Penggunaan Baby Wipes Perlu Dielakkan Jika Air Masih Ada! Ini Penjelasan Ustaz

Share

Senang betul guna baby wipes, cepat dan mudah nak lap baby masa tukar pampers. Tapi sedarkah papa mama semua, penggunaan baby wipes perlu dielakkan jika sumber air yang mengalir masih ada. Jika papa mama nak guna baby wipes, selepas itu harus menggunakan air yang mengalir

Kadang-kadang bukan tak tahu tapi terlupa tentang hukum. Benda-benda instant nampak memudahkan papa mama tapi haruslah mengikut landasan agama yang telah ditetapkan. Perkongsian dari facebook Ustaz Syed Shahridzan boleh dijadikan panduan dan peringatan kepada papa mama semua.

HUKUM GUNA TISU BASAH (BABY WIPES)

Ustaz..mohon bg penerangan tentang mengelap kotoran dengan wet tissue boleh tak? Sebab ramai kaum ibu yang guna sewaktu tukar pampers bayi…terutama sewaktu musafir. Terima kasih banyak2 ustaz.

JAWAPAN:

Mengelap kotoran yang dalam kategori najis dengan tisu basah(baby wipes) mesti dielakkan ia tidak menepati syarat-syarat penyucian sesuatu dari najis.

Najis bayi (selain mukhaffafah) termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana syarat pembersihannya mestilah menghilang ain(objek) dan seluruh kesan-kesannya iaitu bau warna dan rasa.

Syarat Penyucian

Syarat penyucian najis mutawassitah jika melibatkan air yang sedikit mestilah air itu bersifat mendatang(curah) kepada najis tidak kira dari arah mana sekalipun. Ini bermakna benda yang bernajis tidak boleh direndam ke dalam air yang sedikit, maka proses penyucian tidak sah. Perkara ini disebut di dalam kitab-kitab fiqh antaranya “Taqrirat Sadidah”:

أن يكون الماء واردا غير مورد، أي يرد الماء على النجاسة لا العكس.

Maksudnya: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya”.
.

Syarat lain yang mesti dipenuhi untuk menyucikan sesuatu benda dari najis mutawassitah adalah air itu mestilah bersifat mengalir sepertimana disebut di dalam kitab ‘al-Yaqut al-Nafis:

بجري الماء على ما تنجس بها

Maksudnya: “Dengan mengalirnya air ke atas seuatu yang ternajis dengannya(najasah)”.

Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi menurut mazhab Syafi’ie adalah membersihkan sesuatu dari najis dengan air mutlak(air paip dan seumpamanya). Tidak boleh menggunakan air yang bercampur dengan bahan lain seperti sabun, clorox dan seumpamanya. Perkara ini disebut di dalam kitab “Matan Abi Syuja'”:

وطاهر غير مطهر وهو الماء المستعمل والمتغير بما خالطه من الطاهرات

Maksudnya: “Jenis air yang suci tetapi tidak menyucikan iaitu air mustakmal dan air yang berubah sifatnya dengan bercampur dengan bahan-bahan yang suci”.

Berbalik kepada isu baby wipes, jelas ia tidak menepati syarat-syarat di atas. Ini kerana meskipun tisu itu basah tetapi sifat air itu tidak mengalir ke atas benda yang bernajis, malah tisu itu hanya sekadar basah, iaitu jika diperah sekalipun ia tidak mengalirkan air.

Syarat lain yang tidak ditepati oleh baby wipes ialah air yang digunakan bukan terdiri dari air mutlak. Ini kerana basahan tisu itu terdiri dari cecair yang bercampur dengan bahan kimia dan bukannya tulus air mutlak(air paip dll).

Cadangan

Cadangan yang terbaik, boleh menggunakan baby wipes untuk membersihkan sesuatu yang bernajis seperti kemaluan bayi, tetapi setelah menggunakan ia maka mesti dibilas dengan air mutlak yang mengalir ke atas sesuatu anggota atau benda sehingga hilang kesan-kesan najis.
.

Jika proses tersebut hanya bergantung kepada baby wipes sahaja tidak diiringi dengan bilasan, maka proses penycuian tersebut dikira tidak sah dan bayi itu terus dalam keadaan menanggung najis.

Sebagai maklumat tambahan, maksud air mengalir adalah air yang diletakkan atas sesuatu benda atau anggota, kemudian ia mampu mengajir. Sebagai contoh air di’spray’ ke atas sesuatu benda atau anggota sehingga ia nampak mengalir di atasnya. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam Nawawi berkenaan maksud air yang mengalir di dalam al-Majmuk, iaitu tidak sah berwuduk dengan air salji yang beku kerana ia tidak mengalir maka hendaklah salji itu dicarikan dahulu, namun jika salji itu ditekap atas anggota yang panas lalu salji itu cair(mengalir), maka sah wuduk itu.

Fakta tambahan selepas 2 jam artikel ini dikeluarkan:

Dalam mazhab syafiie ada satu hukum khusus yang dinyatakan iaitu التضمح بالنجاسة iaitu meletakkan sesuatu dengan najis atau membiarkan sesuatu itu dalam keadaan bernajis hukumnya ada haram. Menurut ulama syafi’iyyah lagi sesuatu benda yang digunakan untuk dimanfaatkan oleh manusia atau mana-mana anggota badan manusia dibiarkan dalam keadaan bernajis meskipun bayi sekali pun (yang tidak solat) dan tidak disucikan maka tidak boleh dibiarkan dalam keadaan bernajis. Ini kerana ia adalah berbuatan yang menjijikkan dan jauh dari falsafah kebersihan yang dititik beratkan oleh Islam. Oleh itu, dalam keadaan yang tidak terdesak, perkara sebegini tidak sepatutnya diambil mudah.

Namun tidak dinafikan perkara seperti urusan bayi tidak lari dari keperluan mendesak seperti musafir, jalan jauh dan sakit, jika ia dalam keadaan terdesak sebegini maka ia dibolehkan (baby wipes) dan tidak termasuk hukum haram sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Syubramallisi di dalam hasyiahnya(karangan). Jadi masalah penyucian anggota bayi bukan hanya kaitan bayi itu wajib solat atau tidak tetapi atas alasan-alasan yang disebut di atas.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Sumber: Syed Shahridzan

Published by
NuFa