Tiada yang lebih indah bagi seorang ibu selain momen pertama mendakap zuriat yang sekian lama dinanti. Itulah yang dirasai pempengaruh media sosial dan usahawan, Sally Whoo, apabila selamat melahirkan cahaya mata kembar pada awal pagi Sabtu lalu.
Sally, atau nama sebenarnya Nur Salihah Aimuni, berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Threads, menyatakan betapa dirinya dilimpahi rasa syukur dan sebak sebaik selamat menimang dua permata hatinya.
“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Saya tak tahu nak mula dari mana, cuma air mata ni macam tak nak berhenti,” tulisnya dengan penuh emosi.
Menurut Sally, kelegaan dan keletihan bercampur dengan rasa takut dan syukur perasaan yang hanya seorang ibu benar-benar faham ketika melalui detik melahirkan.
“Rasa lega, penat, takut, syukur semua datang sekali. Allah, terima kasih. Dua nyawa kecil ini sudah selamat dalam pelukan mommy dan daddy.”
Ads
Dalam perkongsian sama, Sally turut memaklumkan perkembangan dirinya serta bayi kembarnya selepas bersalin.
“Finally pain killer tu dah habis, dari 6 pagi sampai sekarang baru bangun, baru makan. Alhamdulillah both baby sihat, baby girl je kena kuning for now.”
Katanya lagi, hari kedua selepas bersalin sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila dirinya perlahan-lahan mampu bergerak sendiri.
“Harini second day dah boleh jalan sendiri pergi toilet, dah boleh jalan-jalan pusing dalam bilik. Harap by tomorrow tak rasa sakit sangat dah.”
Ads
Sally turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dirinya dan bayi kembar yang baru dilahirkan.
Ads
“Again, terima kasih yang mendoakan Sally. Harap doa dan kata-kata baik tu berbalik pada kalian juga.”
Untuk rekod, Sally mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang dikenali sebagai Toq, dan hasil perkahwinan mereka sebelum ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ean Maleeq. Kini, kehadiran dua cahaya mata baharu ini melengkapkan lagi kebahagiaan kecil keluarga mereka.
Tahniah buat Sally dan suami atas kehadiran dua bidadari kecil yang membawa sejuta makna. Semoga ibu dan bayi terus sihat serta dipermudahkan segala urusan berpantang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ungku Ismail ‘blurkan’ wajah anak ada sebabnya,”Saya bertanggungjawab melindunginya…” Pasangan pelakon Ungku Ismail dan Nad Zainal mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu berkongsi wajah anak mereka kepada umum.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, pasangan itu dilihat meraikan ulang tahun kelahiran anak mereka, Ungku Indra Puteh Al Maajid yang kini berusia setahun.
Kelihatan Ungku Ismail dan Nad mengaburi wajah putera mereka pada setiap gambar yang dikongsikan.
Ungku Ismail menjelaskan bahawa tindakan dia dan isterinya adalah untuk menghindari daripada perkara yang tidak baik berlaku kepada putera mereka.
Rata-rata dah kenal dan tahu tentang ‘Sharrul Ain’, tetapi masih ada yang tertanya tanya kenapa block dan blur muka anak.
Saya bertanggungjawab untuk melindunginya dengan cara yang lebih tepat berdasarkan ilmu dan syariah ketika dia masih bayi lagi.
Ungku Ismail menegaskan dia mahu menjaga privasi keluarga dan kehidupan peribadi mereka bukanlah untuk dipertontonkan kepada umum.
Kami kongsi seadanya, sekadarnya.
Begitu juga dengan kehidupan kami yang sewajibnya peribadi bukan hiburan umum untuk disoal jawab.
Benda yang sudah berlaku mungkin tersirat aib dalam penjelasan, maka sebaiknya jangan ditanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bersetuju dengan tindakan pelakon drama Syurgamu Ramadhan itu.
Nad mendirikan rumah tangga bersama Ungku Ismail pada 23 Januari lalu. Cahaya mata sulung pasangan pelakon itu dilahirkan pada 10 Oktober 2023.
Sekadar info, Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq pada 19 Disember 2015 namun mengesahkan sudah bercerai pada sekitar September 2022.
Bersama bekas suaminya, Nad mempunyai dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom yang kini berusia empat tahun.
Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Mohamad Jaffan Al Qharezme Mohamad Jalil dilapor hilang selepas tidak pulang ke rumah.
Menurut laporan, calon SPM ini dilihat terakhir kali selepas dia pulang apabila tamat sesi persekolahan di Kepong sejak Selasa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa mengesahkan kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.11 malam di Balai Polis Kepong oleh bapa mangsa.
Tambah Timbalan Ketua Polis juga, mangsa kali terakhir dilihat berpakaian sukan putih iaitu kemeja T sukan dan seluar tracksuit.
Ibunya, Rozita Nordin, 49 meminta orang ramai agar turut mengesan di mana kedudukan Jaffan memandangkan anaknya itu bakal menduduki peperiksaan SPM yang sedang berlangsung.
“Tolong, kami sudah cari merata. Dia anak yang baik, bukan budak nakal, kami sekeluarga risau sangat.
“Setiap hari saya hantar anak saya ini dan adiknya ke sekolah. Waktu pulang pula kami upah pemandu teksi yang sudah lama membantu mengambil anak saya sejak zaman abangnya lagi”
“Semalam pemandu teksi itu tunggu anak saya bersama adiknya, lebih sejam juga tunggu tapi Jaffan tidak keluar dari kawasan sekolah sebelum pakcik teksi ini hubungi saya untuk maklumkan,” ujarnya.
Mohamad Jaffan Al Qharezme Mohamad Jalil yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali terakhir dilihat oleh rakannya di sebuah stesen minyak di Segambut.
Rozita berkata, dia sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu semalam.
Susulan itu, usaha mengesan mangsa sedang dijalankan selepas satu kertas siasatan telah dibuka mengikut kategori Orang Hilang.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, sudah bersediakah ibu bapa. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaungi pengusaha tadika, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha taska mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan ditawarkan kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.