Ada salah faham dalam kalangan ibu bapa antivaksin yang menyangka suntikan vitamin K yang diberi kepada bayi yang baru lahir adalah satu vaksin baru. Tanggapan ini salah sama sekali. Suntikan vitamin K diperkenalkan sejak 1961 bagi mengelakkan masalah pendarahan yang serius pada bayi. Ianya bukan vaksin.
#Apa fungsi vitamin K?
Vitamin K diperlukan oleh badan untuk fungsi pembekuan darah. Tanpa vitamin K, kecederaan yang kecil pada salur darah tidak dapat dihentikan seterusnya akan menyebabkan pendarahan serius. Walaupun seorang bayi itu dijaga dengan baik, risiko pendarahan di perut dan otak adalah tinggi jika vitamin K nya tidak mencukupi.
#Dari mana kita dapat vitamin K?
Vitamin K diperolehi dari diet terutamanya dari sayuran hijau dan juga dihasilkan oleh bakteria baik dalam usus. Susu ibu juga tidak mengandungi vitamin K yang mencukupi untuk keperluan bayi terutamanya bagi ibu yang sedia ada kurang vitamin K.
#Kenapa bayi memerlukan memerlukan suntikan vitamin K?
Bagi bayi yang baru lahir, kandungan vitamin K mereka rendah kerana:
1. Vitamin K tidak dipindahkan melalui placenta dengan baik
2. Kandungan vitamin K dalam susu ibu tidak mencukupi
3. Kurangnya kehadiran bakteria baik dalam perut bayi bagi penghasilan vitamin K
Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi bayi makan lebih awal dari usia 4-6 bulan kerana kesan sampingan memulakan pemakanan selain susu ibu terlalu awal adalah lebih serius.
#Apa akan terjadi kalau bayi tak dapat suntikan vitamin K?
Seperti dijelaskan, vitamin K penting untuk pembekuan darah. Pendarahan yang serius boleh berlaku pada usus dan otak. Malangnya kedua-dua pendarahan ini biasanya lambat dikesan kerana ianya tersembunyi. Kebiasaannya bayi sudah kritikal atau mempunyai kerosakan otak baru pendarahan itu disedari. Dan risiko ini berterusan hingga usia 4-6 bulan sehinggalah bayi boleh menghasilkan vitamin K mereka sendiri.
Ads
#Kenapa dos suntikan vitamin K bayi terlalu tinggi?
Tidak dinafikan suntikan vitamin K pada bayi adalah lebih tinggi dari keperluan harian orang dewasa. Namun perlu difahami, suntikan ini dilakukan ke dalam otot yang mana vitamin K tersebut akan membentuk depot dan diuraikan ke dalam salur darah secara perlahan-lahan. Dos yang tinggi diberi ke dalam otot tidak sama seperti dos yang diberi terus ke dalam salur darah. Malahan, dos yang tinggi ini diperlukan bagi mengawal pendarahan sampai usia bayi 4-6 bulan.
#Tak bahaya ke suntikan vitamin K ini?
Ramai ibu bapa khuatir suntikan ini menyebabkan kuning pada bayi. Namun, kajian menunjukkan pada dos 0.5-1.0mg diberi secara intramuscular (ke dalam otot), ia tidak meningkatkan risiko kuning sedia ada. Setakat ini, tiada kajian yang membuktikan risiko kesan sampingan serius berpunca dari suntikan vitamin K. Suka saya ingatkan, ini bukan suntikan baru, dah lebih 50 tahun diperkenalkan dari 1961.
#Dalam suntikan vitamin K ini ada sumber haram ke?
Tidak, berikut adalah kandungan suntikan vitamin K:
1. Vitamin K1 – didapati dari unsur tumbuhan
2. Polysorbate 80 – bagi melarutkan vitamin K itu, juga dari unsur tumbuhan
3. Propylene glycol – sebatian sintetik yang digunakan bagi mengawal kelembapan ubat, sudah lama diluluskan FDA sebagai sebatian selamat
4. Sodium acetate anhydrous – garam dan soda bikarbonat bagi mengawal pH ubat
5. Glacial acetic acid – cuka, juga untuk mengawal pH
Ads
Tiada unsur binatang khususnya khinzir dalam vitamin K. Bahan di dalamnya adalah bahan yang sama dalam kebanyakan ubat mahupun makanan/minuman diproses
#Boleh tak saya nak lewatkan suntikan ini, tengok kalau ada pendarahan baru suntik?
Tidak boleh. Suntikan vitamin K perlu diberi dalam 6 jam selepas kelahiran bagi mengurangkan risiko pendarahan pada bayi. Kalau ditunggu hingga pendarahan berlaku, suntikan vitamin K tidak lagi berkesan untuk memberhentikan pendarahan yang serius itu.
#Jadi, kalau saya tolak suntikan vitamin K, apa risikonya?
Risiko menolak suntikan yang selamat ini adalah pendarahan yang serius pada bayi anda hingga menyebabkan kematian.
Dan risiko ini adalah 81 kali ganda lebih tinggi berbanding bayi yang menerima suntikan!
Kesimpulan saya, jika anda antivaksin sekalipun, tolonglah benarkan suntikan vitamin K ini. Suntikan ini selamat, dan melindungi anak anda dari berdarah hingga mati. Jangan jadikan diri anda punca kematian kejam anak anda.
Ads
P/s – dengar cerita ada kes kematian bayi akibat ibu bapa menolak vitamin K baru-baru ini.
Gambar hiasan diedit dari ihsan Google
“Alhamdulillah, Nur Azura Yamani anugerah terindah daripada Allah kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga,” kata penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah ketika berkongsi berita kelahiran anak perempuannya, Nur Azura Yamani yang selamat dilahirkan pada petang Khamis lalu.
Menurut Jamal, 60, isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, selamat melahirkan anak perempuannya itu secara pembedahan di pusat perubatan swasta di Shah Alam.
“Isteri dimasukkan ke wad bersalin Rabu dan pada jam 5.35 petang (Khamis), pembedahan selamat dijalankan.
“Saya bersyukur isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami yang sihat, putih melepak dan seiras wajah saya seberat 2.7 kilogram,” katanya kepada Harian Metro.
Nama Azura Paling Dekat Di Hati
Berkongsi pemilihan nama Azura, sebelum ini Jamal pernah berkongsi sebaik tahu jantina anak dalam kandungan isterinya terus terlintas nak berikan nama Azura.
Jelas Jamal nama itu dipilih kerana merasakan begitu dekat di hatinya sejak dahulu lagi apatah lagi turut mempunyai single popular berjudul Azura yang menjadi runut bunyi kepada filem Azura (1984)
“Saya namakan Nur Azura Yamani kerana nama itu begitu dekat dan sudah lekat dengan saya sejak dahulu lagi. Ke mana sekali pun, orang pasti akan kaitkan saya dengan Azura,” katanya.
Sanggup Bangun Tengah Malam Bantu Isteri
Menurut Jamal, harapannya untuk anak perempuannya itu adalah untuk melihat Nur Azura membesar menjadi anak yang solehah.
“Sebagai bapa, saya akan berikan dia pendidikan terbaik terutama hal berkaitan agama,” katanya ketika berkongsi perancangan untuk masa depan anak perempuannya itu.
Jamal mengakui berasa kekok untuk menjaga bayi pada usia sekarang.
“Maklumlah, sudah lebih 13 tahun saya tidak ada anak kecil. Anak kedua saya, Zaki kini sudah berusia 13 tahun.
“Namun, demi Nur Azura saya sanggup bangun tengah malam untuk membantu isteri menyusukannya dan menukar lampin,” katanya.
Ditanya sama ada dia merestui jika Nur Azura mengikut jejaknya menjadi anak seni, Jamal berkata, dia tidak dapat menghalang perkara itu daripada berlaku.
“Dua anak saya, Osama dan Zaki juga meminati bidang seni. Saya tidak menyokong atau menggalakkan mereka.
“Apa yang penting, mereka perlu menamatkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dulu,” katanya.
Mengulas keadaan Zai Izzati pula kata Jamal, isterinya menjalani tempoh berpantang di kediaman mereka di Shah Alam.
Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.
Chef selebriti terkenal, Chef Wan menasihati orang ramai agar sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan terutama bagi golongan wanita.
Chef Wan atau mesra dengan nama singkatanya CW berkongsi gambar ketulan ketumbuhan yang diambil ketika pembedahan yang dilakukan pada ibunya dan dia berharap lebih ramai yang mempunyai kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan seawal mungkin.
Tengok saiz ketumbuhan mak saya. Ini adalah antara salah satu bahagian besar dan terdapat juga beberapa ketumbuhan yang lebih kecil dari kelenjar limfa, juga di bawah ketiaknya. Dr Doreen sebagai pakar bedah yang terkenal datang berbincang dengan saya sebentar tadi untuk memeriksa ibu saya.
Dia berkata dia juga gementar dan perlu berhati-hati kerana ia terletak di sebelah rusuk tempat paru-paru. Terperangkap di sana.
Doktor: Saya terpaksa mengikisnya dengan berhati-hati dan mengeluarkannya. Jika kita telah menunggu dan ia masuk ke dalam paru-paru wah saya tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan nyawa ibu awak. Ini adalah izin dari Allah untuk membantunya.
Doktor: Saya kena jujur dengan anda CW. Walaupun kelenjar limfa di bawah lengannya, saya terpaksa mengambil dengan berhati-hati kerana ia melekat pada urat utama.
Sebarang kerosakan yang berlaku pada urat utama, ibu anda tidak akan dapat mengangkat tangannya.
Doktor: Jadi ia bukan satu pembedahan yang mudah untuk saya juga. Jadi kami semua bertuah kerana menyelamatkan ibu anda termasuk doa oleh ramai peminat ibu anda dimakbulkan oleh Allah.
Doktor: CW anda telah melakukan perkara yang betul.
Saya memeluk Dr Doreen dengan erat dan cuba untuk tidak menitiskan air mata saya. Alhamdulillah.
Saya berkongsi kepada anda sebahagian daripada sejarah ibu saya kerana saya mahu semua orang memahami bahaya kanser payudara yang menjejaskan begitu banyak kehidupan dan orang tersayang kita.
Lakukan mamogram, buat pemeriksaan, perhatikan diet dan gaya hidup anda. Jika anda menemuinya, dapatkan rawatan secepat mungkin.
Jangan tunggu sehingga terlambat. Saya membuat kesilapan dengan mendengar juga nasihat salah seorang doctor semasa pemeriksaan perubatan tahunan penuh ibu..
“Tidak perlu buat memmogram untuk ibu anda. Dia tua.. tidak perlu membazirkan wang untuk melakukannya.”
Ini nasihat beberapa tahun yang lalu. Lihatlah, Doktor juga boleh memberi anda nasihat yang salah!
Nota:
Mamografi (mamogram) adalah pengimejan sinar-X pada payudara dengan menggunakan sinar-X bertenaga rendah. Ia alat pemeriksaan untuk memeriksa payudara bagi pengesanan awal dan diagnostik jika wujud risiko kanser payudara.
American Cancer Society (ACS) mengesyorkan untuk mula menjalani mamografi atau berjumpa doktor berkaitan barah payudara kepada wanita:
Berumur 40-44 tahun: Mempunyai pilihan untuk memulakan pemeriksaan barah payudara tahunan dengan mamogram jika mahu melakukannya
Berusia 45-54 tahun: Harus menjalani pemeriksaan mamogram setiap tahun
Berumur 55 tahun ke atas: Boleh menjalani pemeriksaan mamografi sekali setahun atau 2 tahun sekali
Kebiasaannya, doktor tidak menyarankan pemeriksaan ini untuk wanita di bawah usia 40 tahun. Tetapi bagi wanita dengan mutasi yang dikenal pasti dalam gen barah payudara, perlu memulakan pemeriksaan seawal usia 25 tahun.
Doktor biasanya akan menasihatkan wanita hamil atau yang menyusu badan untuk melakukan kaedah pemeriksaan lain yang lebih selamat seperti imbasan ultrabunyi.
Isu vaksinasi telah lama menjadi bualan ramai pihak dan ia kekal hangat hingga sekarang. Ada ibu bapa degil yang masih tidak memahami bagaimana konsep vaksin ini memberi perlindungan atau ‘memayungi’ populasi awam sehinggakan individu yang tidak divaksin turut mendapat perlindungan. Sempena Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa yang bermula daripada 16 hingga 22 Oktober setiap tahun, kami bawakan kepada anda 10 jenis penyakit yang boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin.
Diphtheria
Ia adalah sejenis jangkitan bakteria yang menjejaskan membran mukus pada bahagian hidung dan tekak. Ia biasanya menyebabkan sakit tekak, demam, kelenjar yang membengkak dan tubuh yang lemah. Penyakit ini sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan oleh penggunaan vaksin secara menyeluruh.
Di Malaysia, pernah terjadi kematian yang disebabkan oleh penyakit ini dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan diphtheria. Kanak-kanak malang tersebut dilaporkan tidak mendapat sebarang vaksin sejak dilahirkan.
Tetanus
Tetanus adalah sejenis penyakit serius yang disebabkan oleh toksin bakteria yang menjejaskan sistem saraf manusia. Ia menyebabkan kontraksi otot yang menyakitkan terutama di bahagian rahang dan otot leher. Ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan berpotensi mengancam nyawa. Ia juga merupakan sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan penggunaan vaksin.
Pertussis atau batuk kokol
Pertussis atau sering dikenali dengan nama batuk kokol adalah penyakit berbahaya yang menyebabkan batuk teruk yang menjejaskan pernafasan seseorang individu. Batuk kokol juga boleh menyebabkan pneumonia, bronkitis, serangan tiba-tiba (seizure), kerosakan otak bahkan kematian. Menurut laporan CDC, sejak pengenalan vaksin batuk kokol, kes ini telah menurun dengan drastik daripada 100,000 kes setiap tahun pada tahun 1940, kepada hanya 10,000 kes pada tahun 1965.
Polio
Polio adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan saraf yang membawa kepada kelumpuhan, kesukaran bernafas bahkan kematian. Pada awal abad ke-20, wabak penyakit ini telah menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat, menyebabkan kematian ribuan nyawa selain menjangkiti ratusan ribu yang lain.
Measles
Ia turut dikenali sebagai demam campak, dan merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang menyebabkan demam dan ruam merah pada tubuh. Ia sering muncul ketika seseorang itu masih kecil. Untuk pengetahuan anda, virus campak ini boleh bertahan di udara selama dua jam apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk atau bersin. Ia juga sangat mudah berjangkit.
Beguk (mumps)
Ia adalah penyakit jangkitan virus yang menjejaskan kelenjar penghasilan air liur yang berada berdekatan telinga anda. Beguk boleh menyebabkan pembengkakan pada satu atau kedua-dua belah kelenjar. Ia pernah menjadi antara penyebab utama ramai individu dimasukkan ke hospital semasa berlakunya Perang Dunia Pertama. Sebelum vaksin beguk diperkenalkan, ia merupakan antara penyakit zaman kanak-kanak yang paling kerap berlaku.
Rubella
Selain dikenali dengan nama rubella, ia turut dikenali sebagai demam campak Jerman memandangkan Jerman merupakan lokasi pertama penyakit ini dikenalpasti. Ia adalah sejenis penyakit disebabkan virus yang boleh berjangkit. Walaupun mempunyai ciri atau simptom yang sama seperti demam campak, rubella dan demam campak adalah dua jenis penyakit berbeza. Ia kerana rubella disebabkan oleh jenis virus lain yang tidak sama dengan virus penyebab demam campak.
Hepatitis B
Penyakit ini disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV) yang menjangkiti bahagian hati manusia. Ia boleh menjadi sangat kronik disebabkan ia boleh bertahan sehingga lebih daripada 6 bulan. Hepatitis B yang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, kanser hati dan cirrhosis, iaitu keadaan yang menyebabkan parut kekal pada hati. Ia boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin, tetapi tidak boleh disembuhkan apabila ia telah menjangkiti anda. Ubat-ubatan hanya digunakan untuk mengelakkan penyebaran virus ini pada individu lain.
Influenza
Influenza adalah penyakit yang menyerang sistem pernafasn manusia iaitu hidung, tekak dan paru-paru. Ia turut dipanggil sebagai flu dan untuk kebanyakan individu, ia akan sembuh dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, influenza ini boleh menjadi sangat berbahaya sehingga boleh mengorbankan nyawa seperti Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 20 hingga 50 juta manusia pada tahun 1918.
Pneumococcal
Penyakit pneumococcal ini disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau juga disebut sebagai pneumococcus. Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan telingan dan meningitis. Apabila bakteria tersebut memasuki bahagian paru-paru, ia boleh pneumonia atau radang paru-paru.
Kini anda telah mengetahui bahawa kebanyakan penularan penyakit-penyakit ini hampir terhapus di negara kita dan juga di negara-negara lain. Tahukah mengapa? Ini kerana penggunaan dan kewajipan vaksin secara meluas yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan kesihatan semua penduduk. Anda mungkin tidak mengetahui berkenaan Spanish Flu kerana ia telah menjadi satu sejarah. Oleh itu, jangan mulakan sejarah buruk yang baharu disebabkan oleh sikap penting diri dan kecuaian anda dalam memberikan vaksin kepada anak-anak anda.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.