Hampir kebanyakan anak-anak suka melukis dan mewarna yang sudah tentunya ibu bapa kena galak anak melukis seawal tiga tahun. Banyak kebaikan mewarna kepada kanak-kanak. Apabila kanak-kanak melukis, mereka belajar cara berkomunikasi menggunakan simbol. Kereta yang dilukis oleh anak kecil mungkin tidak menyerupai kereta sebenar jika dilihat dari sudut pandangan orang dewasa, tetapi sebenarnya mereka belajar cara berkomunikasi idea dan perasaannya. Ikuti info ini yang dibawakan oleh Noorfarahin Bt Muhamad Fadzil, Kolej Perkembangan Kanak-Kanak yang menjelaskan lengkap kenapa ibu bapa perlu galakkan anak-anak melukis.
Melukis merupakan satu perkara yang sangat disukai oleh kanak-kanak malahan ada yang meneruskan minat ini sehingga mereka dewasa. Setiap orang dikurniakan dengan bakat melukis. Garisan atau titik-titik sahaja sudah menunjukkan seni lukisan. Melukis dan lukisan adalah dua perkara yang berbeza. “Melukis” merujuk kepada aktiviti seseorang individu yang sedang melakar suatu bentuk pada kertas, papan, kain atau lain-lain manakala “lukisan” adalah aktiviti melukis yang menggunakan pelbagai bahan untuk menghasilkan kesan bentuk, rupa pada suatu permukaan. Betti dan Sale 1997 menyatakan umumnya lukisan mempunyai empat kepentingan iaitu sebagai tujuan penyelidikan dan kajian untuk melihat suatu peristiwa yang sebenar, tujuan untuk merakam suatu peristiwa, tujuan sebagai alat komunikasi dalam mencari idea yang terbaik, dan seterusnya sebagai data yang menyimpan pelbagai memori kepada pelukis untuk menghasilkan karya yang terbaik.
Melukis akan membantu kanak-kanak memperkembangkan kepekaan dan pengamatan dalam lukisan. Hal ini disokong oleh Kellogs (1967) yang menjelaskan bahawa seni memainkan peranan penting dalam perkembangan holistik kanak-kanak. Aktiviti seni akan memberi pelbagai faedah kepada kanak-kanak. Seni yang dihasilkan akan menunjukkan pemikiran setiap kanak-kanak. Maka keseluruhannya aktiviti seni akan merangsang perkembangan holistik seseorang kanak-kanak tersebut. Perkembangan holistik ini merangkumi perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) bagi setiap individu yang terlibat terutamanya kanak-kanak.
PERKEMBANGAN LUKISAN
1.Bantu menulis dengan sempurna
Aktiviti melukis dapat memperkembangkan kemahiran fizikal kanak-kanak. Proses melukis bentuk atau gambar mempunyai hubungan dengan perkembangan motor halus kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak menggunakan jari tangan untuk melukis. Sekiranya seseorang kanak-kanak itu mempunyai pengawalan yang baik dalam penggunaan jarinya maka ia akan membantu kanak-kanak menulis dan melukis sesuatu gambar dengan lancar, betul dan cantik.
2.Boleh membuat penilaian bijak
Melukis juga dapat membantu perkembangan kognitif kanak-kanak. Aktiviti seni yang tersusun dan mempunyai perancangan yang baik akan melahirkan kanak-kanak yang berupaya menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian bijak.
.Daya imaginasi
Secara tidak langsung aktiviti seni akan menggalakkan daya imaginasi kanak-kanak untuk berfikir bagi menghasilkan karya seni yang baik dan cantik. Perkembangan kognitif kanak-kanak dapat dilihat semasa proses melukis sesuatu bentuk lukisan kerana ketika itu mereka akan berfikir dari segi bentuk lukisan, aplikasi ruang, bahan dan warna yang diperlukan, bilangan garisan dan sebagainya.
4.Komunikasi dua hala
Aktiviti melukis ini dapat meningkatkan tahap kognitif dan sosial apabila berlaku komunikasi dan interaksi antara guru dan kanak-kanak ataupun sesama kanak-kanak. Mereka akan berbincang dan semasa sesi bimbingan oleh guru akan berlakunya komunikasi dua hala.
5.Jana minda
Perkembangan kognitif kanak-kanak akan menggalakkan perkembangan lain iaitu kemahiran menjana idea dan berfikir secara kreatif, manakala aspek sosial dikembangkan melalui pergaulan, sikap dan kerjasama ketika aktiviti melukis dijalankan.
6.Bakat terserlah
Aktiviti melukis juga akan mencungkil bakat kreativiti dalam diri individu dan bakat ini boleh dimulakan sejak umur kanak-kanak lagi. Mengikut Torrance (1979), kreativiti dapat diperkembangkan melalui aspek kelancaran, fleksibiliti, kejelasan dan keaslian. Aspek-aspek ini boleh diaplikasikan semasa aktiviti melukis dan hasilnya dapat diteliti secara jelas. Kreativiti ini akan membawa impak positif kepada semua golongan masyarakat seperti kanak-kanak, ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menjana potensi yang maksima.
7.Luahan emosi
Perkembangan emosi turut terlibat apabila adanya aktiviti melukis. Kanak-kanak akan cuba menterjemahkan atau mengekspresikan emosi mereka melalui lukisan. Terdapat kanak-kanak yang sangat meminati aktiviti melukis kerana golongan ini akan berasa sangat gembira dengan aktiviti tersebut. Perkembangan emosi kanak-kanak akan berlaku dengan sihat melalui aktiviti melukis.
Lowenfeld dan Britain (1982) menyatakan bahawa terdapat enam tahap perkembangan lukisan kanak-kanak bermula peringkat umur 2 hingga 14 tahun.
Peringkat ini dikenalpasti berlaku pada kanak-kanak berumur antara 2 hingga 4 tahun iaitu dimana mereka baru mula belajar memegang pensil. Pada peringkat ini mereka akan membuat contengan rawak yang tidak terkawal pada mana-mana permukaan sahaja. Proses contengan ini akan memupuk minat kanak-kanak terhadap lukisan. Di samping itu peringkat ini membantu meningkatkan koordinasi mata –tangan atau motor halus. Penguasaan aspek ini akan menggalakkan minat melukis kanak-kanak kanak-kanak minat melukis dari peringkat contengan kepada garisan lurus, melintang dan melengkung.
Pada peringkat ini, merangkumi kanak-kanak berumur 4 hingga 7 tahun. Kanak-kanak mula melukis objek disekelilingnya dengan menggunakan garisan putus-putus atau bimbingan. Peringkat ini adalah lanjutan daripada peringkat scribbling.
Pada peringkat ini kanak-kanak mula melukis bentuk objek secara nyata kerana mereka mula terpengaruh untuk menghasilkan imej lukisan seperti yang sebenarnya. Kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 9 tahun akan menghasilkan lukisan yang skema dan terikat dengan konsep yang dilihat.
Kanak-kanak akan terikat untuk melukis tanpa mengubah konsep dan skema objek tersebut. Tetapi pada peringkat ini iaitu antara umur 9 hingga 12 tahun mula berubah apabila kanak-kanak melukis imej secara teliti dan realistik. Mereka juga akan menterjemahkan seni kreativiti mereka dalam bentuk lukisan. Kanak-kanak peringkat ini akan mula membandingkan lukisan mereka dengan rakan-rakannya. Maka mereka akan bersaing menghasilkan lukisan yang cantik dan mula menunjukkan sifat teliti dengan hasil seni mereka.
Perkembangan lukisan pada peringkat ini adalah meliputi kanak-kanak yang berumur antara 12 hingga 14 tahun. Kanak-kanak akan melukis dengan mementingkan konsep realistik semasa menghasilkan lukisan. Mereka akan melukis dengan mengambil kira aspek saiz, kedudukan, warna dan rasional objek yang dilukis. Kanak-kanak pada peringkat ini lebih menyukai melukis dengan mengaplikasikan konsep peniruan. Mereka akan lebih cepat melukis apabila objek sebenar berada di hadapan mata. Pada peringkat ini kanak-kanak tidak akan berkongsi hasil seni mereka dengan orang lain kerana mempunyai keyakinan diri yang rendah.
Pada peringkat ini kanak-kanak mula mementingkan segala aspek sepanjang menghasilkan karya seni. Hal ini kerana mereka sudah tergolong dalam lingkungan awal remaja iaitu 14 hingga 17 tahun. Setiap karya seni mereka akan melambangkan kematangan dan cara pemikiran pelukis. Mereka akan menunjukkan kemahiran memilih bahan bersesuaian dengan kerja seni yang akan dihasilkan.
PENUTUP
Kesimpulannya, aktiviti melukis sangat bermakna kepada kanak-kanak dan membantu guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling mendapat pendedahan berkaitan salah satu hobi kanak-kanak iaitu melukis. Sebelum melukis adalah lebih baik sekiranya kanak-kanak itu didedahkan dengan cara memegang pensil terlebih dahulu supaya kanak-kanak dapat dapat membiasakan diri dengan proses kawalan tangan untuk melukis. Proses melukis ini juga merupakan satu aktiviti yang dapat meningkatkan motor halus kanak-kanak dan seterusnya membawa kesan kepada keseluruhan perkembangan kanak-kanak secara langsung. Sesetengah kanak-kanak mula melukis dengan contengan pada kertas. Walaupun sekadar contengan, ibu bapa atau guru perlu memberi perhatian dan bimbingan kepada hasil lukisan kanak-kanak tersebut dan membantunya membentuk rupa atau gambaran suatu objek.
Sumber:www.kpakk.edu.my