Pening fikir kos sara hidup buatkan ibu bapa boleh jadi stres. Tapi sebenarnya ada anak ramai memang meriahkan rumah tangga, walau banyak perangai tetapi telatah mereka menghiburkan hati. Tapi mesti ingat perbelanjaan juga ‘meriah’, sesuai dengan jumlah anak yang berderet. Khas untuk ibu-ibu yang mempunyai ramai anak, kami kongsikan tip jimat. Cukup praktikal dan mengelakkan pembaziran.
- Baju warna unisex
Bagi yang memang merancang untuk mempunyai anak ramai, beli baju harian berwarna universal yang boleh dipakai oleh lelaki dan perempuan. Misalnya warna putih, biru dan kuning. Biasanya anak-anak hanya pakai baju sekejap sahaja terutama di peringkat bayi kerana mereka cepat membesar. Simpan pakaian ini dengan elok agar bentuk dan warnanya kekal cantik. Pakaian ini boleh diwariskan kepada anak-anak yang bakal dilahirkan kelak.
- Beli barang secara pukal
Beli barang dapur secara pukal kerana harganya lebih murah. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga. Pilih pasar raya yang menawarkan jualan barang secara borong.
- Mahal sikit tapi berbaloi
Anak yang ramai menuntut ibu bapa berfikiran kreatif dan bijak merancang. Beli barang yang berkualiti tinggi kerana ianya tahan lama. Walaupun harganya mahal sedikit tetapi berbaloi apabila barang ini dapat digunakan secara terus menerus dari anak sulung hingga anak bongsu. Contohnya tab mandi, katil, kereta sorong dan meja kanak-kanak.
- Masak pilihan terbaik
Anak-anak yang membesar memang kerap makan. Justeru sebaiknya ibu memasak menu yang digemari anak-anak. Cara ini lebih jimat, air tangan ibu juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tidak perlu memasak makanan yang sukar, resipi ringkas sudah memadai. Yang penting menu yang disediakan berkhasiat.
- Bungkus makan di rumah
Ada kalanya memang ibu tidak sempat memasak terutama wanita bekerjaya. Mereka tiada pilihan selain membeli makanan di restoran. Nasihat kami, bungkus makanan dan nikmatinya bersama anak-anak dan suami di rumah. Jika beli lauk pauk, masak nasi di rumah. Ia sangat menjimatkan berbanding kita makan di restoran. Kita boleh sediakan air sendiri di rumah. Suasana di rumah juga lebih selesa kerana mudah untuk mengawal anak-anak.
- Menyusu badan sepenuhnya
Apabila mengetahui diri hamil, ibu perlu set minda untuk menyusu badan sepenuhnya anak sehingga usia mereka dua tahun. Ketika hamil makan makanan yang berkhasiat, insya-Allah susu akan banyak. Buat stok susu ketika di dalam pantang, semakin kerap ibu pam susu semakin banyak susu yang dihasilkan. Susu ibu mempunyai semua nutrien yang diperlukan anak, ia juga menguatkan imunisasi badan mereka. Bayangkan berapa banyak wang yang anda jimat berbanding memberi anak minum susu formula. Paling seronok, ibu yang menyusu badan sepenuhnya, rahim akan cepat kecut dan badan kembali langsing.
- Ajar anak tidak pakai pampers
Kos pampers atau lampin pakai buang memang tinggi. Justeru, didik anak agar berdikari ke tandas untuk membuang air kecil dan air besar. Ajar mereka agar tidak memakai pampers. Lebih awal anda ajar, lebih jimat wang anda.
Sumber: ragamanak.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI