku. Ilmu ini wajib ibu bapa tahu untuk elak sebarang komplikasi yang boleh berlaku. Ikuti perkongsian ini;
SEMUA MAK AYAH KENA TAHU ILMU TENTANG TALI PUSAT NI
Gambar tali pusat anak saya yang berumur 10 hari.
Ni saya nak kongsi ilmu nak tahu tempat tali pusat baby kita tu ada jangkitan ke tak. Cuba tengok di bahagian perlekatan tali pusat tu:
Kalau TAKDE, Alhamdulillah tapi kalau ADA, kena pergi periksa cepat-cepat. Ada kemungkinan tali pusat tu dah kena jangkitan.
Ni ada beberapa benda yang kita TAK BOLEH buat supaya tali pusat anak kita tu tak kena jangkitan.
Semakin ramai ibu bapa yang memilih untuk sunatkan bayi lelaki sejak kecil lagi. Tetapi sebelum melalui proses sunatkan bayi anda perlu tahu apa yang patut dibuat.
Semuanya bertujuan untuk menjadikan proses sunatkan bayi lelaki lebih mudah dan berjalan lancar. Maka ibu bapa sendiri perlu melakukan persediaan rapi.
Bahkan semasa proses tersebut berlangsung juga, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk membuatkan anak bertenang.
Pengalaman dilalui oleh ibu muda ini, Puan Fatin Izzati boleh dijadikan panduan berguna oleh ibu bapa lain yang merancang untuk sunatkan bayi lelaki mereka.
Mudahnya Khatan Bayi Lelaki !
Actually usia 5 bulan tu dah terlewat sebab ada orang kata doctor tak terima kalau awal sangat. Haish. Tapi bila sampai klinik, doktor tanya ”kenapa lambat sangat hantar?”
Kita digalakkan bayi lelaki dikhatankan secepat yang mungkin selepas lahir. Ikut sunnah Nabi SAW, cucu baginda hassan dan hussin dikhatankan pada hari ke-7.
Kebanyakkannya kita di Malaysia kalau nak sunatkan anak lelaki mesti tunggu dah besar. Tapi bukan di negara barat.
Amalan ini dah popular di negara2 barat, walhal mereka bukan Islam. Mereka tahu faedah besar amalan berkhatan ni. Di Amerika, bayi lelaki dikhatankan sejurus selepas lahir.
Ini antara teknik-tekniknya : i) Laser ii) Smart Klamp iii) Plastibel iv) Tissue Glue
Ahmad khatan guna teknik kedua, clamping. Sehari lepas khatan pergi klinik semula untuk bukak. Lepas tu jaga macam biasa.
Kenapa sunatkan Ahmad awal ?
~ Of course sebab nak ikut sunnah, even tahu dah lewat. ~ Komplikasi di kalangan bayi lebih rendah, berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia tua. ~ Kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas kebiasaannya lebih lasak dan pada usia ini mereka sudah merasai kesakitan. ~ Proses penyembuhan bayi lebih cepat mengambil masa kira-kira 5-7 hari sahaja berbanding dengan kanak-kanak berusia 6 tahun keatas. ~ Proses berkhatan mudah sebab anak tak tahu pun dia tengah khatan. Doktor nak buat kerja pun senang. Sekejap je siap. ~ Proses penjagaan pun senang, tak banyak kerenah. Tak ada berpantang makan, cuma Ahmad kan breastfeed. So, umminya lah kene pantang sikit. Biasa je. ~ Lepas khatan Ahmad boleh meniarap macam biasa, mandi macam biasa, tak demam, lepas mandi just sapu krim. ~ Dalam masa 7 hari, Ahmad dah sembuh betul.
Sehari lepas khatan meniarap boleh macam biasa. Itu food feeder berisikan kurma.
NOTA KAKI : Normal untuk 2-3 hari awal pampers dia akan ada kesan darah sikit sebab luka masih basah. Pampers anak wajib ditukar setiap 2 jam walaupun tak penuh untuk elakkan jangkitan dan kawasan luka menjadi lembap. Kalau penuh awal, lagi wajib tukar.
Persediaan sebelum & semasa khatan bayi lelaki.
Sebelum,
1. Sebelum bawa anak berkhatan, make sure dia kenyang, cukup tidur, dah buang air besar & kecil.
2. Standby puting kalau ada.
Semasa,
NOTA KAKI : Bayi akan menangis masa doktor masuk ubat bius jadi ibu ayah jangan cepat panik. Bertenang dan cuba bermain dengan anak bagi dia rasa relaks saja.
**Prosedur lepas khatan, doktor suruh standby untuk bagi susu. Cara dukung bayi selepas berkhatan pula macam dalam gambar kat bawah ini. Bahagian kemaluan yang dikhatan kena menghadap ke depan supaya tak terkena kawasan luka. Pastikan anak pakai diaper yang sedikit longgar.
Kos dan tempat berkhatan bayi lelaki.
Kami khatankan Ahmad di Klinik Kamal, Kg Pasir Johor Bahru. Dekat dengan Plaza Angsana.
Highly recommended ! Doktor dia very fatherly dan nurse dia pun baik lemah lembut budi pekerti gitu. Doktor kamal terima bayi untuk dikhatankan dari usia dalam pantang. Boleh call dulu untuk buat appointment sebelum datang. Kos berkhatan teknik clamp RM200 siap ubat.
Jom ikut sunnah ! Sunnah tak pernah memudharatkan. InshaAllah, kita akan dapat lihat anak lebih matang dan lebih cerdik. Selamat berkhatan kepada yang nak bawak anak berkhatan. Prosedur khatan bayi lelaki mudah je.
Semoga perkongsian ini bermanfaat…
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!